#197 Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu



Hati yang hampa tiada mengandung Sejarah Bangsa,
Tiadakan dapat tahu menilai hidup yang mulia;
Penyimpan Khabar zaman yang Lalu menambah lagi
Pada umurnya umur berulang berganda-ganda. [1]

Tajuk : Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu
Penulis : Syed Muhammad Naquib Al-Attas
Penerbit : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), 1999
Muka surat: 76

Buku ni dimulakan dengan bait-bait kata tersebut, yang penulis sendiri tidak dapat mentafsir secara akurat apakah yang hendak Syed Muhammad Naquib Al-Attas (SMNA) sampaikan. Namun penulis cuba untuk mentafsir secara kasar, berbekal dengan kefahaman yang sedikit. SMNA cuba untuk sampaikan bahawasanya satu-satu bangsa itu, andai ia melupakan sejarahnya dan tiada mengkajinya, masakan mahu mencapai kemajuan, keluhuran budi dan makna diri sebenar. Pastinya menemui kehampaan dalam perjalanan mencari erti diri dan erti kehidupan. Lantaran dari itu, masa berlalu terus, semakin jauh meninggalkan bangsa malang tersebut. Hanyut tanpa kenal erti diri dan kehidupan, menjalani kitaran hidup, awal hingga akhir. Dan terlahir nasab-nasab baru bangsa itu, hanya untuk mengulang kesilapan yang dilakukan oleh generasi mereka yang terdahulu.

SMNA melakarkan dalam buku ini bahawasanya, sejarah dan kebudayaan melayu di kepulauan melayu-indonesia ini telah banyak dicampur-adukkan, diolah secara tidak tertib dan mengandungi banyak unsur yang tidak tepat oleh sarjana dan orientalis barat. Hakikatnya, tamadun Islam di Asia Tenggara mempunyai sejarah yang cukup gemilang. Sejarah kita banyak keterkaitan dengan peradaban hindu-buddha. Sejak dari bangku persekolahan lagi, kita telah disajikan dengan sejarah-sejarah yang memberitahu tentang kewujudan peradaban yang mempunyai unsur hindu seperti candi-candi yang ditemui. Sememangnya wujud keterkaitan antara melayu dengan hindu dari dahulu lagi. Namun SMNA menekankan bahawa kedatangan Islamlah yang paling besar kesannya, berbanding dengan yang lain-lain seperti hindu dan Buddha.

Apa yang dibawa oleh Islam ke kepulauan melayu-indonesia ini meliputi banyak aspek-aspek yang penting dalam membentuk satu-satu peradaban atau tamadun. Bahasa, falsafah, dan budaya adalah antara aspek yang banyak dipengaruhi oleh Islam sewaktu kedatangannya ke kepulauan ini. Islam telah mengangkat bahasa melayu sebagai satu bahasa yang agung, sebagai lingua franca [2] dan mempunyai kesusasteraan yang tinggi. Bahasa melayu adalah bahasa ilmu. SMNA menegaskan bahwa bahasa melayu itu adalah bahasa pertuturan Islam yang kedua terbesar di dunia selepas bahasa arab. SMNA juga merincikan bagaimana Islam telah mengangkat darjat bahasa melayu, bagaimana perjalanan kaedah penulisan jawi dan selepas itu hadirnya kaedah rumi. Hadir Islam membawa perubahan kepada struktur sosio masyarakat melayu pada ketika itu. Membawa satu anjakan paradigma yang membolehkan orang-orang di kepulauan kenal makna diri dan kehidupan. Membawa gagasan weltanschauung [3] yang segar dan menyeluruh. Hakikatnya itulah sifat Islam itu sendiri – sebagai satu cara hidup. Bukan sekadar salah satu daripada jalur-jalur yang membentuk kehidupan.

Catatan penulis; untuk membentuk satu tamadun yang agung, perlu kepada ilmu yang mendalam dan memahami makna kehidupan. Buku ini akan sedikit sebanyak membuka mata kita yang selalu sahaja dibutakan oleh orientalis barat dan pengikut mereka dan tidak kurang juga orang-orang yang sebangsa dengan kita. Sejarah-sejarah sebenar dan keagungan yang lepas tidak dapat diperhalusi oleh golongan muda. Nilai-nilai agung sejarah tidak dapat digarap dengan baik kerana tiada pendedahan sebenar. Akhirnya melahirkan generasi yang tiada nilai apresiasi kepada bahasa dan sejarah bangsa sendiri. Kepelbagaian bangsa di Malaysia bukanlah satu keburukan, malah menjadi satu rahmat dan cabaran. Kepelbagaian harus dirai dengan jiwa dan cinta. SMNA telah menerangkan, terdapat lebih banyak titik persamaan dalam kepelbagaian berbanding titik yang bertentangan. Pandanglah dengan mata dan jiwa yang murni. Semoga Allah memberkati usaha kita semua.

Nota Hujung:

[1] - Bait-bait kata yang SMNA sertakan diawal buku ini.
[2] - Lingua franca bermaksud satu-satu bahasa yang telah diadaptasi ke dalam satu- satu masyarakat yang pada asalnya tidak menggunakan bahasa tersebut.
[3] - Weltanschauung membawa maksud satu sudut pandang hidup, konsep komprehensif pandang dunia yang dimana manusia dan kemanusiaan didalamnya.
Previous
Next Post »