#227 Suami Hensem Isteri Ohsem

Kalau anda pernah membaca buku Brain Sex karya Anne Moir, atau mungkin siri buku-buku terkenal Dr John Gray, Men from Mars and Women are From Venus, mahupun buku Why Gender Matter tulisan Dr Leonard Sax, naskah Suami Hensem Isteri Ohsem mungkin sesuai sebagai satu lagi koleksi anda. 

Tajuk : Suami Hensem Isteri Ohsem
Penulis : Ahmad Shafiai Uda Jaafar (Pak Utih)
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn. Bhd
Mukasurat : 228

Buku ini lebih kepada bacaan santai yang ringan tetapi membuatkan kita menyelami perbezaan lelaki dan wanita dan menyedari ada benarnya perkara-perkara yang Pak Utih sebut dalam tulisannya. Bahan-bahan di dalam buku ini adalah kompilasi artikel bulanan yang ditulis di dalam majalah Anis untuk ruangan Adam vs Hawa tetapi diubah dalam bentuk soal jawab.

Lelaki dan wanita bukan sahaja berbeza fizikal luaran.  Organ dalaman mereka juga berbeza.  Otak lelaki lebih besar dari otak perempuan.  Kata Pak Utih, kajian sains menunjukkan bila otak lelaki dan perempuan sebaya diletakkan bersebelahan, otak lelaki 10% lebih besar dari otak wanita.  Kesannya, bila otak lebih kecil, perjalanan darah 15% lebih laju.  Apabila perjalanan darah lebih laju, wanita lebih mudah stress berbanding lelaki.  Wanita terlalu banyak berfikir. Atas sebab inilah dalam rumahtangga, isteri selalu lebih stress dan emosional.  Kalau bergaduh, si suami boleh tenang dan tidur tanpa rasa apa-apa.  Tetapi si isteri terkebil-kebil pusing sana-sini tidak boleh tidur.

OTAK PEREMPUAN ‘AUTO SAVE’, OTAK LELAKI ‘AUTO DELETE’.

Kelebaran jambatan (bridge) antara dua hemisfera otak juga berbeza antara lelaki dan perempuan. Orang lelaki hanya boleh berfikir satu perkara dalam satu masa. Otak perempuan ‘auto save’, otak lelaki ‘auto delete’.Orang perempuan boleh ingat kisah lama dengan terperinci, manakala lelaki cepat sahaja memadam memori yang baru sebentar tadi masuk ke otaknya.  Mata lelaki dan perempuan juga berbeza.  Lelaki mempunyai penglihatan yang ‘lurus’ sahaja tanpa spektrum yang luas.  Tetapi mata perempuan istimewa – High Definition, terutama sekali dalam menggambarkan warna.  Contohnya, lelaki hanya tahu warna biru, tetapi bagi wanita biru bukanlah biru semata-mata.  Biru ada royal blue, aqua blue, sky blue, baby blue, turquoise dan macam-macam rona/tona warna lagi. Namun, mata wanita pula tidak secekap mata lelaki dalam navigasi.  Oleh itu, wanita bukan pembaca peta yang bagus. 

LELAKI ALERGIK BEBELAN

Telinga lelaki juga sebenarnya pekak sebelah (mono.)Wanita pula telinganya berfungsi baik kedua-dua belah(stereo).  Keadaan ini sebenarnya menjelaskan kondisi‘Selective Hearing’ di kalangan lelaki. ‘Selective Hearing’adalah satu tabiat seseorang untuk memilih atau fokus pada bunyi atau percakapan yang menarik minat sahaja untuk didengar. Situasi ini sangat normal berlaku pada lelaki dan kanak-kanak lelaki. Kaum lelaki alergik mendengar orang membebel. 15 perkataan dalam satu ayat dengan nada sama, dalamnya ada 3 isu berbeza – lupakan sahaja. Jangan haraplah si suami akan dapat ‘menangkap’ mesej yang cuba disampaikan. Beri arahan satu persatu kerana kotak pemikiran lelaki memproses maklumat satu persatu. Kata Pak Utih lagi, perempuan hatinya di mulut tetapi lelaki mulutnya di hati.  Perempuan akan meluah rasa hati kepada orang yang ada ‘chemistry’ dengannya.  Jangan ambil kira apa yang wanita kata ketika sedang stress atau marah.  Dengar sahaja.  Kerana fitrah wanita memang begitu.  Dalam surah Maryam ayat 23, diceritakan

“(Ketika Maryam hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pokok tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!”

PENINGNYA BAHASA TERBALIK

Anda perasan tak yang wanita suka menggunakan bahasa terbalik dengan orang yang disayang?  “Ya” maksudnya “Tidak”, “OK” sebenarnya bermaksud “Tak OK”. Minda lelaki sememangnya kurang mampu menafsir ayat yang berlapik-lapik.  Mereka lebih‘straight to the point’. Hati-hatilah jika isteri berkata, “Apa-apa pun boleh” dan “Saya tak kisah,” Ini mungkin menjadi perangkap kepada suami kerana si isteri sebenarnya sedang menguji. Bagi wanita, jika orang yang disayang ini memahami apa yang dia ungkapkan dengan tepat, maka orang itu dilabelkan sebagai seorang yang ambil berat dan penyayang. Apabila bercakap dan memberi arahan pada lelaki, jangan bagi ayat subjektif tapi bagi ayat objektif.  Contohnya, ketika suami pulang dari pejabat, dalam fikirannya hanya ada 2 perkara : Tidur dan Rehat.  Jika si isteri ingin menyediakan air, jangan bertanya, “Abang nak air apa?”.  Sebaliknya, berikan pilihan jawapan untuknya (air kopi, milo, oren atau air kosong?).  Jika mahu pesan beli barang, bagi siap-siap 3 pilihan (contohnya jenama).  Kalau diberi satu pilihan, itu sahaja yang dia cari.  Bila tak jumpa, dia akan balik rumah dengan tangan kosong. Perkara ini bukan disengajakan tetapi ia berkait rapat dengan minda lelaki yang lebih banyak‘grey matter’ berbanding wanita (ambil masa lebih lama untuk proses maklumat).  Kefahaman lelaki hanya bergantung pada apa yang diucapkan dan dia tidak pandai menafsir lebih jauh dari itu.

Hebat sungguh kejadian Allah!

Satu lagi perkongsian daripada Pak Utih, jika wanita yang jari manisnya lebih panjang daripada jari telunjuk, itu tanda hormon testoteron tinggi dalam diri.  Terdapat ciri-ciri maskulin yang tinggi dalam diri wanita tersebut.  Ini bukan merujuk kepada paras rupa seperti lelaki tetapi lebih kepada sifat-sifat peribadi seperti lebih berdikari, berani dan tidak terlalu bergantung pada suami. Menjadi cabaran kita ialah masyarakat kita kurang memiliki ilmu perbezaan lelaki dan wanita.  Maha Suci Allah yang menciptakan lelaki dan wanita berbeza-beza antara satu sama lain.  Contoh-contoh yang diberi Pak Utih adalah realiti dan banyak membuat kita terkena batang hidung sendiri. 


Namun isi kandungan buku ini bukan hanya bertujuan membuat kita tersenyum dan ketawa, tetapi melihat pertemuan antara sains dan Al-Quran. Sesungguhnya tidaklah sama lelaki dan perempuan. Rujuklah apa yang tertulis dalam surah Ali Imran ayat 36. Mahasuci Allah yang ciptakan makhluknya dengan kelebihan yang berbeza-beza. Tammat -
Previous
Next Post »