#144 Peribadi

Tajuk: Peribadi Penulis: Prof Dr HAMKA Penerbit: Pustaka Dini cetakan 2008 Bilangan muka surat: 203

Dari judul buku itu sendiri sudah kita ketahui persoalan peribadi ini sangat dipandang berat oleh Prof Hamka sehinggakan beliau menghasilkan buku terhadapnya. Dimulai dengan pendahuluan yang saya kira secara ringkas tepat menceritakan idea yang ingin yang dibawanya dalam buku ini. Membaca pendahuluannya sudah cukup membuat diri ini tertarik untuk terus terjun dan berenang bersama-sama penulis dalam setiap helaian muka surat sehingga ke kulit belakang.
Apakah itu peribadi? Menurut pemahaman saya dari tulisan ini peribadi itu ialah segala budi, akal, pergaulan, kesihatan, pengetahuan berkumpul menjadi satu pada seseorang. Peribadi juga diberi erti manusia sebagai diri sendiri dan sifat-sifat semulajadi seseorang. [1] Peribadi itu merupakan harga dan nilai diri seseorang itu. Sibukkanlah dengan menilik diri sendiri terlebih dahulu sebelum meneropong orang lain. Bak kata Socrates, " " Know Thyself" (walaupun ada sumber mengatakan bukan Socrates yang menciptanya tetapi motto di Kuil Delphi). [2]
Beberapa elemen yang digariskan oleh Prof HAMKA yang dikira penting dalam menimbulkan peribadi adalah seperti berikut: 1. Daya penarik 2. Cerdik 3. Timbang rasa 4. Berani 5. Bijaksana 6. Berpandangan baik 7. Menyesuaikan diri 8. Bentuk badan 9. Percaya diri sendiri 10. Tenang 11. Bertujuan 12. Keinginan bekerja 13. Rasa wajib 14. Pengaruh agama dan iman Saya sengaja untuk tidak membawakan huraian untuk setiap elemen di atas dengan harapan anda membaca dan memahaminya sendiri kerana bagi saya buku ini wajar dimiliki dan ditekuni sendiri.
Dalam bab "Pertalian Jasmani dan Rohani" tokoh besar nusantara ini memuatkan satu teori lama berkenaan mengenali personaliti seseorang yang terbahagi kepada empat bahagian iaitu, sanguine, choleric, phlegmatic dan melancholic. Ujian personaliti ini masih dipakai hingga sekarang. Namun Prof HAMKA mengatakan penyelidikan baru tidak dapat lagi menerima teori ini kerana segala yang berlaku disekeliling seseorang pada masa-masa tertentu amat mempengaruhinya. Sebagai contoh seseorang itu pada hari sakitnya dia seorang yang melancholic (banyak dukacita) tetapi dimasa sihatnya sebenarnya dia seorang sanguine (suka bergaul, jernih muka). Otak, darah, perut dan anggota kelamin semuanya mempengaruhi peribadi. Kesihatan tubuh badan sangat mempengaruhi peribadi seseorang. Dari darah yang sihat, makanan yang baik melahirkan otak yang cerdas dan kesihatan kelaminnya. Alat kelamin sangat perlu dijaga dan tidak kurang pentingnya. Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda “Barangsiapa yang dapat menjamin untukku apa yang berada di antara dua rahangnya (mulut) dan apa yang ada di antara dua kakinya (kemaluan) maka aku akan menjamin baginya surga.” [3]
HAMKA menyatakan bukan hanya peribadi individu itu penting bahkan peribadi bangsa juga. Mengapa sukarnya melihat negara kita berdiri sebaris negara-negara maju? Kerana kita kekurangan orang yang dapat berfikir dan dapat bekerja.
Tiga perkara menjadi sendi kebesaran jiwa: 1. Tidak gelisah 2. Rela menerima hidup dan berusaha 3. Muka jernih
Perkara yang melemahkan peribadi 1. Jadi bayang-bayang orang lain 2. Ikutan adat lama pusaka 3. Budak kitab (tidak terima bulat-bulat kitab selain dari wahyu, bisa kitab itu benar juga bisa salah) 4. Tak tentu arah 5. Menumpang hidup orang lain Jasa-jasa dan perbuatan besar yang telah dilalui dalam hidup seseorang, riwayat-riwayat yang gemilang yang telah ditempuh menyebabkan orang kagum akan seseorang. Contoh yang paling besar bagi umat Islam bahkan dunia dalam soal peribadi yang termulia ialah junjungan besar Nabi Muhammae S.A.W. Baginda telah menjadi suri teladan yang paling wajar diikuti. Inilah kebersihan peribadi.
Prof HAMKA mengakhiri buku ini dengan satu bab yang mengkritik terus peribadi bangsa Indonesia. Bangsa Indonesia dikritik hebat sebagai bangsa patuh yang dengan sewenang-wenangnya membiarkan dijajah oleh Belanda. Snouck Hurgronje merupakan watak penting dalam pendudukan Belanda di tanah seberang itu. [4] Snouck Hurgronje boleh dikatakan berjiwa besar dan bertujuan walaupun niatnya jahat. Sebagai manusia yang mempunyai peribadi, perlulah mempunya pendirian yang kukuh dan tegas serta berhak melakukan keputusan sendiri tanpa merelakan diri dipijak henyak. •••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••• [1] Kamus Dewan Edisi Keempat [2] http://www.the-philosophy.com/socrates-know-yourself [3] Sahih Bukhari, No 6474 [4] "Politik dan Agama", Tuan Guru Abdul Hadi Awang,Jundi Resources, ms 44. ••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••• Komen saya. 1. Naskah terbitan Pustaka Dini ini bukanlah cetakan asal. Pustaka Dini merupakan wakil Malaysia yang mendapat lesen untuk percetakan buku-buku HAMKA. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkataan yang asing dan tidak faham yang saya kira perlunya ruang glosari seperti mana dilakukan oleh pihak PTS dalam buku "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck"
2. Tidak dinafikan HAMKA mempunyai pengetahuan yang besar kerana dalam buku ini sarat dimuatkan dari sumber-sumber yang pelbagai baik dari timur mahupun barat.
3. Saya mengenali ramai tokoh besar dunia melalui buku ini seperti Bung Karno, Bung Hatta, Socrates, Mark Twain, Rashid Ridha, Ibnu Saud, Napoleon Bonaparte, Chairil Anwar dan ramai lagi. Ingin saya katakan orang Indonesia itu sangat bangga dengan Bung Karno atau Soekarno.
4. Sepertimana karya HAMKA yang lain, buku ini tidak terlepas dari susun kata dan bahasa yang sangat lunak dan puitis. Seolah-olah mahu di "tweet" kebanyakkan bait kata dan madah. Bacalah. Anda akan merasainya.
5. Jika disertakan rujukan dalam penulisan ini lebih saya gemardan suka seperti perihal teori personaliti individu tersebut.
6. Saya sarankan untuk dibaca buku ini dalam membentuk diri ke arah yang lebih maju.
Allahu'alam.
Previous
Next Post »