#234 Merantau Ke Deli



HAMKA siapa yang tidak kenal sosok ulama’ nusantara ini? Daripada penulisan yang berfakta sejarah seperti “Sejarah Umat Islam”, ke penulisan reformatif seperti “Peribadi” sehinggalah ke novel-novel roman seperti “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck”, semuanya boleh dikatakan ditulis dengan baik oleh Buya HAMKA meski mungkin terdapat satu dua yang kurang tepat. Ya, dia manusia begitu juga kita. Seperti mana novelnya yang lain-lain, HAMKA tidak pernah lekang dalam mengkritik adat, budaya, keturunan dalam masyarakat Indonesia.

Tajuk: Merantau Ke Deli
Penulis: Prof Dr HAMKA
Penerbit: PSN Publication
Bilangan muka surat: 153

“Merantau Ke Deli" membawa sebuah kisah sepasang suami isteri yang pada mulanya telah mengecap bahagia namun di penghujungnya bercerai jua. Hidup tak selalunya indah. Bak kata pepatah, “Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari”. Sebelum menaiki bahtera perkahwinan, Leman bersumpah setia, manis mulut umpama tebu di bibir berjanji bahkan dengan nama Illahi akan sentiasa bersama dengan Poniem walaupun mereka bukanlah dari latar budaya yang sama. Leman orangnya Padang, Poniem pula asalnya Jawa.

Langit tidak selalunya cerah, mereka diuji dengan kemerosotan perniagaan yang itu merupakan satu-satunya periuk nasi mereka.  Kata orang, cinta itu satu pengorbanan. Poniem melucutkan segala perkakas emasnya dalam simpanan mahupun di badan untuk dipertaruhkan sebagai modal perniagaan. Takdir tuhan, perniagaan Leman semakin maju dan berhajat pulang ke kampungnya.

Sekembalinya dari desa halaman itu, satu "hasutan" menghantui benak fikiran Leman iaitu menyuruhnya berkahwin dengan gadis kampung tersebut. Sudah menjadi adat, bagaimana terjadi sekalipun, si lelaki mesti kahwin dengan gadis Padang juga. Leman sayangkan Poniem namun dia juga tertarik dengan si gadis manis Mariatun.

Sayang untuk ceraikan Poniem, Leman mengambil keputusan berbini dua. Hati perempuan mana yang mampu menahan untuk dimadukan namun cinta yang menggunung dan janji yang terpateri dengan berat menerima Mariatun sebagai rakan kongsi kasih sayang Leman.

"Sudah jatuh ditimpa tangga", sakit hati dimadukan ditambah perisa dengan kelakuan Mariatun. Mulanya manis bergula setelah beberapa lama masam mencuka. Mariatun yang kuat berlakon memburukkan Poniem dihadapan Leman dari hari ke hari mendidihkan lagi hati Poniem. Namun perempuan itu kuat, diterimanya saja pada mulanya.

Sudah suratan, Mariatun menjadi-jadi perangai busuknya. Disumpah seranahnya Poniem tiada kasihan. Apa yang diserangnya ialah gadis Jawa itu buruk yang tinggi gadis Padang. Apakah adat ini sejalan dalam anjuran Islam? Tidak!

Suatu hari tercetus kejadian yang amat besar. Leman menceraikan Poniem akibat pertengkaran disebabkan ketidakdilan  Leman yang memberati Mariatun. Sudahlah ditalakkan, disepak pula oleh Leman. Celaka lelaki itu.

Bercerailah untuk selamanya sepasang kekasih yang dulunya rela berkorban berkerat rotan bersumpah dengan Tuhan untuk selamanya menjadi teman. Kini tiada lagi. Akibat adat, dari yang retak sudah terbelah.

Saya kira sudah panjang sinopsis ini walaupun belum bertemu pengakhirannya. Pada pendapat saya, HAMKA sangat bijak menyampaikan kritik sosial melalui sentuhan novelnya. Jika disebelah sana mahsyur dengan nama Leo Tolstoy novelis revolusioner, di sini kita juga ada sosok jelmaannya, iaitu HAMKA walaupun namanya itu tidak se'gah' Tolstoy, yang mungkin kerana HAMKA asalnya dari tanah kepulauan Melayu yang kurang mengangkat tokohnya sendiri barangkali.

Menurut Dr Abu Ameenah Bilal Philips dalam buku beliau "The Clash of Civilisations: An Islamic View" [1], sebab utama kegagalan umat Islam hari ini dalam menghadapi kebobrokan hegemoni Barat adalah kerana penyelewengan yang berlaku ke atas ajaran Islam yang bercampur aduk dengan pelbagai adat resam atau budaya serta tradisi sehingga orang Islam itu sendiri tidak mampu membezakan yang mana amalan Islam yang mana budaya tempatan. Hal ini mungkin menyebabkan HAMKA bangkit bersuara dengan tulisan-tulisannya membasmi kuman-kuman budaya yang salah.

Harus diingatkan bukanlah semua budaya itu salah tapi jika semuanya dari sunnah itu pasti benar.

Allahu'lam.

Nota kaki
[1] Buku ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Jahabersa yang diberi tajuk "Antara Islam & Budaya". Sila rujuk muka surat 32.
Previous
Next Post »