#149 Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pecintanya

Tajuk: Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pecintanya Penulis: Shaharom TM Sulaiman Penerbit: ITBM MukaSurat: 106

Buku ini adalah karya romantis terbaru Shaharom TM Sulaiman dalam meneruskan perjuangannya mencintakan manusia kepada buku dan dunianya. Di antara buku-buku beliau di dalam genre yang sama adalah Keanehan dan keunggulan buku, Buku Kekasih dan Ada Apa Dengan Buku. Sekiranya anda sudah sedikit jemu dan lesu membaca dan membelek buku, ada mungkin tulisan ayahanda Shaharom dapat dijadikan penawarnya.
Mungkin juga ada yang tertanya-tanya, siapa sebenarnya ayahanda Shaharom Sulaiman ni? Kerana namanya jarang-jarang kita dengar dan bukunya jarang-jarang mendapat perhatian yang sewajarnya. Pun begitu, walau namanya mungkin sedikit asing bagi sebahagian besar ahli Kami Gebu, namun jasa dan sumbangan beliau dalam dunia penulisan dan perbukuan tanah air cukup konsisten dan disegani. Sudah lebih 10 tahun, beliau perjuangkan budaya ilmu dan amalan membaca di negara kita kerana itu saya gelarkan dia sebagai ayah di dalam tulisan ini.
Baik, kembali kepada buku.
Pendefinisian Biblioholisme: • Terdiri daripada perkataan biblio, holic, isme • Biblio ertinya buku • Holic ertinya pecinta, penggemar, 'penagih' • Isme ertinya keadaan, sikap, kondisi, prinsip
Maka ringkasnya dapat kita terjemahkan Biblioholisme sebagai sikap pecinta buku. Mungkin bunyinya so-so la-la tetapi jangan disamakan pembaca buku dengan pecinta buku. Kedua-dua perkara ini cukup berbeza sama sekali. Malah kalau boleh saya simpulkan, buku ini bertujuan besar untuk membezakan di antara keduanya. Perbezaan yang dihuraikan falsafahnya dari perspektif sejarah, tokoh dan peradaban. Pada saya, rencana tentang sikap biblioholic tokoh-tokoh terkemuka seperti Albert Einstein, Alfred Nobel (pengasas hadia Nobel Kesusateraan), Oprah Winfrey dan pencinta buku nusantara seperti Jaafar Abdul Rahim, Tengku Abdullah, Wan Mohd Shaghir (pengkaji kitab ulama silam melayu) tersangat menggiurkan, menarik dan mencabar diri untuk turut menjejaki 'sunnah' mereka.
Begitu juga, penceritaan tentang kewujudan Book City seperti Paju Book City (Korea Selatan), penubuhan kota buku KL, keunikan perpustakaan-perpustakaan di Iran dan tradisi keilmuannya yang terpelihara membakar semangat untuk merancang penjelajahan ke tempat-tempat yang berkenaan.
Membaca buku ini akan membuatkan anda seolah-olah berkehendak untuk menukar cita-cita. Terasa ingin menjadi kerani di perpustakaan. agar siang malam, pagi petang, hidup mati bersama buku.
Petikan kegemaran: "Dunia pecinta buku berbeza dengan dunia pembaca biasa. Mereka bukan sekadar membaca, tetapi 'lahap membaca' bahkan jauh lebih ekstrem sudah terhumban ke dalam dunia ekstasi membaca. Dalam diri mereka terkumpul harmonis sifat rakus membaca, tamak mengumpul buku, gila membeli buku dan kesemua ini menempatkan mereka dalam sebuah yang cukup mempesonakan yang dikenal sebagai BIBLIOHOLISME."
Selamat bercinta kawan2
Previous
Next Post »