“Cogito, ergo sum” - Renѐ Descartes
Tajuk : Tugas Cendekiawan Muslim
Penulis : Dr. Ali Syariati (penterjemah - Dr. M. Amien Rais)
Penerbit : Thinkers Library Sdn. Bhd. (CV. Rajawali)
Muka surat : 276
“Saya berfikir, justeru saya ada.” Descartes menekankan kepentingan bagi umat manusia untuk berfikir melalui ayat ini. Dalam kata yang lebih mudah, andai manusia itu tiada berfikir, maka tiada makna manusia itu wujud kerna tiada apa-apa kebaikan atau manfaat yang dia akan bawa kepada umat manusia yang lain. Umat manusia itu diciptakan dalam keadaan yang unik sekali. Dicipta untuk melengkapi, untuk menjadi khalifah, untuk memberi manfaat kepada alam, kepada haiwan-haiwan, kepada umat manusia sejagat. Masakan umat manusia itu akan dapat melakukan ini semua andai umat manusia tiada meletakkan usaha yang jitu dalam berfikir? Saya faham dan sangat sedar dengan polemik kusut yang melanda masyarakat sejagat kala ini. Polemik yang menyatakan berfikir itu akan membawa keburukan. Polemik yang menyatakan tiadalah seorang manusia itu perlu untuk berfikir kerana berfikir ini hanya membawa lebih banyak buruk daripada baik. Saya sedar dan insaf tentang fakta yang melanda masyarakat kita sekarang ini. Yang lebih menyedihkan adalah rata-rata pernyataan ini terpacul daripada kaum muslimin! Bukankah kaum muslimin itu satu kaum yang amat beruntung dalam menjalani kehidupan di dunia ini? Bukankah kaum muslimin itu kaum yang dikurnia contoh terhebat sepanjang zaman iaitu kekasih Allah Muhammad S.A.W? Bukankah kaum muslimin itu didatangkan kepadanya mukjizat terhebat iaitu kitab Al-quran untuk memandu umat manusia untuk menjalani kehidupan? Dan bukankah didalam kitab tersebut menyatakan keterangan untuk manusia berfikir?
Terlalu banyak ayat dari kitab suci al-Quran yang telah menerangkan kepada kaum Muslimin tentang orang-orang yang berfikir. Dan terlalu banyak ayat-ayat dari kitab suci tersebut yang menerangkan tentang kelebihan-kelebihan yang akan diperoleh oleh mereka-mereka yang berfikir. Jika saya boleh memetik satu contoh iaitu ayat 219 dari surah Al-Baqarah yang menerangkan tentang pengharaman judi dan arak. Jika kita mengkaji tentang ayat ini kita akan dapati ayat ini mengajar kita tentang cara berfikir – yakni dengan mengajar kita untuk menentukan kedudukan sesuatu itu akan yang mana lebih banyak baiknya dan yang mana lebih banyak buruknya. Sudah pentu jika kita tidak mengkaji ayat ini dan ambil secara literal, kita tidak akan faham tentang signifikasi ayat ini yang mengajak kita untuk berfikir dengan mengkaji. Dalam kata yang lebih mudah, berfikir dengan ilmu, untuk memperoleh ilmu!
Dan sudah pasti untuk kita memperoleh akan ilmu itu, kita perlu pada usaha. Tidak akan terhasil sesuatu output tanpa proses. Tidak akan terhasil sesuatu output dengan input yang sifar. Sesungguhnya terdapat terlalu banyak metod, cara, wasilah bagi kita untuk meraih akan ilmu. Namun permasalahan pada kaum Muslimin terutama yang muda adalah penyakit ‘M’. Penyakit yang seakan sudah menjadi sendi dalam kalangan kaum Muslimin ini adalah satu penyakit yang sukar sekali diubati. Andai tiada usaha jitu yang dilaksana, kemungkinan besar adalah kaum Muslimin ini akan terus hidup dalam ‘kebutaan yang celik’ – celik pancainderanya, namun memilih untuk menjadi buta.
