Judul : Kemuncup dalam Perjuangan
Penulis : Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit : AnBakri Publika Sdn Bhd
Halaman : 228
Buku ini terbahagi kepada 3 bab. Tetapi saya lebih tertarik hati kepada Bab Pertama yang disifatkan seperti terbitan semula sebuah buku kecil tulisan jawi yang dinukilkan kira-kira 34 tahun yang lalu oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bab pertama ini menyoroti satu episod sejarah sekitar tahun 1981. Dimana ketika itu Parti Islam Semalaysia (PAS) dilanda badai besar daripada perbedaan sikap, pendekatan, pegangan dan sudut pandang samada PAS perlu bercorak nasionalis Islamik ataupun kembali ke paksi asal penubuhannya yang berteraskan kepada Islam yang menyeluruh.
Ia mengisahkan konflik cemas, pertelagahan antara 2 figura besar pemimpin utama PAS pada ketika itu iaitu Allahyarham Hj Mohd Asri bin Hj Muda (Presiden) dan Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (Ketua Urusan Ulamak).
Bab ini mengandungi pengajaran yang sangat signifikan dengan situasi politik semasa. Rakaman semula ini cukup jelas menyedarkan pembaca bahawa dalam sebuah gerakan Islam sentiasa ada detik-detik cemas dan cabaran berliku-liku. Tapi apa yang lebih utama bagaimana ia ditangani dan diharungi, bagaimana ancaman telah ditukar menjadi peluang sehingga berjaya membawa PAS yang dulu asing menjadi lebih bertenaga di medan tempur. Kebijaksanaan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menangani konflik yang berlaku dilihat seperti mengangkat kepala keretapi dengan gerabaknya sekali untuk kembali ke landasan yang betul sehingga membawa kepada pencapaian luar jangka dalam PRU ke 12.
Tetapi apa yang paling meninggalkan kesan dalam jiwa saya sebagai seorang pembaca, tajuk buku ini sahaja mengandungi nasihat yang cukup padu. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menganalogikan halangan-halangan dalam perjuangan ini dengan sifat ‘kemuncup’ yang sentiasa boleh mengganggu perjalanan. Jika tidak cermat dan terleka, pejuang boleh kehilangan fokus. Jemaah dan pimpinan boleh berhenti, menghabiskan masa dek melayan karenah kemuncup yang miang-miang di kaki. Gerakan Islam boleh jadi terbantut dan tidak produktif bahkan dalam kerugian besar kerana pemimpin mahupun penyokong yang terbawa-bawa dengan gangguan kemuncuk yang sentiasa ada di setiap medan tempur. Bagi Jemaah yang matang, menghadapi kemuncup hendaklah dibuang sambil berjalan. Musuh adalah musuh. Destinasi adalah destinasi. Jangan sampai hilang fokus asal.
Seperti kebiasaan, tulisan Tuan Guru sentiasa sarat dengan nasihat yang membawa kita kembali mengagungkan Pencipta juga muhasabah kembali diri sendiri yang boleh menjadi bunga-bunga kepada kelemahan sebuah Jemaah. Tuan Guru juga banyak menghuraikan tafsir surah-surah Al Quran serta memaparkan sirah nabi dalam buku ini. Antaranya tentang kisah Ka’ab dalam perang Tabuk, juga kenapa Saidina Umar al-Khattab memecat Khalid bin al Walid daripada jawatannya sebagai ketua pemerintah bala tentera bukan kerana apa-apa kesalahan yang dilakukannya.
Bagi ahli gerakan Islam yang selama ini menyertai jemaah kerana individu semata-mata, Tuan Guru bawakan kembali sirah mereka yang murtad selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Di mana mereka berkata, “aku masuk Islam selama ini kerana Muhammad, sekarang Muhammad telah mati, maka habis semuanya”. Semoga kita mengerti !
Tulisan buku ini bahkan padat dengan fakta sejarah dan kronologi tersusun setiap satu, serta merungkai asas-asas bagi setiap tindakan yang diambil oleh Jemaah. Buku ini bukan sekadar membawa paparan nostalgia orang dahulukala tetapi cukup sesuai sebagai satu pedoman untuk mendepani senario yang tidak kurang bergolaknya pada hari ini. Cukup banyak fakta-fakta sejarah dan salah silah yang kita generasi terbaru tidak tahu.
Nasihat saya, bacalah! Buku ini sangat lazat untuk dihadam oleh minda kita yang terbatas.
1 comments:
Write commentsAssalamualaikum..saya mencari buku ini..ia dh x di cetak lagi .di mana saya boleh dptkannya ya?
ReplyConversionConversion EmoticonEmoticon