#186 Pemburu Kesepian di Bumi Geordy



Tajuk: Pemburu Kesepian di Bumi Geordy
Penulis: Dr Maszlee Malik
Penerbit: Telaga Biru
Muka Surat: 326

Mungkin di kalangan rakyat Malaysia, Durham (disebut Da-rem) tidaklah begitu terkenal jika mahu dibandingkan dengan Manchester, Liverpool dan London. Namun begitu, daerah Durham cukup kaya dengan kelebihannya yang tersendiri walau namanya jarang-jarang kita dengar.

Antara kelebihan terbesarnya adalah di Durhamlah terletaknya universiti ketiga tertua di England (setelah Oxford dan Cambridge) yang terkenal dengan sejarah orientalisme dan pembelajaran politik Timur Tengah. Di situlah terdapatnya khazanah orientalis yang begitu banyak serta melahirkan ramai orientalis dan birokrat terkemuka bumi UK. Mungkin kerana itu ia berjaya meletakkan diri di antara universiti terbaik di UK.

Info tambahan: Daerah ini juga merupakan kampung halaman tokoh-tokoh UK seperti Tony Blair (bekas PM Britain), Rowan Atkinson (Mr Bean), dan Kevin Keegan (lagenda bola sepak England).

Orang Inggeris mengelar Durham sebagai Geordy Land dan ia adalah bandar yang sunyi, bersih dan terpelihara dari huru hara dan budaya rosak bandar-bandar lain seperti London dan Newcastle. Bumi Durham bernasib baik kerana tidak ramai imigran yang datang bermastautin ke situ. Oleh itu, orang-orang Durham masih lekat dengan etika dan lagak asli orang England. Menurut  Dr Maszlee, kemajmukan penduduk adalah penyebab yang menghilangkan identiti sesebuah kota. Maka tidak pelik bilamana Dr Azzam Tamimi (tokoh Islam di London) mengatakan bahawa kota seperti London bukanlah kota orang putih.

Buku ini merupakan travelog Dr Maszlee sekitar tahun 2007-2009. Pada setiap peristiwa dan pengalaman yang diceritakan di dalam buku ini, Dr Maszlee pasti mengolahnya dengan ilmu-ilmu yang disandarkan pada rujukan-rujukan yang cukup warna warni. Bukan sahaja dibentangkan rujukan timur dan Islam tetapi juga dibawanya rujukan tokoh-tokoh dan kitab-kitab barat dan bukan Islam. Beliau berjaya menjambatankan dua dunia yang dikatakan saling berkontrakdiksi dan membuktikan pada para pembaca akan keluasan pembacaannya dan bagaimana memaknakan dan mengaplikasikan pembacaan ke dalam kehidupan.

Ini, pada saya adalah kaedah yang cukup penting bagi sesiapa yang bercita-cita atau sedang dalam ‘mode’ pengembara. Seharusnya seorang salik (pengembara) tidak hanya mengumpul selfie dan ‘check-ins’ tetapi lebih utama belajar melihat dunia dengan kaca mata illmu agar dapat dimanfaatkan pada diri dan orang lain. Sindiran, kritikan dan olahan Dr Maszlee -selain membuka minda, menganjak paradigma serta membawa idea-idea dan alternatif dakwah yang baru dan segar- sewajarnya juga dijadikan muhasabah yang besar buat umat Islam seluruhnya.

Jika berkesempatan, saya mengesyorkan agar anda membaca buku ini kerana ia pasti membawa kita memahami dan membenarkan kata-kata Sheikh Muhammad Abduh (tokoh pemikir Islam Mesir) iaitu "Aku melihat Islam di barat namun tidak melihat muslim disana. Aku melihat muslim di timur tetapi tiadanya Islam disana.”
Previous
Next Post »