#213 Who Was Frederick Douglass?



Umum kita ketahui bahawa perjuangan masyarakat berkulit hitam dalam menuntut keadilan daripada diskriminasi rasial adalah suatu perjuangan yang besar peranannya dalam mencorak lanskap sosial dan politik Amerika dan dunia.

Tajuk: Who Was Frederick Douglass?
Penulis: April Jones Prince
Penerbit: Grosset & Dunlap
Muka Surat: 105

Dibelakang mana-mana perjuangan, tentu sekali wujud barisan pemimpinnya yang menjadi suara kepada masyarakat mereka. Begitu juga di dalam perjuangan masyarakat Afrika-Amerika ini. Yang mungkin kita kenal dalam kalangan mereka antaranya seperti Malcolm X dan juga Martin Luther King. Ini pun mungkin kerana perjuangan dan perjalanan hidup kedua-dua tokoh ini telah pun difilemkan oleh Hollywood.

Itu yang mungkin kita kenal. Masih terdapat ramai lagi pejuang sivil Afrika-Amerika lain yang juga boleh kita jadikan pelajaran yang besar. Diantaranya adalah Frederick Douglass atau nama hambanya Frederick Augustus Washington Bailey. Seorang hamba yang melarikan diri menjadi reformer sosial yang berjuang melalui suara dan penanya. Pidatonya dan penulisannya cukup membangkit kesedaran dalam kalangan kaumnya dan mengugat jiwa-jiwa kaum penindas. Pengaruhnya cukup besar sehingga beliau digelar ‘The Father of Civil Right’s Movement’. Beliau merupakan figur yang menafikan fitnah masyarakat berkulit putih yang mendakwa bahawa golongan hamba berkulit hitam adalah mereka yang terbatas dari segi kapasiti intelektual.

Tentu sekali, buku ini menampilkan banyak peristiwa-peristiwa yang menarik berkenaan Frederick Douglass. Namun pada resensi ini saya hanya mahu menekankan satu peristiwa yang saya kira praktikal bagi kita semua.

Frederick dibesarkan dibawah undang-undang yang melarang golongan hamba untuk belajar membaca dan menulis. Pun begitu, ini tidak menghalangnya untuk terus belajar mengenal huruf. Beliau akan membawa buku ke mana-mana sahaja dan setelah menyelesaikan urusan kerjanya, beliau akan ke jalanan mencari orang untuk mengajarnya membaca. Beliau juga mengajar dirinya menulis dengan menghabiskan masa yang lama menconteng huruf di pagar-pagar kayu dan laluan pejalan kaki. Frederick memahami hakikat ilmu itu berkuasa dan dalam bukunya mengatakan, “From that moment, I understood the pathway from slavery to freedom.”


Hari ini, masyarakat Muslim pula dipandang enteng akan kapasiti intelektualnya. Hak kita juga dicabul dan diskriminasi sosial terus berlaku di mana-mana. Andai membaca dan menulis telah memacu perubahan yang besar pada nasib Frederick dan bangsanya, maka tentu sekali ia boleh diaplikasikan juga pada kita. Malah bukankah perintah baca, saranan mengubah nasib diri, menumbang kezaliman itu sebahagian daripada hal yang diwahyukan? 


Malangnya, umat kita masih ramai yang takut-takut dan bermalas-malasan dalam membaca, apatah lagi dalam menulis. Hal ini harus kita segera baiki bersama!
Previous
Next Post »