Tajuk : Travelog Mr. Traveller
Penulis : Meor Farid Asyradi
Penerbit : BS Print (M)
Bilangan Mukasurat : 328
Meor Farid Asyradi atau lebih mesra dengan panggilan Radi bukanlah sesiapa sebelum terbitnya buku sulungnya "Travelog Mr. Traveller". Berbekalkan minat yang tinggi terhadap dunia pengembaraan, Radi kini sudah menjelajah di 35 buah negara pada usia 25 tahun. Penulisannya mungkin tidak sehebat Ust Hasrizal yang popular dengan buku travelog tarbiahnya, namun penceritaannya begitu dekat dengan pembaca seumpama kita berada di tempatnya. Buku ini adalah salah satu sumbangan beliau kepada masyarakat terutamanya kepada traveller @ backpackers yang mempunyai minat yang sama sepertinya. Tips dan nasihat yang dikongsikan sangat berguna bagi sesiapa yang mahu menjelajah ke Eropah. Hampir setiap tempat menarik yang dilawat beliau diterjemahkan dalam bukunya.
Antara 'moment' yang menarik untuk dikongsikan adalah ketika perjalanan menyeberangi Kota Roedby Faerge, Denmark untuk ke Puttgarden, Jerman menaiki FS Deutschland. Kalau di Malaysia kenderaan seperti kereta, motosikal, lori atau bas menaiki feri untuk menyeberangi laut itu kelihatan biasa tetapi FS Deutschland bukan saja sarat dengan kereta dan bas, tetapi turut menyediakan 'rail' untuk kereta api yang ingin menyeberangi laut ke Puttgarden, Jerman. Ya, kereta api dalam feri, bersama dengan railnya sekali.
Di Eropah, Radi hanya menggunakan sekeping tiket untuk beliau merentasi 10,000 km perjalanan merentasi 15 buah negara menaiki 50 buah kereta api. Pemegang passport merah Malaysia boleh dikatakan agak beruntung kerana membolehkan kita mengembara ke 26 buah negara European Union (EU) tanpa memerlukan boarder untuk cop passport di setiap negara yang dilawati. Sekiranya anda tidak pasti di negara mana anda berada, jangan risau kerana anda pasti mendapat mesej sebegini --> "Germany w/Celcom. To subscribe, *118#. T&C" yang menandakan anda sedang berada di negara tersebut.
Bagi sesiapa yang berkesempatan menjejakkan kaki ke Jerman, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke destinasi wajib seperti Allianz Arena, Olympiapark Munich, BMW Headquarters, Marienplatz dan Siegestor. Binaan Siegestor mirip monumen Arc deTriomphe di Perancis yang menjadi simbol keamanan negara Jerman. Di Czech Republik, monumen seorang lelaki menaiki kuda yang dikenali sebagai St. Wenceslas menjadi tempat pilihan pengunjung untuk bergambar sebagai kenangan. Monumen ini adalah simbol kenegaraan Czech dalam menjaga kebudayaan dan kerohanian negara mereka. Di Malaysia, Zurich mungkin terkenal dengan salah sebuah syarikat insurans, tetapi apa yang membuatkan kota itu terkenal adalah kerana landskap dan pemandangannya yang cukup mempesonakan sehingga menjadi lokasi pengambaran persis dalam filem Hindustan.
Pengembara yang mementingkan kualiti dari kuantiti akan melawat dan menghayati sendiri kawasan yang dituju bukan hanya beberapa jam sahaja. Mereka tidak mengejar bilangan nombor negara yang dilawati, tetapi memanfaatkan masa yang ada agar berbaloi dengan nilai wang ringgit yang dilaburkan. Ada pengembara yang mengecapi kepuasan dengan hanya mengembara menaiki basikal seperti Zahariz Khuzaimah yang terkenal dengan rancangan "Dengan Basikal Aku Menjelajah". Ada juga yang mencapai kepuasan dengan menaiki Caravan seperti keluarga Jamalullail yang mengharungi perjalanan dari United Kingdom ke Malaysia dalam tempoh 155 hari dengan tema By Road To Malaysia. Tidak kurang yang mengecapi kebahagiaan mengembara dengan cara backpackers seperti dalam rancangan "Kembara Backpackers Bersama Moji". Yang penting kita letakkan niat yang betul untuk mengembara. Jika niat kita baik, percayalah Allah akan aturkan yang terbaik untuk kita.
Dalam siri pengembaraannya, Radi turut menekankan unsur-unsur spiritual agar kita lebih dekat dengan Allah dan bergantung padaNya saat diuji dalam perjalanan. Pengembaraannnya menjadi lebih bermakna apabila beliau berjaya menghabiskan hampir seluruh Al-Quran sebelum pulang ke Malaysia. Semoga coretan Mr. Traveller menjadi inspirasi dan panduan berguna untuk kita semua.
"Travel is the only thing you buy. That make you richer".
ConversionConversion EmoticonEmoticon