#174 Anak Mat Lela Gila


Tajuk: Anak Mat Lela Gila
Penulis: Ishak Haji Muhammad (Pak Sako)
Penerbit: ITBM Cetakan 2014
Bilangan muka surat: 184

“Anak Mat Lela Gila” merupakan karya Pak Sako yang boleh dikatakan sebagai magnum opus beliau, diterbitkan sekitar 1960. Walaupun novel ini dihasilkan lebih dari 40 tahun yang lalu, kebanyakan isu-isu masyarakat yang diketengahkan adalah malar segar (evergreen) dan masih berlaku sehingga ke hari ini. Saya katakan pemikiran Pak Sako merentas zamannya yang secara halus mengkritik keadaan social dengan penggunaan gaya bahasa lama yang mudah difahami.
Novel ini mengisahkan seorang pemuda kampung yang dianggap gila oleh penduduk setempat kerana suka membersihkan laman masjid tetapi tidak pernah bersolat dan menjengah ke dalamnya. Adapun juga kedaannya Mat Lela suka merayau seorang diri di dalam hutan menyebabkan banyak mulut mengatakannya gila walhal itu kesukaan Mat Lela.  Mat Lela suka menghabiskan masa di hutan dengan berbekalkan sebilah parang. Dia membina bangku-bangku di bawah pohon rendang untuk dirinya berehat di kala penat menjelma dan dua buah rumah kecil.

Suatu hari, ketika Mat Lela masuk ke dalam rumah kecil binaannya itu, alangkah terkejutnya dia akan seorang bayi lelaki telah berada dalam rumah tersebut berselimut dengan sehelai kain dan terbaring di sebelah suatu bungkusan berisi akar-akar kayu dan sehelai kertas. Telah jatuh suka Mat Lela dengan budak itu lalu dibela ia olehnya. Mat Lela cukup menjaga budak kecil itu, ditatangnya bagai minyak yang penuh dan diberi nama Bulat. Mat Lela menceritakan kepada Bulat mengapa dia berkelakuan sedemikian rupa walaupun ketika itu Bulat masih kecil. Mat Lela tidak pernah membawa Bulat keluar dari rumah keciknya itu takut-takut masyarakat menuduhnya berbuat sesuatu yang tidak baik.

Suatu malam, sepasang suami isteri iaitu Johari dan Permai berbincang untuk memutuskan ikatan tali pernikahan kerana menyangka Johari menghadapi masalah peranakan. Mereka sangat berkeinginan dikurniakan cahaya mata. Johari dan Permai berada jauh dari perumahan penduduk kampung kerana tidak mahu perbincangan mereka didengari oleh orang lain. Tiba-tiba disaat getir sebelum bercerai, mereka dikejutkan dengan suara tangisan yang datang dari arah rumah kecil Mat Lela. Johari dan Permai memberanikan diri mendekati dan masuk ke dalam rumah itu. Johari dan Permai saling berpandangan setelah mendapati suara tangis itu datangnya dari seorang bayi lelaki. Beranggapan bayi itu kuriniaan tuhan dan jawapan kepada harapan mereka, Johari dan Permai tanpa berfikir panjang mengambil budak lelaki untuk dijadikan anak.

Ditakdirkan tuhan, Johari dan Permai juga menamakan budak itu sebagai Bulat. Semenjak kehadiran Bulat dalam keluarga Johari, kehidupan mereka bertambah senang. Perusahaan kebun dan perniagaan Johari semakin maju. Bulat dianggap membawa tuah sehingga digelar anak dewa dan anak orang bunian. Bulat diberi jolokan sebegitu rupa juga kerana Bulat tidak pernah menangis sedari kecil lagi sehingga dia berumur 6 tahun kerana rumah tangga Johari mula berantakan. Johari berasa sangat serba salah dengan kelakuan mereka enam tahun yang dulu, mengambil anak dari jagaan Mat Lela. Bertambah rasa bersalah apabila mengetahui Mat Lela telah mati kerana terlalu rindu dan sedih kehilangan Bulat darinya.

