#201 Al Wala' wal Bara': Cinta dan Benci Kerana Allah



Pertama kali membaca lembaran agama yang ditulis oleh seorang wanita muslimah. Seorang yang diangkat oleh Sheikh Muhammad Jibrin sebagai wanita beriman dan ahli ibadah yang lazim bertaubat kepada TuhanNya. Walaupun jarang sekali kita bertemu dengan penulisan kaum hawa yang bersifat akademik dan menyentuh isu-isu fundamental dalam agama, lembaran ini menjadi saksi bahawa Islam tidak pernah sama sekali meremeh-rendahkan darjat wanita dalam dunia penulisan, akademik dan intelektual.

Tajuk: Al Wala' wal Bara': Cinta dan Benci Kerana Allah
Penulis: Maha Al Bunyan Rahimahullah
Penerbit: Pustaka Ibnu Umar
Muka Surat: 64

Saya memilih lembaran ini untuk dibaca kerana terkesan pada review kitab Tazkiah Al Nafs, Ibnu Qayyim yang dikongsikan sahabat kita, saudara Syaukani Ibrahim. Persoalan beliau, “Sejauh mana kita mencintai apa yang dicintai Allah dan membenci apa yang dibenci Allah?” membuatkan saya ingin kembali memahami konsep tersebut. Konsep yang di dalam loghat agamanya, disebut sebagai konsep Al-Wala’ wal Bara'.

Berkata Sheikh Muhammad ‘Atiq rahimahullah, “Di Dalam Al-Quran tidak ada hukum yang lebih banyak dan lebih jelas dalilnya daripada al wala' wal bara', setelah kewajipan bertauhid dan haramnya syirik.” Hal ini kerana wala’ dan bara’ bertempat pada kedudukan yang teramat tinggi di dalam syariat agama ini. Ia menjadi syarat kepada iman (rujuk: Al-Maidah: 80-81) serta kemanisannya, membawa erti dan nilai kepada syahadah (rujuk: An-Nahl: 36) serta menjanjikan solusi pada isu penyatuan umat Islam.

Sayangnya sebahagian besar umat islam hari ini semakin hari semakin melonggarkan kefahamannya pada konsep ini. Merungkaikan diri sedikit demi sedikit dari pegangan Muslim yang sebenar dan akhirnya memerangkap diri ber-wala’ dan ber-bara’ kepada artis, tokoh, parti, ideologi dan sebagainya. Tidak lagi kepada Allah azza wa jalla.

Sudahlah umat ini tenat bergelumang dengan taqlid butanya dalam hal ibadah dan ilmu, ditambah pula dengan taqlid butanya dalam hal mencintai dan membenci. Bermekanismakan orang suka, kita suka, orang benci, kita benci, sehingga meminggirkan kesempurnaan mekanisme aqidah Islam yakni cinta kita adalah pada apa yang dicintai Allah (wala’) dan benci kita adalah pada apa yang dibenci Allah (bara’).

Secara spesifiknya, penulis berpandangan bahawa kemerosotan aqidah al-wala wal bara’ ini berpunca daripada beberapa perkara, antaranya:

1. Kaum Muslimin menyimpang dari Al-Quran dan Sunnah
2. Pendidikan agama generasi muda yang lemah
3. Perang pemikiran dan pengaruh media barat
4. Penjajahan Missionaries
5. Peranan Orientalis Jahat
6. Kesesatan Nasionalis

Asbab-asbab diatas masih boleh dibahas dan dihuraikan lagi, malah konsep al wala wal bara ini boleh ditadabbur dengan lebih mendalam lagi tetapi cukuplah review kali ini untuk membesarkan perhatian kepada kepentingan al wala' wal bara'.

Saya akui lembaran ini agak ringkas dan simplistik pada penyusunan dan penghuraiannya, mungkin penulis berniat menujukannya pada audiens yang umum, untuk sekadar mengusik minat, agar terpanggil untuk meletakkan diri di atas misi menuju salimul aqidah.

Ps. Jika ada dalam kalangan ahli gebu yang boleh rekomendasi mana-mana buku atau video ceramah yang membahas konsep ini dengan sekenyang-kenyangnya, please do tell me.
Previous
Next Post »