#88 12 Sifat Ibadurrahman

Tajuk: 12 Sifat Ibadurrahman Judul asal: Khutbah As-Sheikh Yusuf Qaradhawi Penerbit: Blue-T Publications Muka Surat: 200


Saya, kebelakangan ini, banyak membaca tulisan-tulisan berkaitan falsafah dan ideologi seperti sosialisme, kapitalisme dan komunisme sebagai persediaan pemikiran untuk berhadapan dengan ghazwul fikr (peperangan pemikiran). Namun, sampai ke suatu tahap fikiran terasa penat dan hati terasa kontang. Maka inisiatif menelaah genre spiritual diambil bagi menyegarkan hati dan menyelaraskan fikiran. Bismillah. Suatu ketika dulu, sekitar 2008, ayah saya pernah menghadiahkan buku ini buat hari jadi saya. Pesannya, "Abang, banyakkan membaca kerana kita tidak tahu pada halaman mana terletaknya 'turning point' kehidupan kita". Begitulah riwayatnya seingat saya. Namun waktu itu, diri masih rebel untuk membaca dan buku tersebut hilang entah ke mana. Alhamdulillah di rak bacaan TNB Bangsar ini saya bertemu kembali dengan buku tersebut dan direzekikan untuk menghabiskannya. Bermula ayat 63 sehingga ayat 78 Surah Furqan, Allah menceritakan 12 ciri-ciri IBADURRAHMAN dan buku ini bertindak sebagai pemudah cara untuk kita faham dan 'mendaftarkan' diri sebagai IBADURRAHMAN. Kalau ditanya apa itu IBADURRAHMAN? Jawapannyan ialah hamba-hamba Allah yang dimuliakan dengan rahmat Allah dan kekal berada di dalam naungan rahmat tersebut. Dibawah saya kongsikan secara ringkas sifat-sifat yang diwahyukan. 1. Tawadhu' (rendah hati) Ibadurrahman berjalan di pelosok bumi tanpa muncul daripada mereka sikap keras, sombong, berbangga-bangga dan berbesar diri. Mereka tidak berbuat kerosakan, tidak mencari ketinggian dan tidak lebih mendahulukan keuntungan dan kenikmatan dunia yang fana. 2. Lemah Lembut Bila berdepan dengan orang jahil yang mengucapkan kata-kata yang buruk, menabur fitnah dan menyebar mungkar, Ibadurrahman lantas memangkasnya dengan kelembutan, tidak membalas dengan yang sama tetapi lebih cenderung memaafkan. Bicaranya baik-baik dan mereka tidak terpancing menurut kejahilan nafsu dan emosi. 3. Mendirikan Qiamulail Ibadurrahman sentiasa merasa lazat dikala menghadapkan wajahnya kepada Penciptanya di malam hari. Mereka berjaga saat manusia lain dibuai mimpi kerana menyedari bahawa ibadah kegelapan malam menjauhkan riak, membangkitkan kebahagiaan hati dan menyuntik ketenangan jiwa. 4. Takut Api Neraka Dalam keindahan taat dan taqwa mereka, Ibadurrahman sentiasa merasakan diri masih kurang dalam amalan dan jauh dari rahmat. Mereka selalu terbayang akan dahsyatnya azab neraka Allah dan tidak merasakan amalan sedia ada sebagai jaminan yang mengamankan diri daripadanya. 5. Sederhana dalam Pembelanjaan Ibadurrahman adalah mereka yang tidak membazir dan tidak juga kikir. Mereka berada di puncak pertengahan di antara kebakhilan dan keborosan. Tidak melampaui batas pada kedua-duanya. 6. Tauhid yang Jelas Ibadurrahman sentiasa beribadah semata-mata kerana Allah. Mereka tidak mensyirikkan Allah dan mengetahui benar bahawa hanya Allah yang memberi manfaat dan menolak mudharat. Tiada yang selainNya. 7. Tidak melakukan Pembunuhan Ibadurrahman tidak membunuh jiwa tanpa alasan yang benar. Mereka memahami bahawa membunuh tanpa sebab hanya mengundang ancaman dan siksaan yang pedih. 8. Menjauhi Zina dan Bertaubat Nasuha Ibadurrahman tidak melakukan zina, malah mendekatinya sudah cukup mengentarkan jiwa mereka. Mereka menjaga maruah dan kemaluannya seperti yang diperintahkan dan cukup menjaga diri daripada dosa dan murka Rabbnya. Andai mereka terlanjur bermaksiat kepada Allah, kerana kelemahan mereka sebagai manusia, maka mereka segera kembali kepada Rabbnya, lantas menyesali dan meninggalkan maksiat tersebut dan digantikannya dengan amal-amal yang soleh. 9. Tidak Melakukan Persaksian Palsu Ibadurrahman adalah golongan yang setia dengan kebenaran. Tiada pada mereka sikap dusta dan mereka tidak melibatkan diri dengan majlis-majlis kepalsuan kerana tindakan tersebut menghilangkan hak dan mengubah arah kebenaran. 10. Tidak Melakukan Perbuatan Yang Sia-sia Ibadurrahman tidak memiliki waktu untuk disia-siakan atau dibazirkan. Mereka memahami bahwa kewajipan lebih banyak daripada masa lantas sentiasa memuliakan pendengaran, penglihatan dan perbuatan pada perkara yang bermanfaat. 11. Menyelami ayat-ayat Allah Hati Ibadurrahman sentiasa responsif pada perintah-perintah dan ayat-ayat Tuhannya. Mereka menerimanya dengan kefahaman dan menjadikannya sebagai pelajaran. 12. Memohon Isteri dan Zuriat yang Baik Ibadurrahman tidak akan merasa cukup andai sifat-sifat sebelum ini hanya dimiliki dirinya sendiri. Bahkan mereka juga inginkan agar dikurniakan pasangan dan keturunan yang juga dapat berkongsi sifat-sifat yang telah dinyatakan. Agar sama-sama dapat mengejar tingkatan taqwa yang sebenar dan menjadi golongan yang memimpin dunia dengannya. Wallahualam. Demikianlah 12 sifat Ibadurrahman. Membaca buku ini mengingatkan kembali kepada allahyarham TG Nik Abdul Aziz. Bagi saya dialah model Ibadurrahman yang jelas buat kita semua. Maka, alangkah baiknya jika kita dapat mengikuti jejak langkahnya dan jika hidup kita sentiasa dalam rengkuhan ayat-ayat ini.
Previous
Next Post »