#147 Membongkar Di Sebalik Misteri MH370

Tajuk : Membongkar Di Sebalik Misteri MH370 Pengarang : Mejar (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin Penerbit : Casamas Resourses Sdn Bhd Bilangan Mukasurat : 224

Beralih daripada bacaan ilmiah ke bahan bacaan berkaitan isu semasa, kali ini saya memilih buku yang ditulis oleh pengarang yang sama menulis biografi best seller; Ahmad Ammar. Tarikan utama mengapa buku ini dipilih ialah persoalan sama ada MH370 itu suatu tragedi atau strategi. Membezakan buku ini dengan buku lain berkaitan MH370 ialah analisis yang dibuat lebih bersifat terbuka dengan fakta yang lebih rinci; membuat pembaca berasa ingin tahu ‘ada apa dengan MH370’?
Terbahagi kepada 37 sub topik yang menarik, penulis memulakan catatannya dengan memperkenalkan kepada kita tentang ‘keajaiban KLIA’ yang direka bentuk berkonsepkan ‘airport in the forest, forest in the airport’ oleh Kisho Kurokawa, seorang arkitek Jepun. Turut disenaraikan dengan rinci ialah segala teknologi yang dimiliki oleh KLIA sebagai satu daripada lapangan terbang antarabangsa terbaik dan termoden di dunia.
Kronologi kehilangan pesawat MH370, senarai penumpang dan anak kapal, usaha siasatan ke atas simulator milik Kapten penerbangan, dua penumpang pemilik passport palsu dan usaha mendapatkan kotak hitam pesawat mendahului analisis yang dibuat oleh penulis buku ini. Merungkai nasib pesawat malang itu ialah persoalan ‘mengapa Lautan Hindi; satu-satunya zon tanpa penghuni, tanpa radar pengesan, tanpa sebarang laluan pesawat, tanpa daratan; dijadikan pilihan?’
Menariknya buku ini ialah, penulisnya tidak merungkai isu MH370 semata-mata. Turut dipaparkan dalam analisisnya ialah ribuan kes sejarah kemalangan pesawat udara semenjak tahun 1922; rekod menunjukkan ada pesawat yang ditemui selepas 60 tahun kehilangannya (kes kehilangan Globemaster C-124 pada tahun 1952 yang ditemui pada tahun 2012) membuktikan bahawa kehilangan pesawat terbang, biar selama manapun, tidak pernah didiamkan.
Penulis juga membuat perincian berkaitan radar yang digunakan di seluruh dunia. Bemula dengan radar oleh NASA, radar penerbangan dan pelayaran, radar ketenteraan atau radar awam sesebuah negara, sehinggalah kepada penggunaan satelit di seluruh dunia. Turut dihuraikan ialah usaha mencari dan menyelamat (SAR) ke atas MH370 yang dibatasi oleh rahsia ketenteraan.
Satu lagi point menarik dalam buku ini ialah analisis penulis tentang misteri lautan dan daratan di dunia yang barangkali sahaja terkait sama dengan sejarah penerbangan pesawat. Jikalau sebelum ini kita hanya mengenali misteri Segitiga Bermuda, penulis turut mengajak kita mengenali Devil’s Sea di Pasifik, Segitiga Michigan, Segitiga Alaska, bahkan Segitiga Masalembo di Indonesia yang dikaitkan dengan nahas pesawat Adam Air pada tahun 2007.
Penulis turut menyelitkan fakta berkaitan 10 pangkalan tentera Amerika Syarikat di seluruh dunia termasuklah Diego Garcia yang dikaitkan dengan kehilangan MH370.
Menutup perbincangannya dengan pandangan pakar-pakar penerbangan, penulis turut menitipkan pesanan buat MAS dan seluruh ahli keluarga yang terlibat sebagai penumpang dan anak kapal pesawat malang itu. Penulis turut meninggalkan sekian banyak soalan, penafian dan kemungkinan di akhir perbincangannya.
Memetik kata-kata Kapten Nurudin, bekas Ketua Pilot 777 MAS, “di mana sains berakhir, di mana logik akal manusia tidak dapat menafsir keadaan dan suasana; maka di situlah kudrat Allah bermula… kenalilah Tuhan yang ingin mengujimu’.
Membaca buku ini ibarat membuka rantai hati yang terkunci. Di sebalik teori konspirasi, strategi atau misteri; masih terlalu banyak yang belum kita ketahui. Ada hikmah-Nya atas setiap yang terjadi. Membaca buku ini membuat akal dan hati berhenti membuat andaian. Kebenaran, tetap kekal sebagai kebenaran.
Al-Fatihah untuk semua mangsa MH370. Semoga Allah sentiasa melindungi kalian, di dunia dan di akhirat kelak.
Previous
Next Post »