Tajuk : Fiqh Al-Ikhtilaf (perbezaan pendapat)
Penulis : Dr. Yusuf Al-Qaradawi
Penerbit : Syabab Publishing
Mukasurat : 240
Perbezaan pendapat adalah satu lumrah dalam kehidupan yang tak dapat dinafikan. Malah, pertembungan terhebat dalam sejarah Islam pernah berlaku antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyah berkaitan pembunuhan Saidina Usman b Affan. Kita juga mungkin pernah merasai pertembungan dan pertelingkahan dengan kawan yang tidak sependapat dengan kita. Namun, apakah pertelingkahan ini memberikan kepuasan kepada diri kita?
Dalam masalah fiqh siyasi misalnya, banyak persoalan yang berlegar dalam ruang pemikiran para ulama dalam menentukan hukumnya.
Antaranya:
Apa hukum syura?Adakah keputusannya wajib diikuti oleh pemimpin atau tidak?
Apakah jihad itu untuk membela atau menyerang?
Apakah ada negeri selain Darul Islam dan Darul Harbi?
Dan masih banyak lagi masalah-masalah ijtihadiah lain yang diperselisihkan oleh para ulama kerana ketiadaan nas syariat yang qat'iyyu ath-thubut dan qat'iyyu ad-dalalah.
Dr. Yusuf Al-Qaradawi memandang positif terhadap perbezaan dalam fekah malah perbezaan ini akan memberi kebaikan jika dapat diuruskan dengan baik.
Ditinjau dari segi sebab dan dasarnya, ada dua bentuk ikhtilaf (perbezaan).
1) ikhtilaf yang disebabkan faktor akhlak
2) ikhtilaf yang disebabkan faktor pemikiran
Perbezaan masalah cabang adalah satu kemestian. Perlu diketahui bahawa orang-orang yang ingin menyatukan kaum muslimin dalam suatu pendapat tentang hukum-hukum ibadat, muamalat dan cabang-cabang lain sebenarnya menginginkan sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Usaha-usaha seperti ini hanya menunjukkan kebodohannya kerana perbezaan dalam memahami hukum-hukum syariat yang tidak bersifat asas ini merupakan suatu kemestian dan tidak dapat dihindari. Kemestian ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor
1) tabiat agama (Islam)
2) tabiat bahsa (syariat)
3) tabiat manusia
4) tabiat alam dan kehidupan
Biasanya perselisihan antara kelompok atau peribadi secara zahirnya dilihat sebagai perselisihan ilmiah atau mengenai masalah-masalah pemikiran semata-mata. Namun, perselisihan tersebut sebenarnya timbul kerana keegoan dan menurut hawa nafsu yang menyesatkan seseorang daripada jalan Allah. Sehubungan dengan itu, Dr. Yusuf Al-Qaradawi menggariskan beberapa asas moral dalam fiqh al-ikhtilaf yang harus dijadikan panduan oleh umat Islam umumnya dan para aktivis gerakan Islam khasnya.
Seseorang itu boleh berlaku ikhlas sepenuhnya kepada Allah dan berpihak kepada kebenaran jika ia dapat membebaskan dirinya daripada taasub terhadap pendapat orang lain, mazhab dan golongan. Dengan kata lain, ia tidak mengikat dirinya kecuali dengan dalil yang menguatkan lalu ia segera mengikutinya.
Ikhwanul Muslimin membolehkan adanya perbezaan pendapat dan membenci sikap degil yang menganggap diri sendiri sahajalah yang benar. Mereka berusaha untuk mencari yang hak dan mengajak orang lain untuk mencari dan menerima yang hak itu dengan cara yang lemah lembut. Inilah cerminan sikap "pertengahan" (wasatiah) dalam Islam yang wajar dicontohi oleh umat Islam.
Jadi, setelah kita fahami akan wujudnya perbezaan pendapat dalam kalangan kita, apakah pendekatan terbaik dalam mengatasi kemelut yang melanda?
Fiqh al-ikhtilaf mungkin ada jawapannya.
Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita semua.
ConversionConversion EmoticonEmoticon