#187 Al-Madad: Suatu Penjelasan

Buku ini diedarkan secara percuma ketika perkampungan sunnah 2.0 baru-baru ini; menunjukkan seriusnya jabatan mufti negeri perlis dalam usaha mendidik masyarakatnya tanpa cuba-cuba mengambil kesempatan memkomersialkan ilmu dan agama. Kita doakan agar usaha ini sentiasa subur dan dipermudahkan urusannya.

Tajuk: Al-Madad: Suatu Penjelasan
Penulis: Muhamad Abdul Kadir Sahak
Penerbit: Jabatan Mufti Negeri Perlis
Muka Surat: 78

Sebahagian besar umat Islam yang melazimi qasidah, pasti ada yang biasa melafazkan "Al Madad Ya Rasulullah" yakni meminta pertolongan daripada Rasulullah selepas kewafatannya. Lafaz-lafaz seperti "Tolonglah kami ya Rasulullah", "Tunaikan permintaan kami Ya Rasulullah" adalah satu bentuk doa yang dikhususkan kepada selain Allah. Kerana itu jawatankuasa fatwa negeri perlis menfatwakan perkara ini sebagai suatu perbuatan yang syirik.

Al-Madad adalah sejenis Al-Istighathah; dan Al-Istighathah pula termasuk daripada jenis-jenis doa. Jika doa adalah mekanisme memohon dalam keadaan sulit dan lapang, al-Istighathah pula hanya khusus dipohon dalam keadaan yang sulit sahaja.

Al-Istighathah pula terpecah kepada dua iaitu yang Masyru'ah (dibenarkan) dan Mamnu'ah (tidak dibenarkan). Berlaku salah faham dalam bab al istighathah sehinggakan ramai yang gagal membezakan di antara yang boleh dan yang tidak boleh, juga di antara Al-istghathah dan juga al-Tawassul. Ada juga yang beranggapan al-istighathah ini semuanya boleh belaka.

Buku ini membentangkan falasi pada hujah-hujah mereka yang membenarkan dan mengamalkan Al-istighathah al Mamnu'ah; lalu mengajak kita memahami dan beramal dengan amalan yang sahih dan sareh.

Kaedah penghuraian buku ini bukan hanya cantik dalam meluruskan kekeliruan dan salah faham tetapi juga cukup mantap dalam mengajar pembacanya akan cara-cara berinteraksi dengan nas (khususnya al-hadis).

Sebagai contoh, dalam bab hadis, baru saya tahu bahawa sahihnya sesuatu sanad belum tentu menjamin matannya sahih. Maka selepas ini perlu dipastikan bilamana para ulama hadis mengatakan hadis ini sahih; adakah yang sahih itu merujuk kepada sanadnya atau matannya.

Buku seperti ini pasti diserikan dengan golongan yang akan menuduh mufti-mufti perlis menyebarkan agenda wahabism. Sedang hujah yang dinyatakan bukanlah hujah mufti perlis, bukan juga hujah Muhammad bin Abdul Wahab, tetapi hujah ulama-ulama yang besar seperti Ibn Kathir, Ibn Hajar, Al Syaukani, Ibn Taimiyyah dan sebagainya.

Ada juga yang mungkin cuba melarikan diri (escapism) dengan berselindung di sebalik hujah "Ini khilaf!"; Sedangkan dia pun tidak tahu bahawa adakah ia benar-benar khilaf atau hanya khilaf jadian untuk terus membenarkan amalannya.

Dan ada mungkin juga wujud hujah balas yang lebih kuat dan meyakinkan daripada apa yang tertulis di dalam buku ini. Jika ada, mohon kongsikan.

Ala kulli hal, yang penting biarlah amalan apa pun yang kita dirikan ikhlas dan bersandar pada hujah yang benar. Agar tidaklah ia menjadi debu-debu yang berterbangan di akhirat kelak.

Wallahualam.
Previous
Next Post »