#196 Ikhlas



Tulisan ini adalah rangkuman daripada karya Al-Ikhlas, Syeikh Abdul Muhsin Al-Abbad dan Silsilatu A’maalil Quluubi Al Dars Al Awwali: Al-Ikhlas, Syeikh Muhammad bin Shalih Al Munajjid.

Tajuk: Ikhlas
Penyusun: Ade Ichwan Ali
Penerbit: Pustaka Ibnu Umar
Muka surat: 80

Risalah ini, sepertimana kebanyakan risalah-risalah lain bermula dengan pembedahan definisi dari segi bahasa dan istilah. Ikhlas menurut bahasa adalah sesuatu yang pada awalnya tercampur dengan yang lainnya, kemudian menjadi selamat, murni dan bersih. 

Susu dari perut lembu yang suci bersih dan tidak tercampur dengan darah atau kotoran dipanggil khaalisan (خالصا) seperti yang digunakan di dalam surah An Nahl:66.

Dari segi istilahnya, ikhlas adalah mentauhidkan tujuan ibadah hanya kepada Allah yang maha Esa. Kerana itu surah qul huwallahu ahad yang sarat dengan makna tauhid dinamai surah al Ikhlas dan kalimah laa ilaaha illallaah disebut sebagai kalimatul ikhlas.

Kenapa Kita Perlu Ikhlas

1. Syarat diterima amal (Qs Al-Mulk:2, AlKahfi:110, AnNisa:125)

2. Asas kepada kejayaan dunia dan Akhirat (at-Taubah:109)

Penyakit Yang Menggerogoti Ikhlas Serta Ubatnya

Penyakit kepada ikhlas yang disebut di dalam risalah ini hanyalah satu iaitu riya’ dan ubat kepada riya’ adalah seperti berikut:

1. Zuhud (meninggalkan apa yang dimiliki manusia seperti thama’[1], pujian dan sanjungan)

2. Memaksa diri menyembunyikan amalnya.

Kelebihan Orang Yang Ikhlas

1. Dipermudahkan segala urusan dan lenyap duka cita dunia (HR Tirmidzi)[2]

2. Pahala yang besar (At-Taubah:92) (HR Bukhari)[3]

3. Diselamatkan di Hari Pembalasan (HR Ahmad dan yang lainnya)[4]

4. Sebab Diturunkan Keampunan Allah (HR Bukhari)[5]

5. Mendapat pertolongan Allah atas permasalahan yang berat [6]

6. Dikurniakan hikmah dan pandangan mata hati yang tajam dan taufik bertindak dengan tepat dan benar (Al-Anfaal:29)

7. Diselamatkan dari Fitnah (Yusuf:24)

8. Mendapat naungan di hari yang tidak ada naungan [7]

Kisah Dari Salafus Soleh

Risalah ini memuatkan beberapa kisah-kisah salafus soleh yang cukup memotivasikan namun di ruangan ini saya hanya kongsikan salah satu sahaja.

Hammad bin Zaid berkata, “Seringkali Ayyub, ketika beliau berkata-kata, lalu hatinya bergetar dan airmatanya hendak menetes, maka beliau berpaling dan membuang hingus. Lalu ia berkata, ‘Ini flu berat sekali.’ Beliau menampakkan selsema untuk menyamarkan tangisan.”

Bila Disyariatkan Menzahirkan Amal 

Diriwayatkan bahawa sebahagian kaum salaf telah menampakkan sebahagian perbuatan mulia yang mereka lakukan dengan tujuan agar diikuti oleh orang lain.

Ibnu Qudamah rahimahullah ketika ditanya akan keringanan menampakkan ketaatan (amal) berkata, “Hendaklah ia berniat agar amal tersebut dapat diikuti orang lain.” 

Hukum Meninggalkan Amalan Kerana Riya

Berkata Al-Fudhail bin Iyadh: Meninggalkan suatu perbuatan kerana manusia adalah Riya’, sedangkan beramal kerana manusia itu syirik. Ikhlas adalah apabila Allah menyelamatkan kamu dari kedua hal itu.

Tingkatan-Tingkatan Ikhlas

Tingkat 1: Seseorang yang beramal bulat kerana Allah Taala.

Tingkat 2: Seseorang yang beramal kerana Allah Taala, tetapi masih berpaling kepada perkara yang dibolehkan. Seperti seorang yang berpuasa kerana Allah lalu ia berkehendak menjaga kesihatan badannya.

Tingkat 3: Seseorang yang berusaha  beramal kerana Allah Taala semata, kemudian ia berpaling kepada sesuatu yang tidak dibolehkan seperti riya’, sum’ah danny yang serupa dengannya Jika riya melintas di hatinya dan ia berusaha menolaknya makan perbuatannya sah dan mendapatkan pahala dia atas kesungguhannya.

Tingkat 4: Seseorang yang beramal bulat kerana dunia. Seperti semata-mata berpuasa sebagai diet dan bukan kerana Allah.

Tingkat 5: Seseorang yang beramal kerana Riya.

Wallahualam. Semoga review kali ini mendatangkan manfaat.

_______________________________

[1] Thama’ ertinya tamak pada apa yang dimiliki manusia.

[2] http://sunnah.com/urn/726480

[3] http://sunnah.com/riyadussaliheen/1/292

[4] http://sunnah.com/riyadussaliheen/13/16

[5] http://sunnah.com/riyadussaliheen/1/126

[6] http://sunnah.com/riyadussaliheen/1/12

[7] http://sunnah.com/bukhari/10/54
Previous
Next Post »