Tajuk: Big Fat Lies Women Tell Themselves
Pengarang: Amy Ahlers
Penerbit: New World Library (2011)
Bilangan mukasurat: 223
Melihat kepada tajuk buku ini, ia seolah-olah ingin membongkar betapa 'jahat' seorang wanita terhadap diri sendiri. Hakikatnya, tajuk buku ini hanyalah sebagai propaganda yang pada akhirnya mampu memikat hati kita membacanya.
Penulisnya, Amy.. Berusaha memberitahu bahawa kita sudah terdidik memahami dan mempercayai segala bentuk pembohongan semenjak kecil. Malangnya, pembohongan yang dipercayai itu bukan datangnya daripada orang lain, tetapi diri kita sendiri.
Amy menyenaraikan 59 pembohongan yang terbahagi kepada 7 bahagian.
Bahagian 1 mengandungi 13 Big Fat Lies yang berkaitan dengan bagaimana kita menilai diri sendiri. Satu daripada penipuan yang kerap kita beritahu kepada diri sendiri ialah "saya sudah berkorban terlalu banyak kepada orang lain tetapi tidak ada sesiapa yang menghargai pengorbanan saya". Ada dua sebab mengapa kita berasa begitu. Pertama, kerana kita mahukan perhatian. Kedua, kita tidak pernah cuba mendahulukan kepentingan diri terlebih dahulu. Justeru rasa tidak puas hati akan menyebabkan kita merungut sebegitu. Penyelesaiannya ialah, berhenti daripada melakukan seauatu jikalau ia hanya akan menghasilkan rungutan. Beralihlah kepada usaha menggembirakan diri sendiri.
Bahagian 2 dalam buku ini mengandungi 7 Big Fat Lies berkaitan penjagaan diri. Antaranya ialah menafikan bentuk fizikal. Contohnya; saya terlalu gemuk, sedangkan hakikatnya tidak begitu. Seringkali juga kita menipu diri dengan memberitahu "saya memerlukan orang lain yang mampu menjaga saya", sedangkan kawalan diri dan penjagaan kesihatan itu bermula dari dalam diri kita sendiri.
Bahagian 3 mengandungi 10 Big Fat Lies berkaitan dengan kejayaan. Antaranya ialah kekerapan kita menyatakan "saya akan cuba" yang akhirnya hanya akan tinggal sebagai 'cadangan' dan bukannya usaha. Berhenti menyatakan 'saya akan cuba' tetapi nyatakan 'saya akan buat itu.. saya akan buat ini'. Amy memetik kata-kata Yoda (master Jedi dalam filem Star Wars), "Tiada istilah cuba. Buat atau pun jangan buat. Tidak wujud istilah mencuba".
Bahagian 4 mengandungi 5 Big Fat Lies berkaitan dengan pengurusan kewangan.
Bahagian 5 mengandungi 11 Big Fat Lies berkaitan cinta dan perhubungan kita dengan orang lain.
Bahagian 6 mengandungi 7 Big Fat Lies berkaitan usaha kita menjadi diri sendiri.
Bahagian 7 mengandungi 6 Big Fat Lies berkaitan dengan jiwa, minda dan spiritual kita.
(Maaf, panjang sangat jikalau mahu diulas kesemuanya)
Membaca buku ini membuatkan kita terasa ia bukan lagi satu isu berkaitan jantina. Big fat lies itu berlaku kepada sesiapa sahaja. Buku ini sesuai dibaca oleh semua. Sekali pun bukan untuk diri sendiri, tetapi bermanfaat untuk kita belajar memahami tingkah laku orang lain di sekeliling kita. Kelebihan buku ini ialah sifat penulisannya yang berterus-terang dan 'tepat ke batang hidung' pembaca.
Besar harapan kita agar idea dan pandangan Amy Ahlers (CEO kepada Wake-Up Call Coaching) dalam bukunya ini dapat membangunkan kita daripada lena yang panjang dalam menipu diri sendiri. Ayat yang manis dan muluk itu, wajar dihentikan. Membela kesalahan diri sendiri itu, tidak boleh dijadikan amalan. Dalam Big Fat Lie #59, Amy menyatakan hanya pengalaman hampir mahu mati yang mampu membangunkan kita dari alam khayalan.
Semoga bermanfaat untuk kita kongsikan.
ConversionConversion EmoticonEmoticon