Siapa Yang Salah: Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi
Melayu adalah antitesis kepada buku Revolusi Mental yang dikeluarkan UMNO pada
tahun 1971. Revolusi Mental adalah tulisan yang menyeru masyarakat melayu untuk
mengubah cara fikir dan cara sikap mereka andai mahu mencapai kemajuan. Di
dalamnya, dibahaskan 20 sifat masyarakat melayu yang buruk atau tidak sesuai
dengan zaman beserta cadangan tindakan yang harus diikuti.
Tajuk: Siapa Yang Salah: Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu
Penulis: Prof Syed Hussein Al-Atas
Penerbit: DBP
Muka Surat: 59
Prof Hussein Alatas tidak bersetuju dengan ulasan penulis
yang menyalahkan kemunduran masyarakat melayu pada sikap-sikap buruk yang
dianggap hakikat peribadi orang Melayu seperti malas, iri hati, tidak menepati
janji, tidak menghargai masa, kuat mengamuk, boros, kurang disiplin, tiada
imaginasi dan bermacam-macam lagi. Buku ini menyaksikan bagaimana Prof Hussein
Alatas membongkar penyelewengan-penyelewengan ilmiah pada sebahagian sifat dan
hujah yang dinyatakan. Beliau kecewa dengan atas sikap penulis-penulis Revolusi
Mental yang berat sebelah; seolah-olah memejam mata pada pengaruh penjajahan
dan pengaruh pemimpin politik pada kemunduran masyarakat Melayu. Malah ditegur
juga kecenderungun mereka yang hanya mengutamakan dan mengulas pandangan
sarjana Barat melebihi pandangan sarjana-sarjana Melayu dan Islam itu sendiri.
Sudahlah kesarjanaan sendiri diketepikan, ketelitian penulis-penulis memetik
kata-kata pun tidak pula disebut sumbernya.
Pada Prof Hussein Alatas sifat-sifat buruk melayu bukanlah
peribadi asal Melayu tetapi ia adalah hasil daripada kelemahan kepimpinan
politik semenjak 100 tahun dahulu. Sikap bias buku Revolusi Mental membuatkan
Prof Hussein Alatas menyifatkannya sebagai Indoktrinisasi Mental bukan Revolusi
Mental.
Pun begitu, Prof Hussein Alatas tidaklah membangkang secara
membabi buta. Ada juga bahagian-bahagian daripada buku Revolusi Mental yang
beliau setujui. Malah diakhirnya juga, beliau meminta diulas dan dikiritik kembali
pendapat-pendapat yang beliau kedepankan.
Hal ini menunjukan pada kita akan dialektika yang penting
dalam arena intelektualisme iaitu dialectic triad. Tesis, antitiesis dan
sintesis. Tesis dijawab antitesis, antitesis dibalas sintesis. Idea bertemu
idea. Hujah bertembung hujah.
Sememangnya dialektika ini memujuk minda untuk bersikap
kritis, mengangkat kekuatan fikir dan melebar-luaskan pemikiran dan intelektual
para pembacanya. Maka membaca buku ini atau yang senada dengannya pasti
membuatkan anda menghargai wacana-wacana ilmiah dan dunianya.
ConversionConversion EmoticonEmoticon