Judul asal buku ini ialah 'Kaifa Tahfazhul Qur'anal Karim fi Syahr'. Bila membaca tajuknya saja, menghafal keseluruhan Al Quran dalam satu bulan? "Mungkinkah?, "Bolehkah?" "Saya sudah tua". "Beri peluang pada anak saja hafal Quran sebab hati mereka masih bersih". "Saya sangat sibuk". "Saya susah menghafal", "Ingatan saya lemah". "Hafaz Quran ni kelebihan orang tertentu sahaja". "Saya tak layak, saya tak mampu".
Tajuk: Sebulan Hafaz Al Quran
Penulis: Ir. Amjad Qasim
Penerbit: ZamZam Mata Air Ilmu
Muka Surat: 132
Itu stigma yang selalu berlegar dalam minda kita. Hakikatnya siapapun kita, sibuk bagaimana pun diri kita, walau apapun kemampuan mahupun kekurangan kita, kita tetap seorang calon penghafal Al Quran !
Itulah perkara pokok yang dihidangkan dalam buku Indonesia ini. Melepaskan diri dari konsep fikiran negatif yang membelenggu diri. Menyedarkan pembaca tentang jati diri. Siapa diri kita? Apa yang membezakan kita dari makhluk-makhluk Allah yang lain hingga kita terpilih sebagai khalifah-Nya di muka bumi?
Buku ini menyajikan metod-metod untuk menghafal Al Quran dalam masa sebulan. Ya, sebulan cukup untuk menghafal keseluruhan Al Quran. Macam mustahilkan? Tapi dibuktikan benar bila membaca kisah-kisah inspirasi individu seperti Ukhti Iman, Ummu Zayid dan Ummu 'Ashim, malah ada yang berjaya menghafal kurang daripada 30 hari. Ibu yang ada anak, ada suami, sibuk dengan kerja-kerja rumah, orang biasa-biasa tapi berjaya menghafal keseluruhan Al Quran dalam masa yang singkat, dengan izin Allah.
Buku ini banyak mengetengahkan keajaiban otak manusia ciptaan Allah Ta'ala, bagaimana teknik untuk 'reprogram' otak sedar dan otak luar sedar kita. Ulang kata-kata pada aqal sedar sehingga dibenarkan oleh aqal batin kita. Sering katakan apa yang kita mahukan, jangan katakan apa yang kita tidak mahukan. Contohnya, jangan disebut "aku tidak gagal" tapi ubah kepada "aku berhasil". Ulang ulang dan ulang.
Turut dimuatkan langkah-langkah menghafal Al Quran, cara efektif menghafal Al Quran dan melekat dalam jangka panjang seperti yang diterap para guru penghafal kitab di Turki, cara efektif untuk mengulangi dan menghafal dengan cepat, seni konsentrasi, penghalang menghafal Al quran dan kaedah mengatasi, metod muraja'ah hafalan Al Quran dan sebagainya.
Hafalan yang tidak diulang akan cepat hilang sebagaimana kisah Imam Ibnu Abi Hatim yang menghafaz kitab dengan cara mengulanginya sehingga 70 kali. Manakala bila ditanya kepada wanita tua yang mencela perbuatan menghafal Iman Ibnu Abi Hatim selang setahun kemudian, namun tak sedikitpun hafalan wanita tua itu yang bersisa. Sedangkan beliau, tidak sedikit pun dari kitab itu yang dilupa.
Bagi sesiapa yang merasakan sulit untuk menghafal Al Quran, bahkan mungkin kita orang biasa-biasa tapi bercita-cita untuk menghafal 30 juzuk Al Quran, silakan membelek buku ini. Banyak teknik-teknik praktikal di dalamnya. Moga sama-sama mengutip manafaatnya.
Memohon pada Allah semoga membantu kita, mencurahkan rezeki hafal Al-Quran kepada kita dan melindungi kita semua dari syaitan yang terkutuk. Moga ia (Al Quran) menjadi sebaik-baik peneman di dunia dan di alam kubur sana.
"Jagalah dirimu, jika engkau tidak menyibukkan dengan Al-Haq, ia akan menyibukkanmu dengan kebatilan". - Hasan al Basri
ConversionConversion EmoticonEmoticon