#157 Ayah..

Judul : Ayah… Penulis : Irfan HAMKA. Penerbit : Republika penerbit Bilangan mukasurat : 323

Image result for Ayah hamka
Buya HAMKA, Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Rahimahullah – semoga dirahmati Allah), mendapat gelar kehormat Doctor Honoris Causa dari Universiti Al-Azhar, Kairo, Mesir dan gelar kehormat yang sama diperoleh dari Universiti Prof. Moestopo Beragama, dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ayah… sebuah buku biografi berkenaan Buya HAMKA, yang ditulis sendiri oleh anak Buya, iaitu Irfan HAMKA, anak Buya yang ke-5 dari 10 beradik.
Buku ini dipecahkan pada 10 bahagian utama bermula ingatan penulis (Irfan HAMKA) pada pesan ayahnya (Buya HAMKA) dan diakhiri dengan detik-detik akhir kewafatan Buya. Kita tidak ingin membicarakan kesemua sepuluh bahagian ini, karna kita punya batas waktu dan batas ruang disini.
Panduan buat para pembohong
Kisah ini di selitkan di awal buku ini dimulai. Buya punya formula atau panduan buat manusia yang suka berbohong supaya tidak tertangkap (kantoi). Wajib di ingat, kita di larang berbohong. Apa undang-undang yang kita pakai sekalipun, bohong itu satu kesalahan. Ini ‘universal value’ yang semua kita berpegang padanya.
Seketika, Irfan bercerita, pada satu malam, dia terlepas solat isyak berjemaah karna asyik membaca buku tentang seni silat. Seberapa lama kemudian, Buya datang ke kamarnya dan bertanya, “Sudah solat isya kau, Irfan?”
Kelu lidah si Irfan mendengar pertanyaan itu sehingga tersasul dalam memberi jawaban. Dengan tegas, Buya menyuruhnya solat dan memerintahkan supaya Irfan masuk menemui Buya nanti seusai solat di karma Buya.
Ketika di dalam kamar Buya, Buya menitipkan panduan,
“Ada tiga syarat yang harus dimiliki oleh orang yang suka berbohong. Pertama, orang itu harus memiliki mental baja, berani, tegas, dan tidak ragu-ragu untuk bohong….Kedua, tidak pelupa akan kebohongan yang di ucapkannya. Ketiga, harus menyiapkan bahan-bahan perkataan bohong untuk melindungi kebenaran bohongnya yang pertama…”
(Halaman 11-12)
Ini satu hal yang menarik, ini melibatkan soal falsafah berbohong dan psikologi pembohong yang diajarkan oleh Buya. Inilah yang kita namakan ‘The art of deception’. Ada satu lagi buku falsafah dan psikologi berkenaan pembohongan ini, buku ‘Liar : The art of detecting deception and elicitng responses’ yang ditulis oleh Barry L. McManus yang juga menarik yang berkaitan soal ini. Namun, insyaallah, di masa akan datang saja kita bedah buku Barry L. McManus itu.
Keakraban Buya dengan Al-Quran.
Sebagai seorang muslim, barangkali, ini soal yang besar untuk diteliti. Akhir Disember 1967, Buya, isterinya dan anaknya, iaitu Irfan, mereka bertiga di beri peluang oleh kerajaan Indonesia untuk menunaikan haji di Mekah, mereka bertiga diberi kuota khas dan istimewa dari kerajaan karna Buya HAMKA adalah seorang tokoh besar di Indonesia. Secara peribadi, untuk saya, bahagian ini adalah bahagian yang paling manis dan melekat dalam jantung hati selepas membaca keseluruhan naskah ini. Bahagian ini merakam perjalanan haji dan ziarah mereka bertiga ke negara-negara arab.
Mereka bertiga serta para Jemaah haji dari Republik Indonesia yang lain menaiki kapal bernama Mae Abeto. Sepanjang di atas kapal ini, rutin Buya HAMKA adalah menerima tetamu yang bersilih ganti masuk menemui beliau untuk bersembang dan bertanya khabar. Namun, rutin yang lagi besar yang sentiasa Buya lakukan adalah membaca Al-Quran. Di gambarkan, Buya membaca Al-Quran sehinggalah matanya lelap.
Setelah selesai haji, mereka bertiga di jemput oleh kedutaan untuk menziarahi beberapa negara. Ketika menziarahi Iraq, isteri Buya HAMKA, yang di gelar Ummi di dalam naskah ini tidak berapa sihat dan pening-pening karna Ummi gugup menaiki kapal udara (kapal terbang). Untuk perjalanan pulang dari Iraq ke Mekah semula, Ummi mengusulkan supaya mereka bertiga menaiki mobil (kereta) sahaja karna Ummi tidak sanggup menaiki kapal udara, gayat dan takut.
Kedutaan Indonesia di Iraq menyiapkan sebuah mobil dan seorang supir (pemandu) untuk menghantar mereka bertiga melalui jalan darat ke Mekah. Supirnya bernama Umar. Sepanjang perjalanan dari Iraq ke Mekah melalui jalan darat yang mengambil masa tiga hari empat malam, Buya tidak lepas dari membaca Al-Quran. Sepanjang masa –kecuali ketika tidur- Buya membaca Al-Quran.
Ada tiga peristiwa besar yang berlaku ketika dalam perjalanan tiga hari empat mala mini yang hamper-hampir meragut nyawa mereka berempat. Namun, kata Irfan, ketika peristiwa ini berlaku, Buya tetap tenang saja menghadapinya.
Akrab dan rapatnya Buya dengan Al-Quran penting untuk diketahui, karna pada bab sebelum-sebelumnya, diceritakan pelbagai kisah yang agak luar biasa kurniaan Tuhan keapda Buya. Barangkali, inilah yang di namakan keberkatan dari Al-Quran –kalam Tuhan Azzawajalla-.
Detik Akhir
‘Pertemuan itu bersyarat, perpisahan pula mutlak’, ini frasa yang selalu sering saya pegang. Tiba bahagian terakhir buku ini, detik-detik perpisahan Buya dengan kehidupan dunia menuju kehidupan abadi.
Buya diserang penyakit kencing manis (diabetes) yang semakin parah, beliau dimasukkan ke rumah sakit (hospital) selama beberapa hari.

Pagi jumaat, 24 Julai 1981, pukul 10 lewat 37 minit, Buya disahkan meninggal dunia setelah hanya bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan. Paru-paru, ginjal, otak dan jantung Buya gagal berfungsi. Atas nasihat doktor, anak-anak Buya bersetuju untuk melepaaskan alat bantuan pernafasan tersebut sekaligus merelakan pemergian ayah kesayangan mereka.

Buya HAMKA adalah anugerah tuhan ubtuk kepulauan Melayu-Indonesia yang patut seluruh penduduk tanah ini hargai.
Previous
Next Post »