Adakah anda pernah terdengar satu susuk yang diberi nama Socrates? Dalam buku “Philosophy: A text with reading” (edisi ketujuh) oleh Manuel Velaquez, Socrates diberi jolokan Bapa Falsafah Barat yang lahir di bumi Greek walaupun sebelum Socrates sudah ada beberapa orang ahli falsafah seperti Thales, Heraclitus dan Parmenides. [1]
Tajuk: Mampusnya Sokrates Meneguk Racun
Penulis: Plato - penterjemah Perewa
Penerbit: Thukul Cetak
Muka surat: 192
Siapa lagi yang paling berperanan dalam menyebarkan nama Socrates kalau tidak anak muridnya, Plato. Phaedo [2] merupakan karya Plato yang memuatkan di dalamnya dialog di antara sahabat-sahabat baik Socrates di akhir penghujung hayatnya. Socrates yang tinggal selama sebulan di dalam penjara pernah dipujuk sahabat baiknya, Crito untuk melarikan diri namun Socrates mengemukakan bahawa (secara maknanya) “Aku telah memilih untuk hidup di bawah undang-undang ini, hidup di bawahnya setelah sekian lama, untuk melarikan diri dari menerima hukuman adalah suatu perbuatan yang tidak jujur, seperti kau memungkiri janji”. [3]
Secara kasarnya, perbualan diantara Socrates bersama rakannya (The Eleven) [4], seputar persoalan kematian, ruh, dan kehidupan selepas mati. Kesedihan menyelubungi sahabat-sahabatnya walhal Socrates tidak malah berkata “Ahli falsafah yang sebenarnya tidak takut akan kematian kerana berharap di kehidupan selepas mati itu akan ada lebih lagi kebaikan”. Socrates percaya manusia hanya akan mencapai hikmah selepas mati, iaitu liberalisasi minda dari jasad. Berbeza dengan sahabat-sahabat Socrates, mereka percaya dengan matinya jasad, matilah juga roh. Socrates mengemukakan empat argumen untuk menjawab persoalan mereka.
Argumen - argument itu adalah:
1) Argumen “Berkitar”
2) Teori Pengingatan Kembali
3) Argumen Terkaitan
4) Argumen Tatacara Kehidupan
Argumen “Berkitar”
Argumen “Berkitar” bermaksud sesuatu perbezaan itu terlahir dengan perbezaan. Contoh: Tidur berlawanan dengan keadaan jaga, dan keadaan jaga berbeza dengan tidur. Hadirnya besar dengan kecil, dan wujudnya kecil dengan keadaan besar. Begitu juga kematian. Kehidupan berlawanan dengan kematian dan begitu sebaliknya (vice versa). Disebabkan argument ini, Socrates percaya wujudnya kehidupan selepas kematian. (seperti kepercayaan kita bukan?)
Teori Pengingatan Kembali
Teori ini mengatakan kita sebenarnya telah mempunyai pengetahuan tentang sesuatu perkara abstrak seperti ‘Kecantikan’, ‘Kesamaan’, dan ‘Keadilan’. Walaupun begitu, Kecantikan, Keadilan hakiki tidak akan wujud dalam dunia ini. (kerana kecantikan dan keadilan hakiki hanya milik tuhan). Bagi Socrates, bagaimana kita mempunyai sedikit pengetahuan berkenaan perkara abstrak ini adalah kerana kita telah bertemu dengan perkara ini sebelum kita dilahirkan. Bermaksud ruh kita telah wujud sebelum kelahiran. [5]
Argumen Terkaitan
Mengikut argumentasi terkaitan, ruh berkait dengan sesuatu yang tidak nampak, abadi, dan tidak boleh hancur manakala jasad sebaliknya. Seperti dalam teori pengingatan kembali, Kecantikan, Keadilan merupakan sesuatu yang tidak nampak dan begitu halnya dengan ruh. Bagi Socrates, ruhlah yang mengawal dan berkuasa ke atas jasad dan menyimpulkan ruh terkait dengan bentuk keabadian dan tuhan, baginya ruh itu abadi dan tidak mati. Perkara ini sedikit berbeza dengan fahaman orang Islam bahawa akan ada nanti suatu masa semua benda hidup akan mati kecuali Allah dan sesiapa yang diizinkanNya. [6]
Argumen Tatacara Kehidupan
Dalam argumen ini, ruh dipandang kekal abadi kerana ruh merupakan pembentuk hidupan dan penyebab hidup. Secara ringkasnya, perkara yang memberi penghidupan mempunyai ruh. Sebagai contoh, api pembawa haba panas dan tidak akan pernah membawa haba sejuk, salji pembawa haba sejuk tidak akan pernah membawa haba panas dan begitulah juga ruh. Ruh sebagai pembawa penghidupan takkan pernah membawa kematian dan tidak akan pernah mati. Namun, Hanyasanya yang tidak pernah mati itu hanya Allah Rabbul a’lamin.
