Judul : Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor
Penulis : Prof. DR HAMKA
Penerbit : Pustaka Dini
Jumlah halaman : 114
Ketika membaca naskah Buya HAMKA yang ini, secara peribadi, saya punya dua sisi perasaan. Pertama, sebagai seorang muslim, saya agak sedih dan sedikit kecewa. Kedua, sebagai pelajar, ini sangat bermakna, padat dan 'berisi'.
Naskah ini pada asalnya adalah surat kepada Mufti Johor, Sheikh Tuan Sayyid Alwi Bin Tahir Al-Hadad sekitar tahun 1958 berkenaan isu pertembungan aliran fikir antara Kaum Muda dan Kaum Tua. Itu sahaja isunya. Namun, polemik ini menjadi panjang apabila Sohibul Samahah Tuan Mufti Johor (Kaum Tua) melemparkan tuduhan fitnah lantas memaksa Buya HAMKA (Kaum Muda) menitipkan surat untuk menjawab balas segala tuduhan-tuduhan tersebut.
Pada mukadimah naskah ini, telah di mulai Buya dengan menerangkan tujuan surat ini, kata Buya
"...sekali-kali bukanlah hendak mencari pertentangan dan perlawanan dan jauh daripada maksud permusuhan. Hanya semata-mata hendak memberi peringatan atas beberapa kesalahan yang timbul daripada...mufti Johor dalam ketetangan beliau membantah kaum-muda"
(halaman 11).
Di awal buku ini, dilampirkan kepada kita keratan akhbar kenyataan dan tuduhan-tuduhan Tuan Mufti Johor terhadap Kaum Muda dan sebuah buku yang ditulis oleh tokoh dari aliran Kaum Muda, iaitu Hassan Bandung, berjudul 'Ibadat Rasulullah'.
Jika boleh saya ringkaskan daripada lampiran keratan akhbar itu, tuduhan Tuan Mufti terhadap Kaum Muda berkisar pada 6 perkara ini,
1) Kaum Mudalah yang menimbulkan huru-hara di Turki sehingga syiar Islam di sana menjadi pudar dan akhirnya hilang dari Turki.
2) Ajaran Islam (dakwah) yang di bawa oleh aliran Kaum Muda menimbulkan keraguan kepada umat Islam di Indonesia sehingga 10 juta umat Indonesia menganut Kristian dan 30 juta lagi menjadi komunis.
3) Kaum Muda tidak boleh di percayai
- banyak mengambil fatwa dari puak Qadiani dan tidak percaya kepada beberapa asas Agama Islam.
- Ketua Kaum Muda - Abu Ziyad telah di hukum kafir oleh ulama-ulama Mesir. Serta, kerajaan Mesir telah mengharamkan kitab tafsir yang ditulis oleh Abu Ziyad.
4) Kaum Muda berpendapat, melalui buku berjudul 'Soal Jawab' dan Kitab Tafsir Al-Quran karangan Hassan Bandung bahawa daging babi adalah suci.
5) Hassan Bandung (Kaum Muda) menganuti Teori Darwin.
6) Kaum Muda berfahaman bahawa Nabi Isa (Jesus) punya bapa.
(Halaman 13-15)
Setiap tuduhan ini kemudian di jawab satu per satu oleh Buya HAMKA untuk halaman-halaman seterusnya.
Disebalik hujah balas Buya, kita dapati, Buya adalah seorang yang tajam fikiran dan kadang tajam juga penanya. Pengetahuan Buya terhadap apa yang ditulis bukanlah 'main sebat' sahaja. Bahkan, dalam banyak keadaan, Buya banyak menggunakan angka atau figur dalam menjawab hujah.
Figur atau angka ini merujuk kepada statistik kajian terhadap isu-isu yang di bangkitkan. Dalam disiplin ekonomi, cara Buya memberi hujah ini kita kenali sebagai
'Positive statement' yang menjadi lawan kepada 'Normative Statement'.
Angka statistik banyak di gunakan terutama dalam menjawab isu kedua yang di timbulkan oleh Tuan Mufti seperti yang saya senaraikan di atas.
Naskah ini mengajar kita tentang cara berhujah dari sudut pendalilan, atau, barangkali dalam disiplin Usul Fikih, kita kenali sebagai 'Thoriqotul Istidlal', mengajar kita untuk menjadi objektif dan sederhana dalam amalan agama -jangan melampau (ghuluw).
Semoga Tuhan merahmati kedua-dua tokoh ini - Buya HAMKA dan Sheikh Sayyid Alwi Al-Hadad.
ConversionConversion EmoticonEmoticon