#150 Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia, Satu Kajian Tentang Perjuangan Dong Jiao Zong (1970-2002

Tajuk : Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia, Satu Kajian Tentang Perjuangan Dong Jiao Zong (1970-2002) Pengarang : Cheong Yuen Keong (2013) Penerbit : Strategic Information and Research Development Centre Bilangan Mukasurat : 438

Melihat kepada tajuknya, pasti sebilangan besar daripada kita akan terlintas sepatah kata; rasis. Maka benarlah barangkali kata bijak pandai; usah dinilai buku daripada kulitnya.
Ringkasnya, buku ini ialah hasil analisis yang dibuat terhadap Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia, khususnya kepada pertubuhan Dong Jiao Zong semenjak tahun 1970 hingga tahun 2002.
Bermula dengan pengenalan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar tunggal di semua sekolah pada tahun 1970, Dong Jiao Zong berusaha gigih memperjuang hak dan identiti kaum Cina dalam sistem pendidikan mereka. Perjuangan Dong Jiao Zong mula 'perlahan' apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar untuk mata pelajaran sains dan matematik pada tahun 2002.
Perjuangan Dong Jiao Zong pada umumnya boleh dilihat sebagai pencetus kepada gerakan sosial yang berpengaruh dan memberi kesan secara keseluruhannya kepada negara. Mereka berjaya menarik perhatian parti-parti politik sehingga akhirnya tersedia ruang kompromi terhadap perkembangan sistem pendidikan Cina di Malaysia.
Jikalau kita melihat dari sudut pandang yang lebih luas dan berbeza, barangkali boleh kita bandingkan usaha memartabatkan bahasa Cina dan sistem pendidikan Cina jauh lebih teguh berbanding usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan aliran kebangsaan. Hakikatnya bahasa kebangsaan seringkali ditolak ke tengah dan ke tepi 'mengikut cita-cita politik si pembuat dasar'. Berbeza dengan perjuangan Dong Jiao Zong yang benar-benar mengutamakan pembinaan identiti dan jati diri bangsa mereka sendiri.
Besar harapan kita agar buku ini dibaca dan kandungannya dinilai sebagai satu kayu ukur bagaimana kita menangani krisis dan konflik dalam sistem pendidikan aliran kebangsaan. Usah diambil yang keruh daripada perkataan 'rasis', tetapi contohilah bagaimana kaum Cina ini sangat menghargai identiti dan jati diri mereka.
Ada apa dengan 'bangsa'; harus diingat bahawa bangsa itulah yang membina tamadun dan agamanya.
Semoga bermanfaat kepada semua.
Previous
Next Post »