#171 Kedudukan Wanita Dalam Islam

Judul : Kedudukan Wanita Dalam Islam Penulis : Prof. DR HAMKA Penerbit : Pustaka Dini Jumlah Halaman : 121

Jika ada di kalangan kita yang berminat dengan perbahasan soal Feminisme (Vroumen Emancipatie), naskah dari Buya ini barangkali boleh saya katakan naskah yang wajib di baca dan di hadam. Bab-bab yang disusun di dalam naskah ini sangat bijak dan sistematik.
Ketika dunia semakin bergerak pantas ini, kita semua pasti ‘familiar’ dengan premis yang menyebut Islam menindas dan tidak adil terhadap wanita. Justeru, naskah Buya ini secara asasnya membincangkan idea atau premis ini. Tetapi, bijaknya Buya, beliau tidak membincangkan soal simptom, tetapi yang dijawab di dalam naskah ini adalah suara hati dan jiwa wanita yang berasa di tindas itu (akar permasalahan). Kita wajib tahu bahawa, firqoh (sekte - pecahan) semisal Atheism, Agnostisme, Feminisme (yang menentang Islam) ini semua adalah simptom, ini bukan akar permasalahan. Justeru, menjawab persoalan Feminisme mesti di mulai dengan menerangkan konteks sejarah kedudukan wanita dan ruang yang diberikan oleh Islam kepada mereka.
Nah, karna memahami beda antara simptom VS akar permasalahan inilah Buya mulai naskah ini dengan bab kemuliaan wanita dalam Islam dan di senaraikan segala hak-hak yang Tuhan berikan melalui agama ini. Setiap premis yang diberi Buya akan di sokong kuat dengan dalil Quranik dan di jalin dengan realiti sirah nabawiyyah.
Ketika membahaskan soal apresiasi terhadap wanita, Buya datangkan dua kisah yang menarik. Pertama, ketika wahyu pertama turun kepada Nabi Muhammad (bacakan selawat), baginda begitu takut gementar sehingga berselubung dalam selimut. Namun, Khadijah, isteri baginda tenang saja bahkan Khadijahlah yang datang dekat pada Nabi dan membisikkan kata-kata semangat. Lantas Nabi kembali tenang.
Kemudian, di datangkan pula kisah Ummu Salamah yang memberi cadangan bernas di saat getir Nabi dan para sahabat pada sekitar perjanjian Hudaibiyyah. Sedikit nota tambahan, jika kita buat bacaan silang (crossed reading) pada Tafsir Al-Azhar (kitab tafsir Al-Quran yang di karang oleh Buya) pada tafsir Surah An-Nisa’ ayat 11, kita akan dapati, Buya menggunakan kisah yang sama ini (kisah Khadijah dan Ummu Salamah) bagi menyatakan bantahan kepada para ulama tafsir yang mengatakan bahawa akal wanita lebih lemah dari lelaki. Bahkan tidak sekali-kali, para wanita dan lelaki saling memerlukan. Tidak benar jika di katakana akal wanita lebih lemah berbanding lelaki.
Keluasan bacaan Buya HAMKA terserlah lagi pada bab-bab seterusnya apabila Buya membuat perbandingan antara Islam dan Kristian menerusi kitab suci masing-masing (Al-Quran dan Bible) berkenaan kisah Adam dan Hawa. Pada kisah Adam dan Hawa melalui versi Al-Quran dan Bible di tunjuklah pula kepada kita semua yang mana lebih adil terhadap wanita.
Pada pertengahan dan akhir naskah ini, disiku disindir secara halus pandangan filasuf terkenal, Sigmund Freud terhadap wanita dan mematahkan hujah golongan moden yang mengatakan barat lebih adil dari Islam dengan mengambil ‘real case’ tentang Raja Edward ke-8 yang di lucutkan dari takhta hanya kerana mahu mengahwini seorang wanita janda.
Perbahasan naskah ini hampir lengkap dari pelbagai aspek bagi menzahirkan keadilan dan ruang yang di berikan Islam kepada wanita, aspek politik, rohani, ekonomi (permilikan harta), perkahwinan (cerai, nafkah), dan sosial.
Nota hujung :
Jika ada di antara kita yang menganut mazhab 'Radical Feminisme' atau sedang mencari jawapan menjawab soalan dari penganut mazhab itu, pasti (insyaallah) naskah ini lumayan untuk di baca dan di hadam. Pasti (insyaallah), kita bisa tidur dalam senyuman.
Previous
Next Post »