Buku ini dibaca demi menyambut baik permintaan naqib saya, abang Jai. Insyaallah saya cuba kongsikan isinya pada usrah akan datang. Cc: Kak Laily
Tajuk: Ajaibnya Sedekah: Semakin Bersedekah Semakin Kaya
Penulis: Muhammad Muhyidin
Penerbit: PTS
Muka surat: 171
Sepertimana tajuknya, buku ini membawa kita memahami selok belok amalan bersedekah. Ia suatu topik yang mungkin agak cliche bagi sebahagian kita. Tetapi tiadalah ruginya andai kita cuba mendatanginya dari sudut yang ilmiah.
Menurut penulis, "Buku ini membincangkan berkenaan cara dan tujuan sedekah yang benar dan salah menurut pandangan Islam. Saya juga menyentuh bagaimana konsep ini turut dipraktikkan dalam agama atau ajaran lain. Saya juga mahu menunujukkan kepada saudara, pelbagai kemusykilan, anggapan, pendapat bahkan keyakinan berkenaan hakikat sedekah dalam Islam dibandingkan dengan sedekah dalam agama lain." Saya kira deskripsi dari penulis ini sudah cukup tepat menceritakan susun atur dan diskusi yang terdapat di dalam buku ini.
Saya menyambut baik keazaman dan kaedah penulisan buku ini. Banyak dalil Quran dan hadis telah beliau gunakan dalam membentangkan argumen beliau. Cubaan beliau untuk menukilkan pandangan-pandangan dari barat dan agama lain, kemudian diharmonikan dengan agama Islam adalah suatu cubaan yang cukup dikagumi dan dihormati. Ia benar-benar menampakkan keluasan pembacaan penulis.
Namun, pada hemat saya, huraian pada kebanyakkan pandangan yang dikongsikan tidak begitu mendalam dan tidak pula dinukilkan dari mana beliau mengambilnya. Begitu juga pada hadis-hadis yang disertakan. Tidak didatangkan sumbernya dan statusnya secara jelas. Relasi diantara argumen juga, pada saya, kurang meyakinkan dan kurang menguatkan diantara satu sama lain - mungkin saya yang sebenarnya gagal memahami dan menghubungkannya - . Jika itu kesnya, mudah-mudahan Allah memahamkan saya padanya.
Pun begitu, adalah jelas bahawa buku ini ditulis dengan matlamat mahu menyuburkan amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat kita, khususnya umat Islam. Walaupun masih boleh diperbaiki lagi buku ini pada beberapa aspek tertentu, ia tetap sedikit sebanyak menghidupkan semangat untuk bersedekah di dalam diri ini. Semoga saya dipermudahkan untuk beristiqamah dengan semangat ini. Wallahualam.
ConversionConversion EmoticonEmoticon