#224 Tajuk: Ayyuhal Walad



Kitab ini pada sejarahnya ini ditulis oleh Imam Al Ghazali r.a dalam bahasa Parsi sebagai jawapan kepada sepucuk surat yang dihantar oleh seorang murid beliau yang sangat mencintainya, yang mana di dalam surat tersebut, murid beliau meminta agar Imam Al Ghazali r.a sudi menulis surat untuk menasihatinya, walaupun dia yakin bahawa jawapan kepada isi surat tersebut boleh didapati dari kitab-kitab karangan Imam Al Ghazali r.a yang lain. Lalu, Imam Al Ghazali r.a yang tinggi kasih sayangnya pada anak muridnya telah menjawab surat tersebut dgn memberi nasihat-nasihat yang sangat bernilai.

Tajuk: Ayyuhal Walad
Karangan: Al Imam Hujjatul Islam
Terjemahan: Abu Ali Al Banjari An Nadwi
Mukasurat: 84
Penerbit: Khazanah Banjariah

Ia kemudiannya diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab oleh sebahagian ulama’ dan dinamakan dengan nama “Ayyuhal Walad” atau juga bernama “Ar-risalah Al-waladiah”.

Kitab “Ayyuhal Walad” / "Wahai Anakku Yang Tercinta" yang sampai ke tangan saya ini karangan Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al Ghazali yang telah pun kembali ke rahmatullah pada tahun 505 Hijrah. Dan ianya selesai diterjemahkan pada pagi Isnin 29 Jamadil Akhir 1417 Hijrah bersamaan 12 November 1996 Masihi di Masjid Jame’ Delhi, India oleh Ahmad Fahmi ZamZam atau dengan nama penanya Abu Ali Al-Banjari An Nadwi. Dan terjemahan ini telah dibentangkan sebagai satu kertas kerja dalam seminar Sastera Wasiat dan Nasihat ke-13, anjuran Liga Sastera Islam Sedunia di Madrasah Darul Ulum Sabilus Salam, Heyderabad, India.

Kitab ini mengandungi 25 nasihat yang  pada dasarnya sangat berkait rapat dengan amalan dan ilmu tasawwuf.

Imam Al Ghazali sangat menekankan dalam nasihat yang ketiga, ilmu itu tidak bermanafaat kecuali bila sudah diamalkan. “Janganlah engkau jadi orang yang muflis pada amalnya dan janganlah engkau jadikan dirimu itu kosong daripada perkara yang berfaedah dan yakinlah bahawasanya semata-mata ilmu itu belum menjamin keselamatanmu di akhirat. Sekali pun engkau belajar ilmu seratus tahun lamanya dan engkau menghimpun seribu buah kitab maka engkau masih belum layak mendapat rahmat Allah Ta’ala kecuali dengan mengamalkan ilmu itu”. Ia selaras dengan nasihat kelapan yang berbunyi, “Wahai anakku yang tercinta, ilmu tanpa amal ialah gila, dan amal tanpa ilmu pula adalah sia-sia”.

Begitu juga dalam nasihat keempat yang mana Imam Al Ghazali menyatakan kadar balasan mengikut kadar amalan. Selama mana engkau tidak beramal maka selama itulah engkau tidak mendapat pahala.

Dalam buku ini juga, Imam Al Ghazali acap kali menyeru untuk bangun beribadah di waktu malam. Dalam nasihat kesepuluh, “Janganlah engkau terlalu banyak tidur di waktu malam kerana terlalu banyak tidur di waktu malam itu menjadikan seseorang fakir di hadapan Allah pada hari kiamat nanti”. Imam Ghazali turut memetik nasihat Lukman Al Hakim kepada anaknya yang berbunyi, “Wahai anakku yang tercinta, janganlah sampai ayam jantan itu lebih bijak daripada engkau. Ia berkokok di waktu sahur, sedangkan engkau masih tidur lagi”.

Imam Ghazali turut menerangkan 4 sifat kesempurnaan bagi orang yang salik (menjalani jalan akhirat), iaitu :

1⃣. Iq’tiqad yang benar yang tidak ada bid’ah di dalamnya

2⃣. Bertaubat dengan taubat nasuha

3⃣. Meminta halal daripada semua musuh (dan makhluk) sehingga engkau tidak akan dituntut pada hari kiamat nanti.

4⃣. Mempelajari ilmu syariah untuk dapat menunaikan segala perintah Allah Ta’ala dan juga mempelajari ilmu akhirat yang dapat menjamin keselamatan di akhirat nanti.

Dalam bab keempat belas, Imam Al-Ghazali mengisahkan Imam As Syibli r.a. yang dikhabarkan telah berkhidmat kepada 400 orang guru dan membaca 4000 hadith sebelum beliau memilih sebuah hadith daripada bilangan tersebut, dan benar-benar mengamalkannya yang bermaksud demikian :

“Bekerjalah untuk duniamu sekadar mana engkau akan tinggal di dalamnya. Dan beramallah untuk akhiratmu sekadar mana engkau akan berada di sana. Dan beramallah kepada Allah sekadar mana engkau berhajat kepada-Nya. Dan buatlah sebarang amalan yang akan memasukkan engkau ke dalam api neraka sekadar mana engkau sabar menahan seksaannya.”

8 wasiat Imam Hatim Al Asam r.a bagi menjawab soalan kepada gurunya Iman As Syaqiq Al Balkhi r.a antara bab yang menarik untuk dibaca kerana gurunya sendiri yang telah membaca Taurat, Injil, Zabur dan Al Quran mendapati keempat-empat kitab ini berkisar kepada membahas 8 masalah yang disebutkan oleh Imam Hatim Al Asam.

