Judul : Tuan Direktor
Penulis : Prof. Dr HAMKA
Jumlah halaman : 96
Penerbit : PSN Publications SDN BHD
Dikatakan, inilah satu-satunya novel Buya HAMKA yang tidak
menyentuh soal konflik adat atau budaya sesuatu bangsa, kaum atau masyarakat.
Mengisahkan tentang seorang saudagar berlian, Jazuli yang
dahulunya seorang yang miskin. Namun, kian meningkat namanya dalam dunia
perniagaan sehingga terhitung sebagai saudagar yang kaya. Betapa kayanya
Jazuli, sehingga digambarkan oleh Buya bahawa duit hanya mainan di jari jemari
Jazuli. Tidak di hirau not-not kertas yang kecil-kecil alah ini semua. Selepas
menjadi saudagar yang kaya, yang makan di pinggan minum di cawan, Jazuli jadi
lupa diri, semua mahu di belinya dengan wang.
Bagi menambahkan kekayaan, Jazuli ingin membeli tanah milik
Pak Yaasin untuk mendirikan kilang kain di situ. Namun, Pak Yaasin enggan
menjualnya walau di sogok oleh orang suruhan Jazuli.
Pada diri dan kehidupan Pak Yaasin ini terpancar kesolehan
dan kezuhudan yang tinggi. Tanahnya yang ingin di beli oleh Jazuli itu adalah
tapak rumah yang di sewakan murah-murah untuk golongan miskin yang tidak mampu.
Ketika menghayati watak Pak Yaasin dan orang miskin yang
menyewa rumah di tanah Pak Yaasin ini, saya teringat pada kawan saya yang terpengaruh
dengan faham Agnostisme dan pernah mengisytiharkan keluar dari Islam (murtad).
Antara yang di persoalkan adalah soal keadilan Tuhan terhadap orang miskin dan
orang kaya sehingga dia berasakan yang Tuhan ini tidak adil.
Tuhan telah menciptakan orang kaya dengan kemewahan – rumah
besar, kereta besar- segala-galanya besar. Sebaliknya, orang miskin hidup
merempat dalam kemiskinan. Justeru, inilah premis yang membuatkan kawan saya
itu menuduh Tuhan ini tidak adil.
Menerusi watak kehidupan Pak Yaasin dan pergaulan mesranya
dengan golongan miskin, timbul satu perasaan yang sangat penting bahkan dengan
senangnya kita dapat memahami isu ‘Orang kaya VS Orang miskin’ iaitulah
kebahagian. Miskin atau kaya itu tidak penting, tapi hakikat yang paling penting
di sebalik kereta besar, rumah besar, baju yang koyak rabak dan makanan
sederhana itu adalah kebahagian.
Betapa ramai kita jumpa orang kaya yang tidurnya tidak lena
meski di alas dengan tilam empuk. Tidak lena karna serabut tertekan stress
memikirkan alasan apa lagi yang mahu diguna untuk menipu rakyat setelah
mengebas mencuri harta berbillion ringgit. Tidak enak makannya si kaya meski
duit beratus ribu dalam bank apabila mengetahui anaknya di tangkap karna
memiliki dadah dan isterinya entah ke mana pergi sejak menceburi bidang
perniagaan, makannya si kaya itu seorang diri saja di meja makan tanpa di
temani isteri. Berbeda pada si miskin, meski hanya bisa makan menjamah ubi kayu
cicah gula, tapi makannya enak dan selera sekali, karna makannya ditemani bersama
isteri dan anak-anak yang tahu diri dan bijak pelajarannya. Anak-anak yang
tidak bawa masalah. Lena tidurnya meski beralaskan tikar mengkuang sehingga
berbekas-bekas berbalam-balam belakang badannya dek karna jujur hidupnya, tidak
perlu mencipta alasan menipu orang lain seperti orang kaya yang mencari alasan
menipu rakyat tadi.
Demikian adilnya Tuhan pada soal meratakan kebahagian kepada
hamba-hambanya.
Kritik sosial terhadap sang kapitalis jahat juga jelas dalam
naskah ini. Sang kapitalis jahat yang mereka fikir semua orang bisa di beli
dengan wang ringgit –seperti Jazuli-. Semua yang mereka lihat ingin di tukarnya
menjadi perniagaan buat mengaut keuntungan. Mahu diambil di beli tanah-tanah di
kampung buat mendirikan kilang, membawa masuk lori-lori besar, lori simen, lori
balak melepaskan debu habuk dan gas beracun di kampung-kampung. Inilah
kejahatan sang kapitalis. Habis ranap kehijauan kampung-kampung dan habis
tercemar udara segar yang selama ini kita hirup.
Menerusi dialog bidasan sindiran yang bertujuan nasihat dari
watak Pak Yaasin sangatlah menenangkan jiwa muda kita. Disini kita belajar
tentang semangat orang muda dan hikmah orang tua (Hamasatus Syabab, hikmatus
syuyukh). Buya mengajar kita mengawal marah muda, dan bersedia untuk tenang tua.
Buku ini sangat baik sekali untuk orang muda yang memerlukan
pedoman dari orang tua. Bagi yang jarang atau malu-malu untuk bercakap-cakap
meminta nasihat dari orang tua secara berdepan tentang falsafah kehidupan,
bolehlah kiranya –sebagai permulaan- mengurung diri di bilik dan habiskan
naskah ini seorang diri.
Nota hujung :
Selepas beberapa sesi perbincangan di aturkan,
Alhamdulillah, teman kita yang menganut faham Agnostisme itu kembali menerima
keadilan illahi yang Islam tawarkan.
ConversionConversion EmoticonEmoticon