Saya sedar review ini tidak mungkin berlaku adil pada buku ini. Susah hendaknya mahu meringkaskan suatu tulisan yang kritikal dan padu seperti ini. Justeru, saya amat mengesyorkan buku ini dibaca sendiri dan dijadikan bahan bacaan wajib bagi mana-mana muslim yang ingin terus berubah maju dan berkembang kotak fikirnya.
Tajuk: Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah
Penulis: Prof Syed Hussein Alatas
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Muka Surat: 182
Kalau boleh saya katakan, bahawa buku ini banyak berputar sekitar ilmu dan sikap umat Islam terhadapnya. Berulang kali disepanjang buku ini, Prof Hussein Alatas mengajak kita untuk memberanikan diri mengambil dan menumbuhkan ilmu pengetahuan daripada masyarakat-masyarakat lain. Baginya, adalah mustahak kita memperdalamkan diri dalam ilmu pengetahuan sekarang, dalam aliran-aliran-falsafah-falsafah yang bertentangan dengan Islam, supaya dapat kita mengambil kebenaran-kebenaran yang ada padanya, sambil menolak dasar-dasarnya yang bahaya dan menyeleweng.
Diterangkan juga pengertian sebenar disebalik istilah Islam, ilmu, ulama dan hikmah secara luas dan mendalam. Bahawa fikiran Islam itu terbahagi kepada dua; agamanya dan nilainya. Agama itu untuk umatnya Islam, nilai itu pula pada umat manusia seluruhnya. Mana-mana hal yang menyentuh nilai-nilai Islam maka berhaklah ia digelar sebagai Islam, biarpun datangnya ia dari yang bukan Islam. Sepertimana contoh di dalam dunia kesusasteraan, Leo Tolstoy
yang menulis soal kemanusiaan dan kemasyarakatan yang tiada ia lari dari dasar-dasar islam, maka layaklah itu disebut sebagai seni sastera islam. Manakala Hikayat Hang Tuah yang bercerita soal taklid dan ketaatan membuta pada kezaliman raja itu, biarpun ditulis orang Islam dengan istilah-istilah Islam, maka bukanlah ia seni sastera Islam. Sebagai contoh lain, seperti itu juga, boleh jadi lagu-lagu Linkin Park lebih 'nasyid' dari qasidah bapak-bapak habib.
yang menulis soal kemanusiaan dan kemasyarakatan yang tiada ia lari dari dasar-dasar islam, maka layaklah itu disebut sebagai seni sastera islam. Manakala Hikayat Hang Tuah yang bercerita soal taklid dan ketaatan membuta pada kezaliman raja itu, biarpun ditulis orang Islam dengan istilah-istilah Islam, maka bukanlah ia seni sastera Islam. Sebagai contoh lain, seperti itu juga, boleh jadi lagu-lagu Linkin Park lebih 'nasyid' dari qasidah bapak-bapak habib.
Demikian pula erti ilmu dan ulama, tidak wajar dibezakan darjat martabat bagi kedua-duanya. Tidak semestinya yang mengaji agama semata itu ulama. Sedang ahli ekonomi, ahli astronomi, ahli sejarah dan sebagainya itu juga layak diangkat sebagai ulama. Hakikatnya ilmu itu datangnya semua daripada Tuhan. Mengurangkan atau merendahkannya ilmu pengetahuan yang dianggap luar daripada ilmu pengetahuan Islam adalah punca yang memerosotkan umat ke lembah kemunduran. Begitu juga halnya dengan hikmah, sewajarnya hikmah itu bertebaran di sana sini, dimiliki bukan hanya pada umat Islam tetapi juga pada umat dan makhluk lainnya. Tinggal untuk kita mencari dan mengutipkannya.
Maka apa perlunya Prof Hussein Alatas merungkai dan mendalami kembali makna dan guna perkataan-perkataan itu? Apa perlunya dipandang sumber-sumber luar dan asing? Sudah pasti kerana wujud perkaitannya dengan kemajuan umat dan masyarakat. Bila dikaji maksudnya, dikenalpasti halangan-halangannya maka akan terjumpalah kembali kunci-kunci dan strategi-strategi kejayaan umat. Kunci dan strategi yang pernah kita miliki suatu ketika dulu. Pada Prof Hussein Alatas, jelas kuncinya berlegar di sekitar semangat berfikir, rasionalisme dan pembukaan semula pintu-pintu ijtihad yakni penilaian semula ijtihad-ijtihad lama, diganti semula dengan ijtihad-ijtihad baru yang lebih sesuai dengan zaman. Usaha inilah yang bakal membentuk umat Islam agar tidak lagi hidup pasif, hanya menerima apa yang telah ditentukan, terkonkong sikap taklid berlebih-lebihan dan langsung diserang falsafah dan ilmu tertentu tanpa mampu melawan balik.
Adapun butir-butir pemikiran Prof Hussein Alatas ini, pasti mengundang kemarahan sesetengah pihak. Idea seprogresif ini tidak mudah dihadam mereka-mereka yang terlajak tradisionalis, terlebih konservatif, terjumud, terjahil, terkepit dan sempit. Segala pandangan-pandangan yang dinukilkan di dalam buku ini, senantiasa kemas berlapik hujah. Seringkali dalil Quran, hadis dan pendapat para reformis seperti Jalaludin Al-Afghani, Muhammad Abduh, Syakib Arsalan dan sebagainya dipetik dan dihurai penuh teliti. Jika tidak setuju sekalipun, jawablah ia dengan hujah yang juga kemas dan teliti. Malah seruan Prof Hussein, pada perhatian saya, banyak sungguh ia mengukuhkan agama Islam itu sendiri, tidak pula melonggarkannya. Dalam mengajak memaksimakan potensi akal dan intelek, dikemukakan segala soal kemajuan dan pembukaan pintu pemikiran agar sentiasa berakarkan pada sifat-sifat Tuhan yang Maha Agung, Maha Sempurna. Pada tauhid yang absolut. Pada agama yang hidup.
Di prakata beliau, telah Prof Hussein sebutkan bahawa tujuan susunan buku ini adalah untuk mencari jalan keluar daripada kekacauan dan kebingungan yang berlaku di dalam dunia Islam, mempersiapkan masyarakat untuk memandu proses memilih pengaruh barat dengan teliti dan saksama, tidak membuta tuli pada membenci dan menafikan nilai-nilai Islam yang ditegakkan mereka yang berada diluar Islam. Harapan beliau agar kita berevolusi menjadi jenis manusia baru masyarakat islam; mahir dalam ilmu-ilmu zamannya, dihubungkannya pula dengan agama untuk membimbing umat kearah kemajuan zaman. Agar sudah-sudahlah kita terus menerus hidup seumpama pohon yang tiada berbuah. Bertambah daunnya, tidak buahnya.
ConversionConversion EmoticonEmoticon