Kebanyakan argumen-argumen di atas terhasil daripada soal-jawab antara Simmias dan Cebes. Diakhir hayat Socrates, setelah racun hemlock menyerang tubuhnya, kata-kata terakhir Socrates adalah perihal hutang ayamnya dengan Asclepius yang meminta Crito untuk melangsaikannya.
Komen
Sebenarnya bagi saya agak susah untuk mengeluarkan argumen-argumen ini kerana memerlukan pembacaan yang perlahan. Saya juga membaca terjemahan karya ini dalam Bahasa Inggeris terbitan Signet Classic yang diberi tajuk “Ten Great Works of Philosophy: Phaedo” terjemahan oleh Robert Paul Wolff, dan saya juga menyemak sedikit karya yang sama tetapi berlainan penterjemah dalam “Great Dialogues of Plato” oleh W.H.D Rouse. Ini hanyalah pendapat Socrates yang dinukilkan oleh anak muridnya, Plato yang mungkin ada yang sama dengan kepercayaan kita dan mungkin juga berbeza. Jika dia (Socrates) boleh yakin dengan penghidupan selepas mati hanya menggunakan hujah akal, masakan kita yang ditunjukkan jalan masih leka dan lalai seperti kita pula tidak percaya akan adanya alam selepas mati. Socrates juga amat menitikberatkan soal hutang walaupun nyawa sudah sampai diparas kerongkong. Cuba kita tengok diri ini kembali, apakah nilai-nilai kebaikan yang ada di Socrates itu sudah kita miliki atau hanya masih beretorik bahawa kita sudah ada Islam tidak perlukan yang lain. Jika kita benar-benar mengikut jalan yang ditunjukkan Allah dan Rasul, nescaya diri ini akan lebih baik dari Socrates. [7] Maaf agak panjang dan mungkin susah hendak faham kerana sudah lama tidak menulis begini.
Nota Kaki
[1] http://www.philosophybasics.com/historical_presocratic.html
[2] Karya “Phaedo” merupakan penceritaan kembali detik-detik hari kematian Socrates oleh Phaedo kepada Echecrates yang tidak hadir pada hari tersebut.
[3] Untuk bacaan lanjut, Sila baca “Crito” oleh Plato. Juga ini dikatakan Socrateslah orang pertama yang menyebut berkenaan kontrak sosial.
[4] The Eleven merupakan sebelas sahabat Socrates yang hadir di hari penghukuman meminum racun hemlock terhadap Socrates. Mereka ialah Phaedo, Crito, Critobulus, Apolodorus, Hermogenes, Epigenes, Aeschines, Antisthenes, Ctesippus, Menexes dan Plato. Bersama “The Eleven” juga Simmias, Cebes, Euclid dan Terpsion.
[5] Teori Pengingatan Kembali atas kepercayaan Socrates ini iaitu ruh wujud sebelum dilahirkan sememangnya bertepatan dengan ayat suci al-Quran, mafhumnya, "Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): bukankah Aku tuhanmu ? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami mejadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid ini) ini" (al-Araf:172), yang menunjukkian bahawa memang ada alam ruh sebelum kelahiran.
[6] Firman Allah dalam ayat suci al-Quran yang bermaksud:
“Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).” (Az-zumar:68) dan
“Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa:”, “Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan:” (ar-Rahman: 26 &27)
[7] Saya bukanlah mahu mengangkat Socrates tetapi mahu mengangkat diri kita sendiri yang sudah berada di bawah lembayung Islam. Sepatutnya kitalah yang perlu lebih baik dan maju dari yang lain.
ConversionConversion EmoticonEmoticon