TALES OF MOTHERS : THE GREATEST LOVE adalah himpunan 8 kisah benar tentang pahit manis kehidupan ibu-ibu yang bergelut dengan 1001 cabaran hidup. Kisah-kisah yang langsung tidak mengaibkan sesiapa. Malah sangat sesuai sebagai bahan bacaan berinspirasi untuk diteladani oleh ibu-ibu lain yang sedang berjuang dalam diam.
Tajuk : Tales of Mothers: the Greatest Love
Editor : Raudah Yunus and Md Mahmudul Hasan
Penerbit : Iman Publications
Muka Surat : 196 halaman
8 kisah bermotivasi ini disusun dan disunting oleh Raudah Yunus (seorang penulis Malaysia yang juga merupakan seorang doktor perubatan) dengan bantuan suaminya, Md Mahmudul Hasan iaitu seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Ada beberapa perkara dalam hidup yang TIDAK BOLEH DICAPAI OLEH WANITA. Salah seorang daripadanya adalah untuk menjadi IBU YANG SEMPURNA. Dan itu adalah 1 realiti pahit yang perlu ditelan oleh semua ibu. Walau bagaimanapun, apabila seorang ibu berusaha untuk sentiasa hadir di saat anak-anak memerlukan, ia secara automatik berubah menjadi seorang ibu yang sempurna di mata anak-anak. Itu pelajaran besar daripada buku berbahasa inggeris ini!
Antara 3 daripada 8 buah kisah ibu-ibu hebat yang boleh disimpulkan secara pendek :-
Kisah #1
Kaseh Aini menceritakan kisah hidupnya, seorang anak sulung yang berkahwin awal ketika di tahun akhir universiti. 9 bulan selepas berkahwin beliau dikurniakan cahaya mata pertama. Dan, sebaik selepas pulih beliau mengandungkan pula anak kedua. Kaseh dihantui dengan bebelan berterusan daripada si ibu sebaik mengetahui berita kehamilan kedua yang sangat cepat. Berkahwin dengan seorang juruterbang menyebabkan Kaseh sentiasa ditinggalkan dan perlu membesarkan anak-anak secara bersendirian. Pengalaman lampau, dibesarkan dengan cara yang keras (mengunakan rotan), membawa Kaseh untuk membesarkan anak-anak dengan cara yang sama sehinggalah pada suatu satu hari, anak perempuannya mengangkat tangan, mengelakkan diri ketika bercakap dengan beliau kerana takut dan menyangka dirinya akan dirotan. Saat itu membuatkan Kasih merasa bagaimana teruknya dia sebagai seorang ibu. Bertitik tolak daripada insiden itulah, Kaseh tidak lagi mengunakan rotan. Bagaimanapun, keluarga Kaseh telah bergegar dengan krisis ekonomi 1999. Suaminya hilang pekerjaan dan hanya bergantung pada ‘single income’ Kaseh. Ada waktunya, hanya ada RM5 saja di dalam beg duitnya. Ada kalanya, tiada langsung duit dalam dompet suaminya. Ujian Kaseh tidak berakhir di situ, beliau kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat Master Programme In Early Education di UKM. Pada waktu yang sama, anak bongsu beliau bakal menduduki peperiksaan SPM. Ujian yang lebih menyedihkan, perkahwinan Kaseh berkocak dengan kehadiran orang ketiga dan berakhir dengan penceraian. Kaseh membuat keputusan untuk menarik diri dan perlahan-lahan membina kehidupan yang baru dengan penuh keyakinan dan semangat. Membesarkan 4 orang anak secara bersendirian, perjalanan hidup Kaseh Aini sebagai seorang ibu tunggal ada banyak turun naiknya. Dengan izin Allah, anak-anak yang dibesarkannya menjadi anak-anak yang sukses dalam kerjaya masing-masing. Malah seorang daripada anak beliau pernah menjadi Malaysian Ice Hockey Goalkeeper. Ia adalah sebuah kisah kemelut yang sangat menyedihkan yang akhirnya berakhir dengan kegembiraan.
Kisah #2
Kisah kedua menceritakan perjuangan yang dihadapi oleh Nusrat, seorang wanita Bangladesh yang kedua-dua anak lelakinya dilahirkan dengan masalah kesihatan yang memerlukan rawatan rapi. Perjuangan membesarkan anak autistik hanya boleh difahami oleh ibu-ibu yang juga mempunyai anak istimewa. Di sini Nusrat berkongsi kisah peribadi beliau menjaga anak sulung beliau, Sunan yang didiagnosis autisme dan laryngomalacia. Sebelum didiagnosis, Sunan ketika usianya 19 bulan mengalami pendarahan berterusan hampir 5 jam di telinga kirinya yang memerlukan Sunan untuk mengikuti rawatan dengan ubatan berdos tinggi di hospital selama 6 bulan. Pandangan negatif orang sekeliling terhadap kanak-kanak istimewa tambah mengusutkan lagi keadaan. Nusrat dan suaminya memutuskan untuk meninggalkan keselesaan rumah mereka, melintasi sempadan geografi daripada Bangladesh ke Singapura, dan kemudiaannya ke Malaysia untuk mencari kehidupan yang lebih baik bagi Sunan. Ujian beliau berterusan dengan kelahiran anak keduanya, Awan yang dilahirkan dengan pelbagai komplikasi kesihatan yang mendebarkan. Jauh lagi perjuangan Nusrat, Sunan dan Awan. Cerita Nusrat memberitahu kita bagaimana, dengan keberanian dan iman, si ibu akan terus berjuang untuk memberi yang terbaik untuk kebahagian yang anak-anak mereka.
