Sekian lama membeli buku ini sejak 2012, tapi baru saja saya perasan ada satu buku belum lagi dibaca. Benar, biarkan saja membeli terlebih dahulu, suatu hari nanti kita terdetik untuk membacanya pula.
Tajuk: Wasiat Luqman al-Hakim
Penulis: Ahmad Hasan Mohd Nazam
Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd
Muka surat: 164
Bak kata pengarang, pesanan atau wasiat Luqman ini amat berharga. Ia mengandungi hikmah yang mendalam untuk setiap orang mengambil iktibar daripadanya bagi menjalani kehidupan seharian. Pesanan Luqman yang disebutkan dengan jelas dalam AlQuran merupakan perkara asas yang perlu diterapkan dalam diri setiap insan. Kebijaksanaan Luqman mendorong beliau memberi pesanan kepada anaknya dengan penuh hikmah.
Meskipun surah Luqman ada dimasukkan dalam syllabus subjek Pendidikan Islam sekolah menengah, namun waktu itu mungkin ada sesetengah yang sekadar memahami sekadarnya semata-mata untuk peperiksaan. Dengan pembukuan dan kupasan yang lebih mendalam oleh penerbit dan penulis, buku ini membentangkan kupasan mengenai pesanan Luqman yang termaktub dalam AlQuran. Ini bertujuan agar pesanan yang berhikmah tersebut dapat difahami dan diamalkan sebaik mungkin. Di samping itu, dihimpunkan pesanan lain yang diriwayatkan dan termaktub dalam kitab-kitab tafsir AlQuran. Ada diselitkan bahawa penulis mengikuti pengajian secara Talaqqi dengan beberapa ulama di Mesir dan juga di Syria. Maka dengan itu, hampir kesemuanya ahli rujukan untuk penulisan ini adalah daripada kalangan alim ulama' yang faqih tentang AlQuran dan Hadith.
Mari kita imbas kembali isi-isi pesanan dan perintah dalam surah Luqman ini.
💠Jangan sekali-kali mensyirikkaan Allah azzawajalla
💠Bersyukur kepada Allah azzawajalla
💠Berhemah tinggi terhadap ibu bapa
💠Kembalilah kepada Allah swt
💠Yakinilah alam ghaib dan penyaksiannya
💠Tunaikanlah solat dan berdakwahlah
💠Suruhlah perkara makruf dan tegahlah kemungkaran!
💠Bersabarlah atas sesuatu yang menimpa
💠Awasi sifat ego dan bersederhanalah
💠Bertawaduklah
Saya syorkan kalian mencari ruang untuk membaca buku ini juga, kerana huraiannya, bukan sekadar huraian, bahkan terdapat juga tips yang membantu kita mengesan 'virus-virus' dalam kehidupan seharian. Tambahan, banyak kata-kata hikmah yang boleh membantu sedikit sebanyak dalam pembentukan diri seseorang. Setiap huraian pasti disertakan rujukan yang sahih. Ini menambahkan keyakinan kepada pembaca daripada banyak terpedaya dengan huraian atau penjelasan yang hanya pada tafsiran manusia.
Namun, sesal sedikit buat diri ini, kerana pengisian yang ada di dalamnya sepatutnya sedikit sebanyak membantu thaqafah seseorang naqib/ah usrah dalam menyampaikan kepada anak-anak usrah, menjadi sedikit terlewat bagi yang baru membaca atau belum membacanya. Walaupun begitu, masa yang masih ada, manfaatkanlah buat ummat sejagat tidak kiralah anda seorang ibu, ayah, anak, guru, pelajar, sahabat dan sebagainya.
Wasiat Luqman merupakan wasiat agama yang menekankan kemaslahatan individu, jemaah dan ummah keseluruhannya pada setiap masa dan ketika.
Kalau AlQuran tidak relevan sehingga kini, maka tiadalah yang merujuk dan menjadi pegangan.
Wallahualam.
ConversionConversion EmoticonEmoticon