#192 Shalat Istikharah Berdasarkan Sunnah



Sesungguhnya Islam terbina di atas hujah dan dalil dan sumber teragung agama Islam adalah al-Quran dan al-Sunnah. Apa-apa sahaja pendapat mahupun pandangan yang menggunakan nama Islam, namun tidak berpaksi hujah dan dalil dari al-Quran atau al-Sunnah, maka ianya bukan daripada ajaran Islam sekalipun yang memberikan pendapat tersebut besar serbannya, panjang janggutnya.

Tajuk: Shalat Istikharah Berdasarkan Sunnah
Pengarang: Sanad bin Ali bin Ahmad Al-Baidhani
Penerbit: Pustaka Ibnu Umar
Muka Surat: 64


وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚإِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya." (Al-Isra:36)

Di antara topik hangat yang tidak kering dan tidak lekang daripada bibir-bibir para pemuda pemudi adalah soal jodoh dan nikah. Berbicara hal ini selalunya tidak lari dari mengarah kepada perbincangan bab solat istikharah. Dan kebiasaannya, berbincang hal ini cukup warna warni, mempelangikan hati. Dari soal kaedah-kaedahnya sehinggalah ke bab mimpi dan petanda. 

Malangnya, perbincangan ini jarang berada di atas dalil dan fakta. Maka keluarlah kaifiat-kaifiat misteri dan tokok tambah yang entah dari mana asal usulnya. Puasa 3 hari sebelum dan selepas solat, zikir-zikir khusus dalam rukuk dan sujud, mengkhususkan waktu untuk solat dan macam-macam lagi. Kesannya solat yang mudah menjadi susah, yang sunnah menjadi bidaah.

Buku ini secara komprehensif menyentuh segala hal yang berkait dengan solat istikharah. Dari dalil pensyariatannya, kaifiatnya dan fadhilatnya. Semuanya ditulis dengan bahasa yang mudah difahami dan (yang paling penting) disertakan nas-nas yang rajih dari Al Quran dan Hadis. Tidak terlepas juga perbincangan mengenai salah faham, talbis iblis dan amalan-amalan syirik di dalam solat istikharah.

Buat para philosunnah (pecinta sunnah), yang berharap mahu berada di atas syariat yang sebenar-benarnya, mengikuti jejak Rasulullah dan para sahabat sehampir-hampirnya, pastinya buku ini untuk anda. Mudah-mudahan ia mensucikan amalan kita dan melahirkan motivasi dan itqaan [1] untuk sentiasa melazimi istikharah dalam segala aspek kehidupan.

Nota hujung:

[1] Itqaan menurut istilahnya adalah mengetahui dalil-dalil dengan argumen-argumennya dan menguasai seluruh kaedah-kaedahnya dengan semua bagian-bagiannya. Ada juga yang mengatakan: bahawa itqaan adalah mengetahui sesuatu dengan yakin." (AtTa'arif karya Manawi, AtTa'riifat karya Al-Jurjani)

إن الله يحب إذاعمل أحدكم عملا أن يتقنه
"Sesungguhnya Allah mencintai; bahawa jika salah seorang dari kalian beramal, maka ia melakukannya dengan itqaan" (HR Abu Ya'la. Disahihkan Syeikh Albani)


Wallahualam. Moga bermanfaat.
Previous
Next Post »