#138 Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah

Buku: Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah Penulis: Dr Maza Penerbit: PTS Muka Surat: 167

Dibaca buku ini atas rekomendasi Dr Ashriff (bekas presiden PPI) pada 27 Jun 2015.
Secara ringkas, buku ini mengupas semula fitnah yang berlaku di zaman pemerintahan Saidina Uthman yang akhirnya meleret kepada zaman pemerintahan Saidina Ali.
Dr Maza mengariskan beberapa disiplin ilmu yang ana kira penting di awal tulisannya. Antaranya adalah keperluan menyemak berita, menyemak sanad, tentang manhaj At-Tabari [1], dan juga kaedah-kaedah ahlul hadis. Kemudian Dr Maza cuba meluruskan kekeliruan fakta sejarah yang berlaku pada zaman para sahabat pasca kewafatan Rasulullah dengan pembentangan fakta yang kemas, rujukan yang jelas serta hujah yang cukup kuat dalam mematahkan hujah dan tembelang syiah dan membersihkan kembali nama baik para sahabat.
Yang menariknya pada ana, kontroversi yang berlaku pada zaman sahabat sangat mirip dengan lanskap politik (baca: fitnah) yang berlaku hari ini. Contoh mudah, kita lihat saja bagaimana Saidina Ali berbeza ijithad politiknya dengan Saidatina Aisyah, Talhah dan Az-Zubair. Saidina Ali memilih untuk menangguhkan hukuman hudud pada pembunuh Saidina Uthman sedangkan Saidatina Aisyah and the geng ingin menyegerakannya.
Kata Talhah dan Az Zubair (wakil Saidatina Aisyah), "Membunuh pembunuh Uthman, sekiranya ini tidak dilaksanakan, bererti kamu sudah mengabaikan Al-Quran.
Jawab AlQa'qa' (wakil Saidina Ali), "Hasrat kamu ingin membunuh Uthman memang baik, tetapi kerosakannya lebih besar." "...Saidina Ali tidak dapat melaksanakannya sekarang, tetapi menunggu masa yang sesuai."[2]
Seakan-akan sama dengan hari ini bukan?
Mungkin boleh, mungkin juga tidak boleh ana samakan konflik dulu dengan konflik hari ini. Namun melihat gelagat dan pendirian beberapa sahabat pada ketika zaman fitnah tersebut cukup menarik! Ana kira banyak yang boleh kita ambil dan belajar dari variasi reaksi para sahabat, tetapi pada review ini ana sebutkan satu sahaja, iaitu tindakan Saidina Hasan, anak Saidina Ali. Nak tahu pendirian sahabat-sahabat lain, silalah baca sendiri.
Kata Abu Bakar: Rasulullah menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada Al-Hasan, lalu berkata, "Sesungguhnya anakku ini adalah tuan. Mudah-mudahan Allah mendamaikan melaluinya dua puak yang besar daripada orang islam.[3]
Kata Ibnu Taimiyyah pada mensyarahkan hadis di atas, "Rasulullah memuji Al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya (menyerahkan jawatan pemerintahan kepada Muawiyah) dan menamakannya sebagai sayyid, iaitu tuan. Ini kerana Allah dan RasulNya suka dan redha pada apa yang dilakukan Al-Hasan.."[4]
Saidina Hasan adalah watak yang mendamaikan fitnah.
Persoalannya, siapakah watak pendamai, watak penyatu dalam kemelut politik dan fitnah hari ini? Kalau tiada, kenapa bukan kita?
Wallahualam.
#SelamatHariRaya ____________________________
Nota Hujung: [1] Manhaj Tabari. At-Tabari tidak mengasingkan rekod sejarah yang sahih dengan yang tidak sahih dalam kitabnya. Imam At Tabari hanya menghimpunkan semua berita yang sampai kepadanya (beserta sanad) atas amanah ilmu. Yang selebihnya memerlukan ahli yang faqih dan kajian yang teliti untuk menentukan kesahihannya.
[2] Ibnu Kathir, Al-Bidayah wa Al-Nihayah, Jilid 7, ms 248.
[3] Hadis direkodkan oleh Bukhari, At-Tirmizi, Abu Daud dan Al Nasaie.
[4] Ibnu Taimiyyah, Al-Khilafah wa Al-Mulk, ms 84
Previous
Next Post »