#190 Zikir Rindu



Novel ini dibeli di Big Bad Wolf (kali ke berapa tak ingat) dengan hanya harga RM 3.00 di bahagian novel Melayu. Selalunya jarang untuk menjengah ke bahagian itu kerana menganggap tiada yang menarik. Namun, setelah pernah menjumpai nama Shahnon Ahmad terselit dicelah himpitan buku-buku cintan-cintun, bahagian novel Melayu ini menjadi tempat mandatori untuk berkawad mata dari satu buku ke satu buku yang lain. Baik.

Tajuk: Zikir Rindu
Penulis: Azizi Hj Abdullah
Penerbit: Alaf 21 (Cetakan 1, 2009)
Muka surat: 198
Rating:5

Sinopsis

Penulis yang pernah menerima anugerah SEA Write Award dan MASTERA 2007, menggarap novel yang bertemakan Cinta ini, dengan tingkah kata dan jalan cerita yang agak berat. Buku ini mungkin nipis di mata tetapi berat di minda. Novel ini mengisahkan seorang lelaki tua, yang seluruh cerita berputar dengan kemaruk cintanya terhadap seorang wanita yang diberi nama Dee yang hanya sekali berjumpa di dalam kereta api. Runtunan jiwa lelaki tua itu terhadap Dee sangat menggila, namun mereka hanya bercinta melalui ruang ganggang telefon sahaja. Dee mengajar lelaki tua itu supaya bertaqarrub kepada Allah dahulu, sehingga mencapai fana dunia dan zouq dalam jiwa. Dee menyuruh lelaki tu bermujahadah sehingga bertemu dengan Allah. Namun, setelah dicuba lelaki itu tetap gagal. Lelaki itu sasau apabila hanya terdengar lentokan suara emas Dee. Selalu meminta untuk berjumpa, namun Dee selalu menolak. Ini jawapan Dee. “Cintalah kepada-Nya. Selalulah berjumpa-Nya. Bisiklah cintamu selalu... Belajarlah daripada kesepian, belajarlah cara keasyikan dalam taat dan cubalah takut pada diri sendiri. Simpanlah rahsia cinta betapa pun cinta itu amat menggelodak!” (Hal.57).
Setiap dinihari, di ruangan hamparan sejadah, lelaki itu mula karam dalam lautan cubaan bertemu tuhan. Pernah sekali dia bertemu Dee dalam pelayarannya itu, cuba dikejarnya namun tak tercapai. Ditakdirkan tuhan, dalam gelojak nafsu cinta dan cuba segala cara untuk bertemu Allah tidak berjaya, tidak semena-mena lelaki tua itu terserempak dengan Dee buat kali kedua. Lantas, Dee mengajak dia ke rumahnya yang seterusnya membongkar rahsia besar, iaitu Dee masih isteri kepada seorang mayat hidup. Lelaki tua itu marah bukan kepalang. Seperti biasa, walaupun kecewa dengan Dee, setiap dinihari cuba mencapai zouq. Namun malam itu tidak berjaya. Kali ini lelaki tua itu bertekad untuk selesaikan semuanya dengan Dee. Apabila sampai ke rumah Dee, terkejut dia. Dee sudah karam dalam lautan fana, membiarkan suaminya tercungap-cungap menyedut sisa oksigen yang berbaki sebelum dihantar ke alam barzakh. Lelaki tua itu merasa sesuatu yang tidak kena. Di mana tanggungjawab seorang isteri, Dee? Sibuk dengan zikirnya, abai suaminya. Sudahlah begitu, dihalangnya proses pengebumian suaminya pula. Lelaki tua itu beredar dengan kebingungan. Esoknya dia kembali, untuk bertanya dua tiga perkara, mungkin perjumpaan yang terakhir dengan Dee. Sudah benar dia menghafal jalan ke rumah Dee, namun apabila sampai ke rumah yang didatanginya semalam, rumah itu lain keadaannya. Terbiar lama. Pagar sudah buruk. Salam diberi tetapi tidak disahut Dee. Sudah tahulah dia, bahawa selama ini dia hanya berhalusinasi. Watak Dee hanya diciptanya sendiri. Tamat.

Ulasan

Novel ini saya katakan mempunyai pelbagai mesej yang ingin disampaikan disebalik permainan metafora penulis. Seperti halnya (orang tua itu yang hanya menurut nafsu dan Dee dalam beribadat), berzikir sehingga tenggelam dan karam dalam lautan bertemu Allah itu, penulis sebenarnya mahu menyinggung sesetengah golongan sufi yang kononnya telah sampai tahap tertinggi makrifat sehingga sudah melihat Allah. Berzikir ribuan kali malahan jutaan kali kononnya demi membuka hijab melihat Allah. Mana mungkin, Nabi Allah Musa pun pernah “request” nak tengok Allah. (al-a’raf:143). Penulis ingin menggariskan di sini bahawa ikutlah tareqat dan tiada yang paling benar tareqatnya melainkan tareqat Nabi Muhammad s.a.w. Usah mencipta zikir ribuan/jutaan yang konon kelebihannya boleh berjumpa tuhan walhal sangat bersalahan. Unsur-unsur sufi tebal dalam penceritaan novel ini. Perkara seperti zouq, af al, fana, alam makrifat dan lain-lain lagi dihidangkan. Apa yang agak memenatkan saya ialah terkeliru antara halusinasi, mimpi dan realiti lelaki tua itu. Seterusnya, penulis ingin menunjukkan bahawa pentingnya menuntut ilmu. Tidak terikut seperti lelaki tua itu dengan segala arahan Dee. Kesesatan didorong kejahilan sendiri untuk mendekati Allah. Sepatutnya perlu belajar dan bukan menerima arahan. Sepatutnya mengaji kemudian mengkaji. Penulis juga menggambarkan perihal suami Dee, sebagai umat Islam yang tertindas dan Dee sebagai dunia umat Islam. Selagi boleh berzikir dan beribadat, tidak terganggu, selagi itu dibiarkan suaminya yakni cerminan kepada golongan Mustadh’afin. Saya rasa apa yang ingin disampaikan penulis dalam karyanya ini ialah sedikit intipati daripada kitab “Talbis Iblis” karya Ibnu Al Jauzi. Antara karya lain Azizi Hj Abdullah ialah, “Tukcai”, “Seorang Tua Di kaki Gunung” dan “Memoir Seorang Guru”.

Selingan

Kadang - kala orang-orang sufi ini falsafah mereka sukar difahami. Tidak mempunyai asas yang kukuh mungkin susah untuk berenang untuk tidak lemas. Tokoh-tokoh seperti Ibnu Arabi, Syeikh Siti Jenar, Jalaluddin Ar-Rumi, Al-Hallaj yang ada di antara mereka ini dituduh kafir. Secara umumnya, ruang falsafah ini memerlukan kemantapan dari segenap segi. Secerdik pandai Avicenna itu pun dituduh kafir oleh Ibnu Taimiyyah kerana terlajak lebih dalam padang falsafah. Walau apa pun, kita mendoakan supaya terlepas dari belitan yang memusnahkan walaupun tampak membahagiakan. Allahua’lam.

"Lihatlah satu dalam banyak, banyak dalam satu. Dari satu muncul yang banyak".
Previous
Next Post »