Kerisauan yang dinyata oleh Dr. Syariati didalam buku ini malah adalah lebih besar daripada itu. Tidaklah Dr. Syariati menekankan didalam buku ini tentang kemalasan kaum Muslimin melainkan yang terlalu banyak ditekankannya adalah tentang kerisauannya berkenaan ideologi-ideologi yang digagas oleh Barat, yang menurutnya sudah terlalu banyak menyerap kedalam sanubari kaum Muslimin kita ini. Namun begitu, saya memilih untuk menekankan juga tentang penyakit berbahaya itu demi untuk memadankan dengan polemik keadaan semasa yang melanda kaum Muslimin kita sekarang ini. Apa yang dirisaukan oleh Dr. Syariati adalah sedikit terlebih jauh berbanding polemik yang sedang melanda kaum Muslimin di Malaysia kala ini.
Kerisauannya memuncak pada kaum Muslimin yang terlupa akan jati diri dan kebenaran agama sendiri. Kerisauannya adalah pada kaum Muslimin yang terlalu mengagungkan karya-karya dan ideologi-ideologi yang digagas oleh Barat sehingga terlupa akan asal usul diri dan agamanya. Dr. Syariati mengkritik keras kaum Muslimin yang seumpama ini yang baginya terlalu awal meninggikan martabat ilmu dan ideologi yang diperolehinya dari Barat itu, sedangkan tiada pun mereka ini mengkaji tentang ketinggian, keagungan, keluhuran ilmu, intelektual, ideologi, sejarah, pegangan yang digagas oleh kaum Muslimin timur. Kaum Muslimin seumpama ini baginya adalah orang yang sebenarnya tiada sedikitpun pemahaman asas tentang apa itu Islam dan ilmu-ilmu dan ideologi-ideologi didalamnya. Menurut Dr. Syariati, ideologi-ideologi Barat adalah amat kaya dengan ilmu. Akan tetapi tradisi ilmu yang kaya itu tiada mereka aplikasi nilainya kepada masyarakat yang memerlukan, terutama kepada marhaen. Mereka ini sering diibaratkan dengan satu pengibaratan yang terkenal iaitu ilmu tanpa amal adalah ibarat pohon tanpa buah. Wujud sekadar wujud, namun tiada dapat memberikan manfaat. (Namun saya tidak bersetuju akan pengibaratan ini, bukankah pohon itu mempunyai daun-daun yang menjalani fotosintesis dan membekal kita dengan oksigen? Bukankah pohon rendang tapi tidak berbuah itu boleh menjadi tempat berteduh manusia atau tempat burung-burung membuat sarang? Sekadar penyataan pandangan saya sahaja.)
Pada pandangan saya, buku ini amat bagus dan jika saya boleh tekankan, perlu untuk untuk kita baca sebagai kaum muda Muslimin yang terpelajar (cendekiawan Muslim). Kita bukan sahaja adalah golongan cendekiawan Muslim, malah kita adalah golongan muda. Terpundak dibahu kita tanggungjawab yang besar demi agama Islam yang suci ini dan masa depan Negara, tergenggam di tangan kita arah bangsa yang kita akan pacu.
Catatan akhir, dalam kasus ini, saya lebih banyak menggunakan terma kaum Muslimin berbanding cendekiawan Muslim, kerna pada pendapat saya masalah yang membelenggu kita di Malaysia adalah lebih umum, yakni golongan cendekiawan Muslim (Muslim yang terpelajar) seluruhnya, dan kaum Muslimin yang lain umumnya. Pada pandangan saya, sesuai sekali polemik yang melanda kaum Muslimin di Malaysia ini dengan isi buku yang menekankan kepada kegagalan kaum Muslimin untuk menggarap imej atau keadaan sebenar yang sedang berlaku dalam masyarakat kita. Namun penekanan sebenar yang Dr. Syariati ingin tekankan adalah pada golongan Muslim yang terpelajar yakni cendekiawan Muslim. Kritikan yang seakan sama telah Dr. Abdul Qadir Awdah coretkan dalam catatannya Islam: Between ignorant followers and incapable scholars. Dan saya pohon maaf atas kelemahan saya dalam menulis tinjauan naskhah ini, kerna terlalu banyak isi buku ini namun tidak mampu saya coret dan simpulkan dalam tinjauan ini.
Semoga Allah merahmati usaha kita semua.
ConversionConversion EmoticonEmoticon