#188 Maryam Anak Syurga


Persepsi yang mengatakan golongan wanita mudah tersentuh dengan emosi mungkin ada kaitan dengan ungkapan ‘wanita mempunyai 9 emosi 1 akal, berbanding lelaki yang mempunyai 9 akal dan 1 emosi’. Banyak tafsiran yang merentasi horizon pemikiran dalam menjawab persoalan ini. Mungkin benar mereka susah mengawal emosi. Namun, jika anda melihat seorang ibu sedang tersenyum manis sambil memangku jenazah bayinya, mungkinkah persepsi terhadap wanita ini akan berubah?

Tajuk : Maryam Anak Syurga
Penulis : Ruqayyah Farhani
Penerbit : PTS
Bilangan Mukasurat: 114

Ruqayyah Farhani bukanlah ‘public figure’ yang cuba mencari publisiti dengan menjual kisah dirinya. Jauh sekali meraih populariti dengan coretan perit peribadinya. Namun, kemunculan catatan sulungnya melalui “Maryam Anak Syurga” seolah-olah menjadi satu fenomena di Malaysia. Menduduki tangga kedua dalam carta ‘bestseller’ di kedai buku MPH, memberi petunjuk bahawa buku ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

Diadaptasi dari perjalanan kehidupan Ruqayyah Farhani, buku ini berjaya disusun dengan baik kronologinya. Diringkaskan cerita, Ruqayyah Farhani merupakan seorang penuntut di salah sebuah Universiti terkemuka di Mesir dan telah berkahwin pada usia yang sangat muda iaitu ketika umurnya  21 tahun. Ketika usia kandungan menjengah 29 minggu, Allah mentakdirkan sepasang kembar sebagai penyeri kehidupan mereka, Maryam Farihah dan Marsha Farihah. Kisah Maryam dan Marsha dalam meneruskan survival bermain dalam dua polar paling ekstrim dalam hidup; bahagia dan derita. Klimaksnya terjadi apabila salah seorang daripada kembar, Maryam Farihah mengalami kompilasi untuk meneruskan hidup. Hati ibu mana yang tidak sayu melihat anak dalam keadaan bertarung antara hidup dan mati.

“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Surah At-Taghabun ayat 11 inilah yang menjadi sumber kekuatan Ruqayyah Farhani dalam menghadapi melankoli kehidupan bersama 2 puterinya. Membaca buku ini seolah membaca sebuah novel, cuma ia adalah kisah benar yang dapat meruntun perasaan pembaca. Kisah ini boleh dijadikan iktibar untuk kita semua. Betapa kasih dan utuhnya hati seorang ibu. Betapa redhanya beliau dengan ketentuan Ilahi. Betapa kuatnya seorang ibu dalam mengharungi ujian mengandungkan seorang anak.

Jadi, jika anda sudah selesai membaca buku ini, jangan lupa segera dapatkan ibu anda, ucapkan pada beliau, “Terima kasih kerana lahirkan saya. Saya sayang mak.” Doakan kebahagiaan mereka yang telah bersusah payah menjaga dan mendidik kita sehingga ke hari ini.
Previous
Next Post »