Tajuk: Dunia Pemikiran Intelektual: Menelusuri karya-karya Intelektual Terpilih
Penulis: Shahrom TM Sulaiman
Penerbit: ITBM
Muka Surat: 164
Intelektual atau cendekiawan adalah indvidu berilmu yang memiliki tanggungjawab untuk mencari dan mewujudkan ‘kebenaran’ pada dan dalam cabaran tuntutan zamannya. Mereka tidak semestinya daripada kalangan sarjana, ilmuwan atau inteligensia (orang terpelajar, khususnya yang menamatkan pengajian di universiti), boleh jadi mereka terpilih daripada pelbagai profesion seperti sasterawan, ahli psikologi, agamawan, novelis, doktor dan sebagainya. Ini kerana, kelompok intelektual adalah golongan yang hidup, tidak untuk diri sendiri tetapi untuk orang lain, mewakafkan hidupnya dalam usaha membentuk masyarakat menuju kehidupan yang lebih baik. Ilmu mereka tidak terapung-apung di awangan, berputar dalam kalangan puak-puak elitis tetapi ia turun menghujani masyarakat yang mendahagakannya.
Buku ini terbahagi kepada 5 bahagian dan ia bermula dengan memperkenalkan pembaca seputar dunia wacana intelektual. Dari pengertian dan peranan kelompok intelektual, pemahaman kepada kontroversi pascamoden dan dunianya, penafian wacana ilmu kolonial, kebangkitan oksidentalisme dalam mencabar status quo orientalisme, kecenderungan intelektualism di Malaysia dan sehingga kemerosotan dunia kecendekiawan dalam skala antarabangsa. Bahagian ini walaupun padanya terkandung jargon-jargon pelik dan baharu yang sedikit mengelirukan, ia tetap menarik kerana membawa pembaca (khususnya yang baru-baru seperti saya) memandang dunia pada sudut yang mungkin sebelum ini tidak diketahui atau tidak terasa kepentingan kewujudannya. Sangat disyorkan untuk membaca bahagian ini bagi melebar-luas-dalamkan weltanschauung kita.
Bahagian-bahagian seterusnya iaitu bahagian 2, 3, 4 dan 5 membawa pembaca bertaaruf (berkenalan) dengan 21 intelektual ternama dunia beserta pemikiran dan gagasan mereka. Berikut adalah intelektual-intelektual beserta karya mereka yang dibincangkan:
Tradisi Intelektual Asia Tenggara:
• Jose Rizal
• Syed Hussein Al-Attas
• Alwi Shihab
• Kuntowijoyo
• Nurchaolish madjid
Tradisi Intelektual Asia Barat:
• Mahmoud Ahmadinejad
• Hassan Hanafi
• Nwala El-Saadawi
• Fatima Mernissi
• Farid Esack
• Muhammad Iqbal
Tradisi Intelektual Amerika-Eropah:
• Bernard Lewis
• Ken Wilber
• Noam Chomsky
• Annemarie Schimmel
• Karen Armstrong
• Tariq Ramadan
• Vaclav Hazel
Tradisi Intelektual Perancis:
• Victor Hugo
• Simone De Beauvoir
• Jacques Derrida
• Michel Foucault
• Mohammed Arkoun
Sememangnnya setiap intelektual yang diceritakan punya kisah atau prinsip-prinsip yang boleh kita contohi bersama seperti rajin membaca dan menulis, berani berjuang, tinggi pengorbanan, kasih pada golongan minoriti dan tertindas serta bermacam-macam lagi. Adapun mungkin ada yang tidak bersetuju dengan barisan intelektual yang disenaraikan penulis kerana rata-ratanya berpemikiran liberal, defensif kepada pluralisme dan memperjuangkan Islam yang ‘kiri’. Malah idea-idea dan gagasan tokoh-tokoh ini sememangnya tidak lari daripada kontroversi yang mencabar pemikiran-pemikiran yang tradisional khususnya terhadap tasawwur tradisional Islam. Boleh juga, dikatakan bahawa senarai ini tampak sedikit berat sebelah. Namun begitu, saya kira buku-buku seperti ini mampu mengeluarkan kita dari zon pemikiran selesa kita, meningkatkan pandangan sarwa dan juga menjadi ruang melatih kearah menjadi pembaca yang kritis dan ‘syntopical’. Tidak semestinya kita tunduk menerima bulat-bulat pemikiran yang dibentangkan dan tidak juga kita tolak mentah-mentah.
Pada saya adalah penting andainya kita sedikit sebanyak mengenali dunia pemikiran ini memandangkan kita semua - sedar ataupun tidak- adalah jundi yang sedang bergelut di dalam medan ‘ghazwul fikr’. Meminjam kata-kata Sun Tzu, dari bukunya yang terkenal , The Art of War:
“If you know the enemy and know yourself, you need not fear the result of a hundred battles. If you know yourself but not the enemy, for every victory gained you will also suffer a defeat. If you know neither the enemy nor yourself, you will succumb in every battle.”
Maka hendak menang, harus kita kenal diri. Harus kita kenal musuh.
Mahu tidak mahu, acuan pemikiran yang pelbagai inilah yang sedang menguasai kotak fikir umat Islam dan umat bukan islam di negara kita. Bertambah ironik bila para pejuangnya sendiri segan-segan, takut-takut dan terus menjahilkan diri daripadanya.
Nasihat dan cadangan saya kepada rakan-rakan (terutamannya yang aktif beramal di dalam gerakan Islam) agar berusaha untuk belajar tentang tokoh-tokoh dan idea-idea yang mewarna-warnikan dunia keintelektualan dan pemikiran. Kalau mahu buku ini sesuai dijadikan jendela mulanya tetapi sekali lagi diingatkan, bacalah dengan analitikal dan kritikal.
____________________
Glosari:
1. Ilmu Kolonial – analisis sosial yang digunakan untuk mengasaskan kekuasaan oleh penjajah
2. Orientalisme – gambaran, imaginasi, kajian orang Barat terhadap Timur (orient)
3. Oksidentalisme - gambaran, imaginasi, kajian orang timur terhadap Barat
4. Weltanschauung - world view
5. Syntopical - membandingkan
6. Jundi - tentera
7 Ghazwatul fikr - peperangan pemikiran
ConversionConversion EmoticonEmoticon