Kisah #7
Kisah ketujuh ini membawa saya menyelami keseronokan pasangan yang disahkan mengandung anak kembar. Cabaran bermula apabila Mardhiyyah didiagnos mempunyai Twin to Twin Transfusion Syndrome (TTTS). Satu sindrom yang pertama kali didengari dan saya sendiri ngeri membacanya. Ujian untuk Mardhiyyah apabila perlu lebih banyak menghabiskan masa di hospital, yang mana perlu berjauhan dengan anak sulung yang belum pun mencecah 2 tahun. Bayi kembarnya dilahirkan melalui pembedahan dan dikategorikan Very Low Birth Weigh (WLBW). Ujian lebih berat untuk Mardiyyah apabila salah seorang daripada bayi kembarnya, Izz telah kembali ke rahmatullah pada hari ke-8 selepas kelahirannya. Namun ujian itu tidak berakhir di situ, Ayyash yang masih hidup dikhabarkan pula menghidap ‘cerebral palsy’. Ayyash juga perlu menjalani pembedahan hernia dan mata sewaktu masih kecil lagi. Kisah Mardiyyah menggambarkan liku-liku hidupnya yang mengandungi saat-saat kesedihan, kegembiraan dan harapan sepanjang membesarkan anak istimewa itu.
Bersama-sama dengan 8 cerita ini, TALES OF MOTHERS : THE GREATEST LOVE juga menyelitkan 3 artikel yang ditulis oleh pakar yang membincangkan topik keibubapaan, ibu bekerja dan kanak-kanak istimewa. Buah tangan ini juga telah disemak semula oleh 2 individu, iaitu novalis terkenal British-Pakistan dan penulis skrip, Qaisra Shahraz yang juga penulis buku bertajuk The Holy Woman dan Adlil Rajiah, seorang blogger keibubapaan Malaysia.
TALES OF MOTHERS: THE GREATEST LOVE ini mengabung-jalinkan pelbagai kisah ibu yang pernah kehilangan cahaya mata, ibu yang dipandang hina dengan kehadiran anak istimewa, ibu yang naik-turun mahkamah untuk mendapatkan hak menjadi seorang ibu angkat, ibu yang pernah berhabis apa saja demi rawatan anak-anak, ibu yang pernah rasa sendirian saat melahirkan permata hati tanpa suami di sisi, ibu yang berjuang sehabis daya menyelamatkan bahtera rumahtangga dan akhirnya ia karam juga. Begitu juga kisah ibu bekerjaya yang berhijrah menjadi seorang suri rumah demi suami dan anak-anak. Tidak ketinggalan juga kisah ibu yang terumbang-ambing antara buku-buku pelajaran, kerja rumah, anak-anak, suami dan kerjaya.
Mereka jatuh berkali-kali, tapi mereka teruskan merangkak, dan akhirnya mereka berdiri. Ia membawa pembaca berpijak di bumi yang nyata. Semuanya kisah benar!
Selepas menghabiskan 195 halaman buku ini, cara pandang kita terhadap perjuangan ibu-ibu pasti berubah. Ia adalah masa untuk melihat semua ibu dengan penuh penghormatan, tanpa mengira keterbatasan mereka, mahupun apa jua keputusan sukar yang mereka buat, yang kadang-kadang tidak boleh difahami sepenuhnya oleh orang lain. Dan mungkin tidak boleh diterima akal oleh orang lain.
Menjadi seorang ibu mempunyai cabaran tersendiri, dan akhirnya tidak ada yang berhak berkata tugas seorang ibu adalah mudah. Ada saat-saat pahit yang ibu-ibu pasti merasa betapa kecilnya diri, betapa banyaknya kekurangan menjadi sebagai seorang ibu, betapa gagalnya diri menjadi sebagai emak.
Dalam kehidupan, waktu-waktu sukar pasti akan datang. Tapi sekurang-kurangnya buku ini mengingatkan, bagaimana sukar pun hidup kita, ada lagi hamba Allah di luar sana yang JAUH LEBIH SUKAR dan diuji jauh LEBIH TERUK daripada diri kita. Dan, kebanyakan orang-orang hebat di dunia ini menempuh pelbagai kegagalan dahulu di dalam hidup sebelum mereka akhirnya sampai ke puncak kejayaan.
Saya klasifikasikan naskah ini sebagai sebuah ‘HADIAH’ yang cukup indah untuk ibu-ibu. Paling tidak, sebagai ‘reward’ untuk diri sendiri. A real spirit booster. Bacalah!
ConversionConversion EmoticonEmoticon