#96 Jom Tanya Murabbi OSEM!

Buku : Jom Tanya Murabbi OSEM!
Penerbit : Deen Prints
Mukasurat : 144


Sepertimana moto "Majalah JOM!", dakwah itu mudah! Penerbit turut membawakan konsep yang sama dalam buku 144 halaman ini. Ia ibarat satu buah tangan yang cukup cantik untuk mereka yang pernah berkecimpung dalam dunia “usrah” atau pun sesi perbincangan kecil. Usrah atau lebih glamour dengan nama samaran yang pelbagai, antaranya ‘bulatan gembira’, ‘teen circle’, ‘solehah circle’, ‘petak osem’, ‘usrah nurani’ dan pelbagai lagi nama-nama comel yang mula menambat hati pelbagai lapisan masyarakat Malaysia.

Buku ini sebuah buku kompilasi yang padat bertema tarbawi yang bertujuan membantu si pembaca menemukan jawapan kepada persoalan hangat yang sering melayang-layang di benak minda, namun tidak tahu pada siapa untuk diajukan soalan.

Salah satu contoh soaljawab yang sempoi dalam buku ini:

Q011 : Hello? Boleh saya tahu apa itu ‘murabbi’? Maaf saya tidak berapa tahu perkataan Arab ini. A : Murabbi maksudnya orang yang membimbing. Tetapi, ‘term’ ini kebiasaanya digunakan untuk orang yang mengendalikan halaqah atau usrah atau bahasa ‘hip’ yang orang selalu guna sekarang – bulatan gembira.

Satu panduan mudah dihadam untuk para murabbi muda yang dibentangkan dalam bentuk soal-jawab santai. Khusus untuk jiwa muda yang mana mempunyai 11 bab dan 100 solusi kisah pengalaman sebenar dunia dakwah. 11 bab itu terdiri daripada Glosari, Murabbi&Mutarabbi, Usrah, Kehidupan, Jahiliyah, Ukhuwwah, Kewangan, Amal Dakwi, Jama’ah, Baitulmuslim & Ikhtilat dan terakhir bab Keluarga.

Soal jawabnya disusun mengikut kronologi daripada peringkat awal pembabitan kita menjadi anak usrah atau mutarabbi yang dibimbing oleh naqibah/murabbi. Berkat komitmen, kehadiran yang konsisten, fikrah yang lebih mantap, dan tingkah laku yang selari dengan proses penambahbaikan, status kita akan berubah menjadi seorang murabbi. Dalam proses peralihan fasa ini anda, perlu kepada ilmu kepimpinan, kemahiran komunikasi dan kecerdasan emosi dalam meneruskan kesinambungan ukhwah yang mantop.

Apa yang lebih istimewa, jawapan-jawapan yang diolah cukup elok mengambarkan aktiviti kelompok usrah bukanlah sekadar medium untuk menyalurkan ilmu dan maklumat, atau untuk menyatukan fikrah dan idealogi dalam sesi tarbiyah yang kaku dan beku, tetapi ia adalah satu jalinan hubungan istimewa antara murabbi dan mutarabbi atas dasar ukhwah dan kasih sayang kerana Allah SWT. Dan ia memerlukan persediaan jiwa dan batin yang hebat, diadun pula dengan keupayaan fizikal yang mantap. Usrah juga merupakan satu platform latihan untuk mengurus perbezaan (managing diversity) manusia ciptaan Allah SWT yang bervariasi dari segenap sudut. Dan akhirnya, sebuah entiti usrah yang efektif dan berjaya mampu mewujudkan tautan ukhwah dari hati-hati ikhlas yang tiada prejudis, tiada diskriminasi, tiada keangkuhan dan sombong diri.

Ilustrasi-ilustrasi karektor juga sangat menarik untuk memancing hati pembaca. Sekali gus serasi dengan jiwa muda yang membeleknya.

Soalan-soalan cepu cemas yang dihidangkan dalam buku ini antaranya :


+ Saya menyimpan perasaan terhadap seorang ukhti tetapi saya masih muda dan masih di alam pengajian. Apa yang perlu saya lakukan?

+ Bagaimana mahu menegur keluarga saya yang tidak menunaikan solat?

+ Emak selalu berkecil hati kerana saya jarang balik ke rumah kerana banyak mengikuti daurah dan aktiviti tarbiyah yang lain. Apa yang saya harus lakukan ?

+ Saya dalam proses hendak berubah. Namun, sangat susah bagi saya kerana ramai yang pandang sinis, tidak menyokong, memerli dan sebagainya. Ada juga yang menyokong tetapi saya takut saya tidak kuat. Bagaimanakah untuk istiqomah?

+ Kenapa kita selalu kalah dengan nafsu? Susah sangat nak menang! Selama ini saya cuba istiqomah, tup tup syaitan duduk tepi jadi gemuk sambil gelak? Terus jadi malu dengan Allah sebab kalah.

Untuk mengetahui jawapannya, kenalah dapatkan naskhah ‘cool’ ini. Hasil buah tangan Ustazah Maznah Daud dan Dr Harlina Halizah Hj Siraj. Padat dengan informasi, bukan sekadar teori
Previous
Next Post »