#208 Risalah Untuk Kaum Muslimin



Permulaan kepada sesuatu adalah faham. Untuk mengenali, memahami, mengertikan sesuatu itu, kita perlu untuk faham akan sesuatu itu. Sebagai contoh, permulaan kepada ilmu adalah faham. Faham adalah satu proses pertengahan antara ‘input’ (baca) dan ‘output’ (ilmu). Untuk meraih hasil daripada pembacaan, kita perlu kepada faham. Didalam buku ini, SMNA menegaskan tentang faham. Faham kepada sesuatu akan membuatkan kita memperoleh ilmu tentang sesuatu dan akan membolehkan kita untuk terus ke fasa proses yang lain.

Tajuk                    : Risalah Untuk Kaum Muslimin
Penulis                 : Syed Muhammad Naquib Al-Attas
Penerbit                : IBFIM, Kuala Lumpur, 2014
Muka surat           : 209

SMNA memenuhi hampir separuh daripada buku ini tentang faham yang pelbagai. Tiap-tiap faham itu SMNA rincikan. Faham tentang agama, budaya, ilmu, bahasa dan pelbagai lagi jenis faham yang SMNA muatkan didalam buku ini. Kesemua faham ini dibentang kepada pembaca sebagai satu pengajaran dan peringatan untuk kaum muslimin. Kaum muslimin kala ini menurut SMNA telah dibutakan daripada tujuan asal kaum muslimin. Terlalu banyak faham-faham asing yang meresap kedalam lingkungan pemikiran kaum muslimin, sehingga telah menyebabkan mereka tergelincir daripada landasan yang asal yakni Islam. Kaum muslimin itu adalah satu kaum yang menganut satu agama sempurna, yang diturunkan dari langit, yang diciptakan oleh yang maha Esa, yang menjadi tumpuan permohonan hajat dari sekalian makhluk yang diciptakan, yang tiada beranak atau diperanakkan, dan tiada pula sesiapa yang serupa denganNya. Andai kaum istimewa ini menganut agama Islam dengan erti kata sebenar-benar anutan kepada agama sempurna ini, anutan yang hollistik yang tiada pula mengambil sedikit, dan menolak pula yang lain, saya kira buku ini sendiri tiada akan ditulis oleh SMNA kerana kaum itu sudah pasti menjadi kaum sempurna. Telah dinukil didalam kitab suci Al-quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً
Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhannya...” [1]

Secara terangan telah diberitahu kepada sekalian kaum muslimin melalui kitab suci, agar tidak bersikap “juz’I” [2] dalam beragama. Tetapi insan itu memang sejak azalinya sudah dilahirkan tidak sempurna. Oleh kerana itu, telah diturunkan agama untuk memandu insan daripada tergelincir dari landasan asal.  Agama Islam itu diturunkan dalam keadaan sempurna, tiada berubah dahulu, kini, dan selamanya. Akan kekal relevan sepanjang zaman sehingga tamat riwayat dunia ini. Dalam pada itu, diturunkan juga bersama-sama kitab agung yang mulia lagi sempurna ini Rasul/Nabi terakhir, “khatamun Nubuwwah” [2] iaitu Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh terbaik bagi seluruh umat manusia. Apatah pula bagi kaum muslimin. Dengan itu sempurnalah dua perkara yang diturunkan untuk umat manusia, iaitu agama Allah [3] dan Rasul Allah. Andai dipegang sekukuhnya kedua-dua perkara ini, dengan izin Allah, tiada akan tergelincir kaum muslimin itu daripada landasan asal muslim.

SMNA juga mengkritik keras orientalis barat, yang telah berjaya menyemai ideologi-ideologi, cara faham dan weltanschauung yang bertentangan dengan ajaran sebenar agama Islam. Kaum Muslimin kini terlalu ramai yang tiada benar faham akan apa itu Islam yang sebenar. Seperti yang telah saya nukilkan didalam artikel ringkas saya berkaitan penulisan Abdul Qadir Awdah yang sebelum ni, kritikan yang seakan sama SMNA campakkan kepada kaum Muslimin yang lalai itu. SMNA mengkritik kepada kaum Muslimin secara umum, yakni mereka yang tiada berusaha untuk mencari akan apa itu cara faham, pandang hidup Islam yang sebenar. Tiada pula usaha yang mereka lakukan, hanya taklid membuta-tuli, dari awal kelahirannya ke dunia sementara ini, hingga akhir hayatnya kembali pulang kepada penciptanya. Jika terlahir ia dalam satu keluarga muslim, maka beruntunglah ia. Namun jika keluarganya itu tiada pula menerapkan Islam yang benar, yakni Islam yang separuh-separuh sahaja, maka itulah yang mereka teruskan. Seakan telah berpuas hati, yakin akan Islamnya itu. Namun saya juga tidak menolak yang ramai kaum Muslimin kini yang tiada sebenar-benar peduli akan agama Islam itu. Pada mereka Islam itu hanyalah ritual semata. Disini datangnya peranan pihak berkuasa yang sepatutnya menyediakan landasan yang benar untuk kaum Muslimin memahami dan belajar tentang Islam. Namun kebobrokan penguasa yang telah terlari fokus mereka dari Islam; akibat daripada kefahaman mereka yang cetek itu tentang Islam, maka tiada mereka melaksanakan Islam seperti yang sepatutnya. Begitu luas aspek yang boleh pihak penguasa menerapkan, antara yang penting SMNA tekankan adalah aspek pendidikan. Bagaimana kaum Muslimin kini telah dilentur semenjak kecil lagi dengan corak pendidikan barat, dan bukan pula corak pendidikan Islam.

Hampir separuh pula daripada buku ini SMNA telah khaskan kepada permasalahan kaum Muslimin, yang berkisar rapat dengan faham-faham yang SMNA terangkan diawal separuh buku. Pada hemat saya, buku ini adalah satu buku yang baik untuk dibaca. Risalah untuk kaum Muslimin ini, saya merasakan perlu untuk dibaca berkali-kali, untuk peroleh pemahaman yang lebih baik. Kaum Muslimin yang sekarang ini sedang tenat menghadapi permasalahan yang dalaman, yang berbentuk ‘spiritual’, berbentuk “ruhi” [2]; yang mencari weltanschauung Muslim, bolehlah membaca buku ini. Saya yakin, dengan izin Allah, jika tiada banyak, pasti akan terbuka sedikit pandangan hidup, cara fikir anda sebagai seorang Muslim yang sebenar. Sekurang-kurangnya, pasti akan membuat anda terfikir, apakah kita semua ini sedang menjalani jalan yang benar akan melayakkan kita untuk memperoleh rahmat Allah kelak? Moga Allah merahmati usaha kita semua.


[1]          - Rujuk Al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 208.
[2]          - Abreviasi          : Juz’i: memilih-milih/mengasing/memparsial. Khatamun Nubuwwah: Nabi yang terakhir/Nabi pengakhiran. Ruhi: berbentuk ruh/dalaman.

[3]          - Agama Allah yang saya maksudkan adalah Islam, iaitu wahyuNya yang diturunkan kepada RasulNya Muhammad S.A.W, iaitu tiada lain dan tiada bukan melainkan kitabNya, mukjizat Muhammad S.A.W yang terbesar – Al-Quran Al-Karim.
Previous
Next Post »

1 comments:

Write comments
lubna khalid
AUTHOR
10 May 2016 at 01:23 delete

masyaallah, indah susunan kata-kata :)

Reply
avatar