#216 Who Was Charles Dickens?



Era Victoria adalah suatu zaman yang cukup gemilang bagi The United Kingdom of Great Britain and Ireland. Dibawah pemerintahan Queen Victoria (1837-1901) penemuan-penemuan baru di dalam bidang yang pelbagai seperti sains, perubatan, industri dan kejuruteraan telah meletakkan zaman ini sebagai suatu zaman yang terpenting di dalam sejarah United Kingdom. Di zaman ini juga rancak dengan kemunculan novel-novel seperti 'Alice in Wonderland', 'Sherlock Holmes' dan sebagainya. Akan tetapi, di antara puluhan ribu novelis yang timbul pada era tersebut, wujud seorang daripada kalangan mereka yang diberi nama Charles Dickens. Novelis yang sehingga hari ini dijulang sebagai The Greatest Writer of the Victorian Era.

Tajuk: Who Was Charles Dickens?
Penulis: Pam Pollack dan Meg Belviso
Penerbit: Grosset & Dunlap
Muka Surat: 105

Buku ini membawa kita menelusuri perjalanan hidup Charles Dickens dari awal kelahirannya (1812) sehingga tarikh kematiannya (1870). Dek kemiskinan keluarganya, beliau tidak dapat untuk bersekolah penuh seperti kanak-kanak lain. Malah terpaksa bekerja di usia yang sangat muda bagi menampung beban hidup keluarganya. Di kilang kerjanya, beliau diberi gelaran ‘young gentleman’ kerana cara cakapnya dan perilakunya seperti seorang yang terpelajar. 

Bagi masyarkat zaman itu, adalah suatu yang ganjil bagi seorang miskin untuk bersikap sopan, tertib dan ‘of high society’. Perilaku sopan Charles Dickens ini bukanlah suatu kebetulan tetapi datangnya ia daripada kecintaanya pada buku dan kerajinannya berada di jalanan, mendengar dan belajar dari orang ramai. Sikap ini berterusan sehingga beliau tua dan turut menjadi elemen yang penting di dalam karya-karyanya.
Sepanjang kehidupannya, beliau telah menulis 15 novel keseluruhannya. Semuanya berjaya menjadi ‘bestseller’ pada zamanya. Malah sehingga ke hari ini, novel beliau masih disebut-sebut, dicetak dan difilemkan. 

Keunikan novel Charles Dickens adalah pada sifatnya yang mengambarkan dan mengkritik realiti sosial masyarakat. Antaranya, novel 'Oliver Twist' membawa pembaca menjiwai kerumitan hidup anak-anak yatim, 'A Tale of Two Cities' bercerita soal Revolusi Perancis, dan 'David Copperfield' mencerminkan susah payahnya kehidupannya sendiri. 

Begitu juga novel ‘A Christmas Carol’, di mana menurut ahli sejarawan, bukan sahaja novel tersebut berperanan mengangkat nama Charles Dickens di mata dan hati dunia, ia juga membawa suatu revolusi pada cara beraya orang Christian dan masyarakat Eropah. Dikatakan juga bahawa ramai golongan bangsawan dan elitis - setelah penerbitan novel tersebut - telah berubah menjadi pemurah, dermawan dan lebih bersimpati pada kelas bawahan.

Membaca buku ini - selain membawa kita berkongsi pengalaman pahit manis Charles Dickens - ia juga membawa kita membayangi serba sedikit suasana masyarakat Britain abad ke-19. Suasana sekitar pengaruh industri dan kapitalis, serta norma perbezaan kelas dan taraf hidup. Pun begitu, idea yang menarik untuk direnungi dan dibahas adalah pada peranan dan potensi novel di dalam mengubah sistem sosial masyarakat. Charles Dickens adalah figur yang berjaya mengeksploitasikan potensi tersebut. 


Persoalannya, masih wujudkah novel-novel dan novelis-novelis seperti ini di dalam masyarakat kita?
Previous
Next Post »