Tajuk: Model Dakwah ABIM: Meniti Sejarah, Membangun Ummah
Penyunting: Muhamad Razak Idris
Penerbit: ABIM
Muka Surat: 49
Buku kecil ini merupakan siri monograf dakwah salah satu
gerakan Islam senior tanah air. ABIM atau Angkatan Belia Islam Malaysia
ditubuhkan kira-kira 44 tahun dahulu, diasaskan dengan hasrat untuk memenuhi
kekosongan harakah Islamiah (gerakan islam) pada peringkat pergerakan belia
seterusnya menyediakan kader-kader pendakwah dalam bidang kerjaya (Abdul Aziz
Mohd Zin 2006: 169).
Monograf ini membentangkan beberapa kertas kerja
pendokongnya dengan tujuan membuka ruang perdebatan secara rasional dan adil
serta mengajak masyarakat khususnya generasi muda untuk memahami perjuangan,
isu-isu utama, krisis dan dilema yang berlegar di dalam ABIM. Antara kertas
kerjanya:
1. Dakwah
dan Pembentukan Khayra Ummah: Pengalaman ABIM (Ahamd Azam Abd Rahman)
2. Model
Dakwah ABIM: Meniti Sejarah, Membangun Ummah (Rumaizuddin Ghazali)
3. Prinsip
non-partisan ABIM dalam Percaturan Politik Semasa: Satu Analisis (Marzuki
Mohamad)
4. Post
Colonial Struggles in Malaysia: Telling the story of ABIM (Prof John Raines)
Monograf ini akan memahamkan kita bahawa ABIM adalah sebuah
gerakan yang bertunjangkan dakwah, tarbiyah, ilmu (knowledge-based) dan memilih
untuk mengambil sikap terbuka dan sederhana berasaskan realiti masyarakat
setempat. Kefahaman bahawa kaedah dakwah negara lain belum tentu memenuhi
tuntutan dakwah di negara sendiri, membawa mereka untuk memperkenalkan ‘Manhaj Maliziyy’ sebagai
orentasi pendekatan mereka. Manhaj ini mengajak kepada sebuah harakah (gerakan)
yang tidak carbon copy atau menigmport bulat mana-mana manhaj gerakan Islam di
dunia ini.
Dalam politik pula, ABIM memilih untuk sentiasa bersikap
non-partisan; bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana
parti-parti politik dalam menangani isu-isu politik. Mereka juga tidak berminat
menjadi parti politik berhujahkan kepada pengalaman gerakan Islam yang menjadi
parti politik dan terlibat secara langsung dalam proses pilihan raya seperti
An-Nahdah, Jamaati Islami, Refah (sekadar beberapa contoh) yang tidak pun
menunjukkan rekod yang baik atau memberangsangkan. Kaedah politik mereka kearah
menggunakan konsep ‘partner in nation building’, di mana mereka bersedia
berganding bahu dengan pemerintah dan pembangkang secara selektif dan terus
berperanan dalam mengkritik mana-mana isu yang merugikan dan menjejaskan
ummah.
Krisis dan dilema mana-mana gerakan Islam tentunya pelbagai.
Di sini saya kongsikan salah satu cabaran dan dilema yang dihadapi ABIM iaitu
dilema untuk mengimbangkan pendekatan aktivisme dengan institusionalisme atau
semangat orang muda vs hati-hati orang tua. Pendekatan aktivisme yang
confrontational telah menonjolkan ABIM sebagai pertubuhan dakwah yang progresif
dan gerakan sosial yang disegani manakala pendekatan institutionalism lebih
mahu menjaga hubungan baik dengan semua pihak dan meletakkan ABIM sebagai badan
dakwah yang dihormati yang berjaya menambat hati ramai orang. Kemuncak krisis
ini betul-betul teruji ketika krisis Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim pad
September 1998.
Begitulah serba sedikit ‘story’ mengenai ABIM yang mampu dikongsikan
setakat ini. Sememangnya, sebuah gerakan Islam yang cukup kaya dengan sejarah
serta besar peranan dan jasanya dalam perkembangan dakwah di negara ini tidak
mungkin dapat diceritakan sepenuhnya di dalam review yang ringkas. Masih banyak
yang belum disentuh. Namun, diharapkan ia dapat menjadi pencetus untuk kita
terus cuba bertaaruf dengan gerakan ini.
Bagi saya, buku-buku atau dokumentasi seperti ini perlu
dibaca lebih-lebih lagi oleh para aktivis gerakan islam. Hal ini kerana realiti
malang para aktivis gerakan islam hari ini ialah mereka terlalu sibuk bercakar
sesama sendiri yang timbul kerana persepsi dan kegagalan untuk cuba
memahami metodologi atau pemikiran
gerakan yang berlawanan dengan mereka. Semestinya sikap ini wajib kita betulkan
bersama. Mudah-mudahan kita lebih berlapang dada dan adil terhadap kawan dan
lawan.
Tidaklah nanti, kita sentiasa paranoid terhadap geng kita
sendiri!
ConversionConversion EmoticonEmoticon