#148 Hikmah Surah Al Kahfi

Judul : Hikmah Surah Al Kahfi Penulis : A.Razak Muthalib
Penerbit : PTS
Mukasurat : 116 mukasurat

“Sesiapa yang membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat, Allah S.W.T akan menyinari dia dengan cahaya di antara dua Jumaat.” (HR Al Hakim dan Al Baihaqi)
Bertitik tolak daripada hadith inilah yang membawa minat untuk meneliti apa yang dipersembahkan dalam buku mini 116 halaman ini. A.Razak Muthalib membentangkan 6 bab yang terdiri daripada :
Bab 1 : Surah Al Fatihah dan Surah Al Kahfi Bab 2 : Asbabun Nuzul Surah Al Kahfi Bab 3 : Kelebihan Surah Al Kahfi Bab 4 : Tafsir ringkas surah Al Kahfi Bab 5 : Zikir pada waktu pagi dan petang Bab 6 : Zikir selepas solat fardhu amalan Rasulullah SWT
Berdasarkan kepada hadith-hadith sahih yang dibentangkan dalam buku ini, surah yang disunatkan untuk dibaca pada malam ataupun hari Jumaat adalah surah Al Kahfi bukannya surah Yasin seperti amalan kebiasaan. Hari Jumaat bermula dengan terbenamnya matahari pada hari Khamis dan berakhir semasa terbenamnya matahari pada hari Jumaat. Kelebihan-kelebihan membaca Surah Al Kahfi juga dihuraikan berpandukan kepada dalil hadith sahih.
Penulis memetik daripada Tafsir Ibnu Kathir tentang 2 orang utusan yang diutus daripada kaum Quraisy untuk berjumpa pendeta Yahudi (ahli kitab terawal) yang berada di Makkah untuk bertanyakan sifat-sifat dan perkataan yang sering digunakan oleh Nabi Muhammad SAW. Setelah berjumpa dengan pendeta tersebut, mereka diminta untuk bertanyakan kepada Baginda Rasulullah SAW tentang 3 perkara. Dan jika Nabi Muhammad SAW dapat memberikan jawapannya, terbukti Baginda benar-benar adalah seorang Nabi yang diutuskan. Maka, ikutlah Baginda. Sekiranya Baginda gagal menjawabnya, jelas sekali Baginda hanya seorang yang banyak berbicara.
Tiga soalan itu ada diterangkan dalam buku ini. Dalam bab Asbabun Nuzul Al Kahfi ini juga diterangkan kenapa pentingnya kita sebagai seorang mukmin untuk selalu menyebut ‘Insya Allah’. Turut diceritakan hari demi hari yang berlalu tanpa sebarang wahyu yang diturunkan selepas Baginda diajukan 3 soalan tersebut, sehingga menyebabkan para penduduk Makkah menyebarkan berita buruk tengang Baginda. Baginda berasa sedih atas apa yang berlaku.
Dan kemudiannya selepas 15 hari berlalu, Jibril datang bertemu Baginda membawakan surah Al Kahfi, sebagai jawapan terhadap soalan yang diajukan kepada Baginda dan menegur Baginda tentang kesedihan terhadap sikap penduduk Makkah.
Sekurang-kurangnya buku ini walaupun nipis memberi pencerahan kepada kita yang mula bertateh untuk mengenal surah ke-18 dalam Al Quran ini. Apakah ibrah disebalik turunnya Al Kahfi?
Bak kata Imam Ghazali, "Ilmu tanpa amal adalah gila, amal tanpa ilmu adalah sia- sia."
Selamat ber - al kahfi !
Previous
Next Post »