Buku ini adalah himpunan catatan ceramah, ekstrak buku dan kertas kerja, serta wawancara Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sekitar 1970-1980 iaitu era dimana mula bergemanya nama Tuan Guru di tanah air Malaysia.
Tajuk: Islam:Fikrah, Harakah, dan Daulah
Penulis: TG Abdul Hadi bin Awang
Penerbit: Dewan Pustaka Fajar
Muka Surat: 385
Populariti beliau boleh kita sandarkan pada kelantangan, kepetahan dan kefaqihan beliau dalam megetengahkan idea perjuangan beliau dan harakahnya. Dikala ulama-ulama pondok tanah air masih lagi bermain-main dengan hukum-hakam ibadat, TGHH hadir menghiasi pentas dakwah tanah air dengan idea fikrah islam dan penghayatan islam yang lebih menyeluruh, khususnya pada Islam yang kembali bersatu dengan politik, pemerintahan dan negara. Pada meyakini bahawa Islamlah penyelesai kepada segala masalah ummah dan negara serta tanggungjawab umat Islam pada mencapai matlamat tersebut.
Ringkasnya, perbahasan yang ditimbulkan di dalam buku ini adalah pada meluruskan krisis fikrah Islam yang sempit, menekankan keperluan sebuah gerakan Islam serta kepentingan sebuah Negara Islam. Juga disentuh bab uslub dakwah, penyusunan organisasi serta persediaan dan disiplin seorang ahli gerakan. Saya kira bahagian ini membawa nafas praktikaliti kepada teori-teori yang dikedepankan, mengimbangi hujah ilmu dengan hajat amal.
Harus dipuji dan diiktiraf juga akan kebolehan TGHH melapik hujahnya dengan sokongan nas-nas Quran, hadis, kata-kata ulama dan fakta sejarah. Susunannya kemas dan perkaitannya jelas. Ia mudah difahami sesiapapun inshaAllah. Cumanya, pada saya, wujud sedikit inkonsistensi dalam menukilkan dari mana dan sejauh mana validiti fakta-fakta tersebut.
Boleh dikatakan juga bahawa penulisan dan nada TGHH cukup konsisten dengan tema-tema yang membayangi penulisan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin, seperti Hasan Al Banna, Said Hawa, Syed Qutb serta suara-suara pemuka kebangkitan Islam pasca penjajahan. Hal ini tidak pelik, kerana umum kita tahu bahawa TGHH adalah produk dari tarbiyah Ikhwan itu sendiri.
Pada saya, yang menarik mengenai buku ini, adalah elemen ketegasan dan penekanan TGHH kepada soal aqidah terutama dalam berhadapan dengan ideologi moden seumpama sekularisme, nasionalisme, sosialisme, komunisme, kapitalisme dan sebagainya. Seruan kepada matlamat tauhid yang benar sering diulang-ulang disepanjang buku ini. Menang atau kalah, mulia atau hina sangat bergantung kepada faktor aqidah dan iman. Dan seharusnya matlamat tauhid tidak wajar diganti dengan matlamat-matlamat lain yang rapuh.
Saya merasakan tulisan ini masih releven dan harus terus dibaca dan direnung-renungkan, biarpun perbahasan ini adalah perbahasan 40 tahun yang lepas. Ini kerana tema besarnya adalah tema aqidah dan perjuangan maka ia sama sekali tidak akan tidak releven. Adapun bahagian perlaksanaan dan strategi yang diungkapkan, ada baiknya jika terus dibahas dan didiskusikan kerana realiti 40 tahun yang lepas sudah pasti amat berbeza dengan realiti hari ini.
ConversionConversion EmoticonEmoticon