#212 Kehujahan Sunnah

Kertas kerja ini disediakan untuk peserta Daurah Usul Fiqh di Pulau Pinang. Muqaddimah (pendahuluan) penulis dengan soalan perbezaan sunnah dan hadis semasa membentangkan kertas kerja ini telah mencuri perhatian saya. Sunnah adalah apa yang terbit kepada nabi, hadis pula apa yang disandarkan kepada nabi. Hadis boleh jadi benar ataupun palsu, manakala sunnah sudah semestinya soheh daripada nabi SAW.  

Judul : Kehujahan Sunnah
Penulis : Dr. Muhamad Rozaimi Bin Ramle
Penerbit : Pertubuhan Kebajikan Al Qayyim
Bil. m/s : 16

Ditekankan juga kewajipan muslim taat kepada nabi SAW ayat al-Quran surah Ali Imran 32. Juga larangan mendustakan nama nabi beserta ancaman siap tempatnya dalam neraka. Isra'ilyat selagi tidak bohong boleh diguna manakala hadis selagi tidak tahu kebenarannya tidak boleh disebarkan. Mengambil Isra'ilyat secara berlebihan pula boleh melarikan fokus tujuan ayat al-Quran dan Sunnah ingin sampaikan.

Terdapat arahan mengembalikan kepada nabi SAW apabila berlaku perselesihan:

Maksudnya: "Apabila kamu berbantah-bantah tentang sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat" (al-Nisa':59).

Al-Syatibi berkata mengembalikan Allah (dalam ayat) ialah mengembalikannya kepada al-Quran dan mengembalikan kepada Rasul ialah mengembalikan kepada Sunnah selepas kewafatannya (1).

Ibn Qayyim pula berkata sesungguhnya manusia berijmak (bersetuju) bahawasanya kembali kepada Allah SWT ialah kembali kepada kitab-Nya dan kembali kepada Rasul ialah kembali kepada dirinya sewaktu baginda hidup dan kembali kepada Sunnahnya selepas kewafatannya (2).

Ibu Qayyim menjelaskan ayat ini tidak hanya mewajibkan kitab kembali kepada al-Quran dan Sunnah ketika berselisih pendapat semata-mata, bahkan ia juga menyatakan perbuatan mengembalikan kepada Allah dan Rasul dalam situasi ini adalah bukti keimanan. Ia bermakna jika kita tidak kembali kepada Allah dan Rasul dalam keadaan ini bermakna keimanan kita ternafi (3).

Pelbagai perkara dibincangkan lagi seperti kecacatan metodologi golongan anti-Hadis, serta membawa contoh soal jawab golongan yang dikatakan Quranis (4) Malaysia seperti Kasim Ahmad dan Farouk A Peru (boleh baca lanjut dalam kertas kerja).

Kesimpulannya, kepentingan muslim menguasai ilmu agama serta tangungjawab "golongan beragama" supaya tidak memberikan gambaran Islam yang salah kepada masyarakat, kerana ia akan memburukkan imej Islam itu sendiri juga termasuk dalam perkara yang mungkar.


Nota kaki:

(1) al-Muwafaqat, jil 8, hlmn. 452.
(2) A'lam al-Muwaqqi'in, jil.1, hlmn. 52-53
(3) A'lam al-Muwaqqi'in, jil. 1, hlmn. 53

(4) Quranis, mereka kononnya berpegang dengan al-Quran semata-mata dan tidak mahu merujuk kepada hadis.
Previous
Next Post »