The Freedom of Opinion in Islam (Hal bi al-Islam Hurriyah li ar-Ra’y), yang ditulis pada tahun 1994, adalah respon kepada fitnah Barat yang mendakwa bahawa tidak ada kebebasan bersuara di dalam Islam. Mereka dengan segala keangkuhannya, melaung-laungkan bahawa merekalah pejuang kebebasan (Freedom), hak asasi (Human Rights) dan kesaksamaan (equality) yang terbaik dan terulung. Maka dipasarkan model mereka ini, seolah-olah hanya dengan menjulang ‘standards’, budaya dan kepimpinan mereka sahaja maka barulah dapat kemajuan itu dicapai. Tidak kurang dari itu, dituduhnya konsep kebebasan versi Islamlah faktor kepada kemunduran dan keterbelakangan umat Islam dan dunianya.
Tajuk: The Freedom of Opinion in Islam
Pengarang: Sheikh Abdus Salam Al Basuni
Penerbit: International Islamic Publishing House
Muka Surat: 100
Serangan ini juga, pada Sheikh Abdus Salam, juga kerana hanya Islamlah satu-satunya sistem ideologi (baca: deen) yang masih menjadi ancaman dan halangan kepada matlamat ‘worldwide domination of materialistic secularism’, setelah ideologi-ideologi seumpama Soviet Union dan International Communism. Namun, kedua-dua ideologi ini sudahpun tewas di tangan mereka (demokrasi ala barat) dan terbukti gagal sama sekali dalam memajukan umat manusia.
Di dalam karya ini, Sheikh Abdus Salam membidas segala tuduhan tersebut dengan kritikal dan ilmiah. Beliau bermula dengan membawa perbandingan antara sistem sekular dan sistem Islam, kemudian membahas isu-isu yang dibangkitkan berkaitan kebebasan berpendapat di dalam Islam, setelah itu menggariskan batas-batas yang diperlukan (menurut nas), mendedahkan violasi-violasi terhadapnya dan akhirnya kepada pembuktian bahwa konstitusi buatan manusia seringkali tidak lebih dari 'tinta di atas kertas'.
Konklusi keseluruhan yang dibawa adalah bahawa demokrasi kebanggaan barat itu bukanlah sitem tadbir urus manusia yang sempurna. Bahawa tidak mungkin wujud suatu kerangka kebebasan yang absolut. Menjayakan kerangka seperti ini hanyalah mengundang huru-hara dan anarki. Bahawa kebebasan yang berada di dalam kerangka Islamlah kebebasan yang selari dengan fitrah manusiawi. Yang menjanjikan kebahagiaan, kestabilan dan kemajuan. Tinggal hanya supaya umat Islam kembali kepada pemahaman dan pengamalan erti kebebasan yang seimbang; tidak ketat melampau sehingga menampakkan Islam sebagai jumud dan anti-toleransi dan tidak juga terlalu longgar sepertimana barat yang hanya indah pada jangka masa pendeknya tetapi jangka masa panjangnya membawa kepada kereputan moral, penderitaan, pembaziran sumber, demoralisasi dan kehancuran struktur sosial masyarakat.
Sememangnya kekuatan karya ini terletak pada penghujahan Sheikh Abdus Salam yang sentiasa dilapik dengan nas Quran dan sunnah yang sahih, rujukan sejarah dari tamadun Islam dan Barat, akta undang-undang, dokumen-dokumen rasmi serta angka-angka statistik yang meyakinkan. Penghujahan beliau kemas, huraiannya jelas dan bahasanya mudah. Pasti ia dapat dihadam dengan baik bagi sesiapa yang sudi membaca dan menganalisa karya ini.
Pun begitu, karya ini tidaklah menjanjikan segala jawapan, malah ada sebahagian pandangan yang saya kurang setuju dan masih ada beberapa persoalan saya yang belum terjawab. Apa-apapun, saya tetap mengesyorkan ianya dibaca sebagai bacaan pemula, lebih-lebih lagi buat sahabat-sahabat yang bergiat aktif (atau cakna) dengan politk nasional. Sekurang-kurangnya ia menjadikan kita sedikit sebanyak lebih berpendirian dalam menghadapi polemik kebebasan bersuara di negara kita.
ConversionConversion EmoticonEmoticon