#133 Screaming-Free Parenting

Judul : Screaming-Free Parenting Penulis : Teguh Iman Perdana Penerbit : PTS Halaman : 128

Dalam buku parenting ini menceritakan, SENYUM DAN TAWA MELAHIRKAN ANAK GENIUS !!!
Tidak lokek senyuman dan rajin bergurau senda bersama anak-anak dapat menjadi resipi unik melahirkan anak-anak yang baik akhlak dan cerdas aqalnya. Di Iran, Sekolah Jamiyyah(JQ) Quran dihuni oleh ratusan kanak-kanak yang dapat menghafaz Al Quran. Ada yang menghafaz sehingga 30 juzuk pada usia yang masih muda, malah dalam usia bawah 5 tahun.
Salah seorang pelajar di situ adalah anak berusia 5 tahun bernama Sayyid Muhammad Husein Tabataba’i mampu menghafaz, menterjemah, malah menafsir seluruh ayat Al Quran. Beliau mendapat gelaran Mukjizat Abad ke 20.
Pada usia 7 tahun, beliau bergelar Doktor Kehormat (Doctorate Honoris Causa) dalam bidang “Science of the Retention of The Holy Quran” dari Hijaz Collage Islamic University, England dengan memperolehi 93 markah.
Bagaimana gaya pendidikan di sekolah itu? Anak-anak itu bukan dididik dalam suasana penuh kekerasan dan disiplin, tetapi JQ mengajar mereka dengan mengunakan BAHASA KASIH SAYANG, KEMESRAAN, PUJIAN DAN PERSEKITARAN YANG DIPENUHI GANJARAN HADIAH.
Ada 4 mitos atau salah paham tentang peranan bapa yang dihuraikan dalam buku ini yang mana ia memerlukan perubahan paradigma kita si ibubayah ialah : 01. Bapa Tegas, Bapa Berwibawa 02. Bapa Tidak Pernah Salah 03. Tempat Bapa Bukan Di Rumah 04. Pantang Seorang Bapa Menangis
Saidina Umar bin Al-Khattab disenaraikan sebagai tokoh ke-52 paling berpengaruh dalam sejarah dunia oleh Micheal Hart dalam buku The 100: A Ranking Of The Most Influential Persons In History. Beliau cukup dikenali sebagai pemimpin yang tegas dan keras. Hadith yang direkodkan oleh At Tirmidzi ada menyebut, syaitan lari lintang pukang apabila bertembung dengan beliau. Namun begitu, beliau rupa-rupanya tidak segan dan teragak-agak menjadi kuda tunggangan dan bermain-main seperti kanak-kanak sebagaimana yang dimahukan oleh anak-anak beliau.
Antara mesej menarik dalam buku ini, anak-anak susah mendengar nasihat ibubapa, namun mereka tidak pernah untuk gagal meniru perbuatan kita.Perbuatan kita lebih banyak mempengaruhi anak-anak berbanding nasihat semata-mata.
Salah faham ibubapa, semakin panjang bebelan, semakin kuat jeritan, dan semakin tegas larangan dan tengkingan, anak-anak pasti akan mendengar kata-kata mereka. Tetapi ia sebenarnya mencederakan emosi dan menambah stres kepada anak-anak yang menyebabkan mereka memberontak dan semakin sukar untuk dikawal.
Dengan penerangan daripada buku Screaming-Free Parenting, jeritan perlu digantikan dengan pengunaan kata-kata yang lembut, berhikmah dan mampu menyentuh hati anak-anak.
Bebelan panjang pula perlu ditukar dengan tindakan yang cukup ringkas, namun sangat bermakna dan meninggalkan kesan untuk anak-anak.
Pukulan dan cubitan geram pula harus diubah kepada sentuhan lembut ataupun pelukan yang menenangkan jiwa anak-anak.
Dengan menghimpunkan kisah nabi dan sahabat, kajian, teknik-teknik yang terbukti berkesan oleh pakar kekeluargaan, buku ini adalah manual yang baik untuk mendidik anak-anak secara kreatif dan penuh kasih sayang tanpa perlu bersusah payah membebel panjang atau berteriak ‘tidak’ dan ‘jangan’.
Dalam buku ini juga mendorong ibubapa menjadi ibubapa yang menyeronokkan sepertimana Rasulullah SAW.
Antara tips untuk menjadi ibubapa yang menyeronokkan: 1. Memiliki kesabaran luar biasa dalam menghadapi kerenah anak. 2. Mengasah sensitiviti dengan tindakan positif anak. Paksa diri beri perhatian yang lebih kepada tingkahlaku anak. Proaktif dalam mengamati aktiviti seharian anak-anak. 3. Latih diri ucapkan sayang, maaf serta terima kasih kepada anak. 4. Latih diri supaya tidak meremehkan anak seperti suka bercakap kelemahan dan keburukan anak berbanding menyebut kebaikan dan kelebihannya.
Tidak kurang pentingnya juga, Penulis turut menyuntik kesedaran akan keupayaan semulajadi seorang guru dalam diri setiap ibubapa. Kita boleh menjadi guru yang baik dan kawan yang paling rapat dengan anak-anak dengan penuh kasih sayang, kreativiti, ceria, dan bukan dengan jeritan membingitkan telinga mahupun ancaman menyakitkan hati.
Banyak lagi tips menarik, bacalah !
Previous
Next Post »