Tajuk: Apa itu Sunnah?
Pengarang: Abu Muhammad Ibnu Shalih bin Hasbullah
Penerbit: Pustaka Ibnu Umar
Bilangan muka surat: 68
Buku ini diringkaskan dari kitab yang diberi judul "الوجيزفي عقيدة السلف الصالح " oleh Abdullah bin Abdil Hamid al-Atsari. Buku kecil dan nipis ini dibeli sebagai buku yang dibaca ketika "take 5" sewaktu pembacaan buku-buku yang lain.
Perbincangan seputar siapa itu ahlus sunnah wal jamaah, ciri-ciri ahlus sunnah wal jamaah, keistimewaan aqidah Ahlus sunnah wal jamaah serta pandangan ASWJ terhadap beberapa isu seperti ketaatan kepada pemimpin yang baik, para sahabat dan keluarga Nabi dan Khilafah.
Lafaz sunnah menurut buku ini memberi erti petunjuk yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabatnya, baik berupa ilmu, aqidah, perkataan, mahupun ketetapan.[1] Istilah ini digunakan untuk menyatakan hal-hal (sunnah) yang berkaitan dengan ibadah dan aqidah.
Ahlus sunnah wal jamaah ialah mereka yang berpegang teguh dengan sunnah Nabi, para sahabat dan orang yang mengikuti mereka dan menempuh jalan mereka dalam aqidah,perkataan dan perbuatan. Sentiasa istiqamah (konsisten) dalam ittiba' (mengikut contoh Nabi) dan menjauhi ibtidaa' (perbuatan bidaah). Sunnah lawannya bida'h,[2] jamaah lawannya firqah.
Dalam buku ini juga memuatkan siri pandangan ASWJ terhadap kedudukan al-Quran/As-Sunnah, pemahaman para sahabat, akal sihat, ijma' ulama', tentang ijtihad dan taqlid, orang awam dan kesempurnaan pemahaman agama.
Orang awam yang tidak mengerti dalil haruslah berusaha dan wajib semampu boleh bertanya/belajar tentang al-Quran dan As-Sunnah kepada orang yang dalam bidangnya. Dalam era serba canggih ini hampir tiada alasan lagi untuk berkata tidak tahu atau bersikap lepas diri. Kesempurnaan agama itu hanya akan dicapai dengan tertegaknya amal dan ilmu secara bersamaan.
Dibawakan juga pandangan wajib memberi ketaatan kepada pemerintah kaum muslimin selagi mana tidak menyuruh kepada kemaksiatan. Sebagai rakyat, kita hendaklah mendoakan pemerintah agar mereka baik dan selalu mendapat petunjuk dari Allah. Inilah yang selalu kita lupakan. Saat pelbagai masalah negara berlaku kita senang menunding dan mengutuk mereka di kerusi pemerintah. Mungkin kita sebagai rakyat perlu berubah terlebih dahulu supaya tidak diberikan pemerintah yang tidak amanah dan tidak adil.
Dikatakan bahawa al -Hassan mendengar seorang lelaki mengajak kaum muslimin memberontak kepada al-Hajjaj. Berkata Hassan, "Jangan lakukan itu! Semoga Allah merahmati kamu. Sesungguhnya apa yang Allah berikan kepada kalian (berupa pemerintah zalim) adalah akibat diri kalian sendiri. Aku khuatir apabila Hajjaj digulingkan atau mati maka (akan banyak korban) lalu yang tertinggal (hanya pemimpin yang berwatak seperti) kera dan babi. [3]
••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••
1. Bagi saya, walaupun buku ini hanya bersaiz poket, kecil dan nipis, namun telah memenuhi salah satu kriteria disiplin buku ilmiah iaitu disertai nota kaki menyatakan dimana maklumat tersebut diambil. Sebagai contoh diletakkan no. hadith di dalam mana -mana riwayat. Memudahkan pembaca untuk menyemak kembali maklumat yang dimuatkan.
2. Buku ini sesuai dibaca jika ingin memahami perkara berkaitan sunnah secara layang.
3. [1] & [2]
فإنه من يعش منكم بعدي فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة
Maksudnya: “Maka, sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ Rashidin Mahdiyyin, gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham, dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana ia adalah bid’ah sedangkan setiap bid’ah itu adalah sesat” No 4607:
Sunan Abi Dawud, dinilai sahi oleh Al-Albani.
4. [3] Aadabul Hasan al-Bashri karya Ibnul Jauzi, halaman 119.
ConversionConversion EmoticonEmoticon