Judul : B.A.D 2.0
Penulis : Insyirah Azhar
Mukasurat : 69
B.A.D ini bermaksud 'Bertanya Allah Dulu'. Dalam ebook setebal 69 halaman ini, Insyirah Azhar menekankan konsep perlunya kita sebagai seorang hamba untuk merasa adanya Allah dalam hati kita. Sangat penting untuk kita bersangka baik dengan Allah. Menombor satukan Allah dalam segala aspek hidup dengan mencari Allah dulu, bertanya Allah, dan sandarkan Allah dalam segala perkara. InsyaAllah hasil yang kita dapat adalah lebih tepat dan lebih cepat berbanding kita mencari bantuan orang lain. Sandaran kekuatan hanya kepada Allah SWT, pemegang mutlak anak kunci segala rezeki !
Ada 10 contoh ciri-ciri yang diketengahkan dalam e-book ini tentang manusia yang tiada keyakinan kepada Tuhan SWT. Salah satu contohnya, manusia berdoa tetapi tidak yakin Allah makbulkan. Ibarat menghantar komputer untuk dibaiki ke kedai komputer, tetapi tidak yakin mekanik komputer itu tahu membaikinya.
B.A.D mengetengahkan kepentingan menguasai kekuatan dalaman, berbanding kekuatan luaran. Menguasai keyakinan terhadap Tuhan. Penulis turut mengetengahkan kisah Nabi Musa berdialog dengan Allah dalam Surah Taha ayat 17 hingga 36 sebagai satu rujukan untuk memotivasikan pembaca.
Walau Allah tak balas luahan kita secara langsung atau serta merta, pasti Allah akan balas melalui bahasa alam. Dan ini yang menyuntik rasa sentiasa teruja ingin berkomunikasi dengan Allah.
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku ( Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”
Betapa Allah itu Maha Mengabulkan tiap permohonan hamba-Nya sebagaimana janji Allah dalam Surah Al Baqarah, ayat 186 di atas.
Selain berkongsi buku penulis Indonesia berserta individu-individu istimewa yang memberi inspirasi untuk menghasilkan karya ini, penulis turut memasukkan satu bab tentang persoalan seorang peserta yang mengikuti seminar beliau tentang manakah yang lebih baik, samada melakukan solat hajat atau solat istikharah. Untuk mengetahui jawapannya perlulah membelek helaian buku B.A.D ini.
Apa matlamat mempraktikkan konsep B.A.D ini ? Beliau memberi jawapannya seperti dalam Surah Az Zumar, ayat 22 iaitu untuk menepati kewajipan sebagai seorang hamba;
"Celakalah bagi orang yang hatinya keras dari berzikir kepada Allah. Mereka itulah orang-orang yang berada dalam kesesatan yang nyata"
7 Syarat Praktikkan B.A.D :
1. Mengakui kelemahan – kita kuat kerana Allah. Jangan ada ego apabila meminta kepada Allah.
2. Menyedari kekuasaan Tuhan - Dia boleh beri, bila Dia nak beri. Dia juga boleh tarik bila Dia nak tarik.
3. Jangan guna otak - Maksudnya, jangan meminta dengan terlalu terikat dengan logik akal. Minta sahaja yang tidak logik. Seperti dapat rumah percuma.
4. Anggap Allah sebagai sahabat - Berbual dengan Allah seperti sahabat. Ada 2 jenis cara berdoa – formal dan tidak formal.
5. Jangan terlalu scripted - Luahkan sahaja kepada Allah, apa yang kita nak. Doa spesifik.
6. Jangan buat depan manusia - Bagi mengelakkan dikatakan gila, buat dalam hati. Apabila berada dalam kelompok manusia, memadai buat untuk diri sendiri sahaja. Andai tidak di mulut, memadai buat dalam hati.
Bagaimanapun penulis turut mengingatkan jangan tergesa-gesa dengan mengatakan Allah tidak memakbulkan doa kita.
Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud;
"Allah sentiasa memperkenankan doa seseorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan."
W'alam, secara ringkas perkongsian sebuah ebook yang mengetuk keras tangkai hati yang serba dhoif ini untuk kembali muhasabah sekuatmana pergantungan kita dengan Yang Maha Esa.
ConversionConversion EmoticonEmoticon