Bab yang tidak kurang bermanafaat adalah nasihat Imam Al Ghazali r.a berkenaan ‘Carilah Guru Yang Mursyid’. Ada 4 sifat-sifat guru yang mursyid yang disebutkan oleh Imam Al Ghazali r.a. Peringatan untuk kita supaya jangan mudah-mudah mengaku bahawa diri kita adalah seorang guru yang mursyid. Tidak mampu menulis keempat-empatnya, jadi dikongsikan sifat ketiga, iaitu: ‘Beliau seorang guru yang benar-benar telah berjaya dalam  mendidik dirinya dengan menyedikitkan makan, sedikit bercakap-cakap, sedikit tidur, dan banyak bersembahyang, banyak bersedekah dan banyak berpuasa’.

Bagi kita yang banyak bertanya, ini jawapan Imam Al Ghazali : ‘Apa yang masih baki daripada pertanyaanmu adalah telah tertulis jawapannya di dalam kitab-kitab karanganku, maka carilah di sana. Dan menulis setengah daripadanya adalah haram (kerana ia adalah ilmu Zauqi yang hanya didapati melalui kelazatan dalam amalan) dan beramallah dengan ilmu yang telah engkau ketahui, supaya terbuka bagimu hijab ilmu yang belum engkau ketahui. Selepas hari ini janganlah engkau banyak bertanya kepadaku daripada segala kemusykilanmu kecuali hanya dengan lidah hatimu. Dan terimalah nasihat Al Khidr a.s dalam surah Al Kahfi 70’. Rujuk juga surah Al Anbia 37 dan Al Fathir 44.

Di penghujung bab, Imam Al Ghazali ada ada menyebut ada 4 perkara yang mesti ditinggalkan dan 4 perkara yang mesti dilaksanakan. Ringkasan 4 perkara yang mesti ditinggalkan :

1⃣. Seboleh-boleh jangan engkau bertengkar dengan seseorang pada apa jual masalah kerana pertengkaran itu mengandungi bermacam penyakit. Dosanya jauh lebih besar daripada faedahnya. Ada 3 kejahilan yang dinyatakan yang tidak boleh diubati dan orang sebegini, soalannya tidak perlu dijawab.

a.       Orang jahil yang bertanya dan menimbulkan masalah kerana didorong sifat hasad/marah.

b.      Orang dungu yang tidak dapat diubati. Baru sedikit belajar ilmu akal dan ilmu syarak, lalu bertanya dan mengi’tiradh (komplen) terhadap seorang alim yang dalam ilmunya.

c.       Orang yang memang menghendaki petunjuk tetapi soalan berkenaan perkataan ulama ahli sufi yang besar-besar kerana kedangkalan kefahamannya. Walaupun benar-benar mahu bertanya ia masih jahil dan belum layak untuk memahami perkara yang dalam-dalam.

2⃣. Hendaklah engkau merasa takut bila menjadi seorang yang suka memberi nasihat atau memperingatkan orang lain, kerana pekerjaan ini banyak mengandungi penyakit, kecuali bila engkau sudah dapat mengamalkan dengan apa yang engkau katakan maka tidak mengapa engkau menasihati orang lain. Kalau keadaan memaksa engkau menjadi penasihat, maka hendaklah menjauhkan diri daripada 2 perkara :

a)      Jangan mengunakan bahasa yang payah-payah dalam perkataanmu.

b)      Janganlah niatmu dalam memberi nasihat itu supaya makhluk banyak berhimpun di dalam majlismu dan supaya mereka menunjukkan perasaan yang sangat kagum dengan kebolehanmu.

3⃣. Jangan bergaul dengan gabenor-gabenor & raja-raja (yang zalim). Sekiranya terpaksa, jangan engkau memuji atau menyanjung mereka kerana Allah Ta’ala benci apabila orang yang fasik atau yang zalim itu dipuji.

4⃣. Jangan sekali-kali menerima sebarang pemberian daripada gabenor-gabenor & raja-raja (yang zalim) meski pun hadiah itu dari sumber yang halal dan jangan berpura-pura mahupun menyetujui kezaliman mereka.

Dan diakhirnya Imam Al Ghazali menerangkan, jika engkau mahu memperdalami hal-hal yang berkenaan dengan hati, maka rujuklah Kitab Ihya Ulumuddin dan lain-lain kitab karangan beliau. Iman Al Ghazali berpendapat ilmu kebersihan hati adalah termasuk ilmu yang fardhu Ain dan yang lain daripadanya adalah fardhu Kifayah, kecuali sekadar belajar hukum-hukum yang berkenaan dengna kesempurnaan mengerjakan kefardhuan yang diwajibkan.


Buku ini pendek, 84 mukasurat sahaja. Tetapi suatu yang panjang bagi sepucuk surat yang akhirnya menjadi sebuah kitab yang dibaca-baca sampai ke hari ini. Mudah-mudahan Allah memberi taufik ke atas kita daripada surat Imam Al Ghazali ini. 
Previous
Next Post »

3 comments

Write comments
Anonymous
AUTHOR
11 July 2017 at 10:59 delete This comment has been removed by the author.
avatar
Anonymous
AUTHOR
11 July 2017 at 11:00 delete This comment has been removed by the author.
avatar
Anonymous
AUTHOR
11 July 2017 at 11:01 delete

Cane nak dpatkan kitab ni ye, versi bm

Reply
avatar