Johari mengambil keputusan untuk merantau ke Kelantan bersama Bulat demi mendalami ilmu agama. Di Kelantan, Bulat ditinggalkan Johari kerana di sana Johari sudah menikah bini yang baru dan menurut katanya. Bulat sedih lalu membawa diri ke tepian laut. Ada sepasang suami isteri yang sedang bergurau senda baru mengikat tali perkahwinan mereka. Bulat menghampiri mereka menanyakan jika ada kerja kosong untuk dia jalankan. Pasangan itu bersetuju mengambil Bulat bekerja. Bulat sangat bagus dalam kerjanya dan dibawa bersama ketika pasangan itu bercuti di Cameron Highland. Pada hemat Bulat, mereka ini orang kaya. Namun wang gaji Bulat masih tertunggak walaupun makan dan pakai Bulat ditanggung mereka.
Entah apa nasib badan. Bulat sekali lagi ditinggalkan oleh suami isteri tersebut. Mereka sebenarnya bukanlah golongan berada, hanya suka menunjuk kaya, kata orang, “Biar papa, asal bergaya”. Bulat hanya tinggal sehelai sepinggang. Ke mana hendak membawa diri, dia tidak tahu.
…………………………………………………………………………………………………………
Komen/Cadangan

1. Di sini saya bawakan beberapa petikan dari novel ini yang saya kira ada nilai yang perlu ditekuni.
“Adapun gila itu ialah suatu jenis penyakit yang mengenai otak – kata tabib atau dukun atau doctor kita zaman sekarang. Orang yang terkena penyakit itu hilang akalnya dan rosak fikirannya; tidak senonoh tingkah laku, tidak tentu budi pekertinya.

Begitulah ringkasnya makna gila. Itu pun entah betul entahkan tidak. Oleh yang demikian, kita serahkanlah perkara ini kepada tabib yang mengetahuinya kerana jikalau dipanjangkan perihal gila ini harus pengarang buku ini dikatakan gila dan pembaca-pembacanya pun jadi gila. Akan tetapi pada zaman sekarang banyak perkara yang luar biasa; banyak perbuatan manusia yang menyalahi adat, tetapi mereka itu tidak dikatakan gila, hanya dunia sahaja yang dikatakan gila.

Bagaimanapun, gila atau tidaknya seseorang itu atau sesuatu perbuatannya tertaluk kepada keputusan orang ramai. Jikalau kata tabib si anu tidak gila, tidak sakit atau rosak otaknya dan tiada hilang fikirannya, tetapi orang ramai mengatakan ia gila, maka gilalah ia. Demikianlah yang telah berlaku atas diri Mat Lela.” (ms 8)

“Di dunia ini maka apabila seorang itu terlalu miskin maka ia tidak dihiraukan oleh orang ramai walaupun tegur sapanya, budi pekertinya tiada yang boleh dicela; walaupun hatinya suci dan perasaannya bersih kerana bak kata bidalan: hina besi kerana karat hina manusia kerana miskin. Tetapi ia lekas dipuji orang dan dipandang oleh orang-orang yang dikelilinginya, yang jauh dan tiada kena-mengena dengannya jika ia sekonyong-konyong mendapat untung besar, menjadi kaya-raya. Begitu juga lekasnya orang miskin akan dimarahi, dicela dan dinista jika ia melakukan sesuatu kesalahan atau kesilapan hatta kecil sekalipun kesalahannya itu.” (ms 19)

2. Sengaja saya tidak habiskan penceritaan riwayat hidup Bulat kerana ingin anda semua membacanya sendiri dan mengetahui pengembaraan onak duri Bulat sehingga dia bertemu dengan ibu bapa kandungnya yang sebenar. Begitulah nasib Bulat, seperti namanya juga, bergolek ke sana ke mari. Ditinggalkan ramai orang sehingga akhirnya ke pangkuan keluarga sebenar.

3. Bagi saya, bahasanya tidaklah terlalu puitis seperti karya Buya Hamka, namun tetap mempunyai kelunakan yang tersendiri dengan penggunaan gaya bahasa lama.

4. Antara karya penting Pak Sako yang lain ialah “Putera Gunung Tahan” dan “Budak Beca” yang boleh didapati dari penerbit ITBM.

5. Sudah lama saya tidak menulis. Maaf jika bahasanya tidak selunak dan setajam dahulu.
Previous
Next Post »