#152 Bahasa dan Tantangan Intelektualisme

Tajuk: Bahasa dan Tantangan Intelektualisme Pengarang: Azhar Ibrahim (2014) Penerbit: Strategic Information and Research Development Centre Bilangan Muka Surat: 270

Buku yang mulanya disangka dari Indonesia (kerana menggunakan bahasa Melayu Indonesia) ini rupanya ditulis oleh seorang pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Berkisah tentang bahasa Melayu, menggunakan bahasa Indonesia menunjukkan itulah bahasa Melayu sebenar; yang teguh jati dirinya berbanding bahasa Melayu di negara kita.
Terbahagi kepada 10 bab dengan pengisahan berbeza, penulisnya membawa kita mendekati bahasa Melayu dari perspektif pemikiran para intelektual yang sedari dahulu sangat meyakini bahasa Melayu.
Bahasa berkembang sejajar dengan perkembangan bidang ilmu. Malah kajian empirikal berkaitan mental kognitif membuktikan manusia akan lebih cepat dan mudah menghadam ilmu jikalau ia dipelajari dalam bahasa ibundanya sendiri. Ini sudah dibuktikan oleh masyarakat Jepun yang berjaya membina negara mereka dengan sangat pantas, hasil daripada usaha mengutamakan bahasa Jepun sedangkan mereka negara paling teruk dimusnahkan dalam Perang Dunia Kedua.
Membaca analisis yang disampaikan melalui perbincangan dalam buku ini bagai menampar diri sendiri. Bayangkan bagaimana gigih kaum Cina dan India mempertahankan sekolah aliran vernakular di Malaysia; kerana kajian saintifik sudah membuktikan sesuatu kaum itu akan lebih mudah menghadam ilmu dalam bahasa ibunda mereka. Hanya orang Melayu sahaja yang malu dengan bahasanya sendiri, masih kekal meyakini bahasa asing wajib dikuasai demi mencapai kemajuan negara (tanpa sedar itulah petanda kepada inferioriti).
Membaca buku ini membuatkan kita terfikir bagaimana Singapura (yang memiliki 4 bahasa rasmi; bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin) mampu mendaulatkan bahasa Melayu bahkan mampu menjaga identiti bahasa Melayu jauh lebih baik daripada Malaysia yang kononnya mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita. Pengajian bahasa Melayu di Malaysia sahaja sudah ditinggalkan jauh beribu batu oleh Singapura (dengan bantuan Brunei dan Indonesia).
Besar harapan kita (semoga ia tidak tinggal sebagai harapan semata-mata), bahasa Melayu kembali menjadi sebahagian daripada bahasa dunia. 95 universiti di 90 buah negara telah memiliki Fakulti Bahasa Melayu (tetapi tidak di Malaysia), tidakkah itu mampu membuka mata? Timba sudah di tangan dan telaga sudah menyapa. Apa ikhtiar kita?
Previous
Next Post »