#210 Diagnosis 3: Mortuari



Kerjaya sebagai seorang Doktor sememangnya menjadi impian sebahagian dari kita. Namun, kalau niatnya sekadar untuk mendapatkan pangkat dan harta, mungkin keputusan itu boleh dipertimbangkan semula. Kadang kala, hairan juga melihat sesetengah individu yang memilih haluan ini kerna berhajatkan gelaran Dr. semata-mata. Bimbang keputusan itu dibuat oleh desakan naluri yang meronta-ronta tanpa tuntutan oleh sesiapa. Akhirnya, tindakan itu membuahkan rasa berdosa kerana tidak berdaya melawan elusif masa yang mengekang hidup. ‌Inilah kesalahan paling fatal yang meragut nilai kehormatan sosial kepada mereka. 

Tajuk : Diagnosis 3: Mortuari
Penulis : Dr Jack Naim, Dr Fahd Razy, Dr Noor Hayati
Penerbit : DuBook
Bilangan Mukasurat : 183

Mutakhir ini, lambakan buku yang berkisarkan kisah seorang doktor seperti "Resus", "Goncang sebelum Guna", "Isteriku seorang Doktor", "sehari di A&E" dan "Satu sudu teh selepas makan" mula memenuhi carta di kedai-kedai buku tanah air. Diagnosis 3: Mortuari juga tidak kurang menyerlah. Bagi yang mengikuti siri-siri sebelum ini, pasti tertunggu-tunggu Dr Jacknaim, Dr Fahd Razy dan rakan-rakannya membedah kisah-kisah yang bermain dengan dua polar paling ekstrem dalam kehidupan setiap insan; hidup atau mati, bahagia atau derita.
Bagi saya, kisah-kisah dalam siri kali ini tidak jauh bezanya dengan siri-siri sebelumnya. Berputar sekitar situasi yang normal berlaku bagi kerjaya seorang Doktor. Mungkin berbeza dari segi karakter dan watak yang diketengahkan tetapi mesej yang hendak disampaikan boleh dirasa dan dicerna secara bersahaja. 

Saya tidak berniat mengulas panjang kisah-kisah yang disampaikan. Apa yang ingin saya cetuskan dan wajar untuk kita fikirkan bersama adalah bagaimana mereka mampu menulis sebuah buku ketika umum mengetahui tentang kerjaya mereka yang maha sibuk. Kadang-kala bingung untuk kita fikirkan bagaimana mereka mengatur hidup mereka bersama keluarga. Apatah lagi memperuntukkan masa untuk menulis buku seperti ini. 


Pesanan saya kepada sesiapa yang bercita-cita menjadi seorang Doktor, pilihlah kerjaya ini sebagai satu tuntutan fardhu kifayah kepada masyarakat,  hindarilah retorika ekstrem yang menyemai hubris berpanjangan dalam kehidupan. Teruskanlah berkhidmat kepada masyarakat dan berilah inzar kepada mereka bahawa anda hanya mampu berusaha. Selebihnya, terserah kepada Nya. Kudrat insani tidak sesekali berdaya melawan ketentuan Ilahi. (321)
Previous
Next Post »