#87 Jangan Kelentong Lagi, Kita Semua Orang Malaysia

Tajuk: Jangan Kelentong Lagi, Kita Semua Orang Malaysia Pengarang: Kee Thuan Chye (2012) Penerbit: Marshall Cavendish International, Singapore Bilangan mukasurat: 467
Buku ini adalah kumpulan hasil tulisan Kee Thian Chye, seorang bekas wartawan yang sangat berterus-terang, tidak berdolak-dalik dan bersifat konfrantasi. Kebanyakan artikel yang diterbitkan dalam buku ini pernah diterbitkan dalam akhbar The Sun, Malaysiakini, Malaysian Digest, Free Malaysi Today, Kairos dan Penang Economic Monthly. Terkandung dalam buku ini ialah pandangan beliau yang kritikal dan tajam tentang realiti yang berlaku dalam arena politik di Malaysia. Kumpulan artikel dalam buku ini dipecahkan kepada beberapa tema atau sub topik. Antara yang menarik dibaca ialah : 1. Mahathir: Si Pembikin Kucar-kacir 2. 8 Mac dan banyak lagi 3. Najib: Si Jurujual yang Berdolak-dalik 4. Gemuruh Isu Kaum dan Agama 5. Sex, Penipuan dan Pita Video 6. Bersih 2.0 dan Kekotorannya 7. Perkara-Perkara Menekan Lain Dalam sub topik 3 misalnya, Kee mencatatkan pengalamannya menerima spam ucapan Selamat Tahun Baru Cina daripada PM. Menurut Kee, media melaporkan bahawa orang ramai gembira menerima ucapan tersebut tetapi 'orang ramai' yang dilaporkan oleh media pada ketika itu hanyalah 3 orang yang beragama Islam! Kee mempertikaikan undang-undang dunia cyber dan kerahsiaan data sehingga DS Najib dan para pengikutnya boleh mendapatkan alamat email orang awam. Kee turut mempersoal kerahsiaan nombor telefon apabila ucapan yang sama turut diterima melalui sms. Dalam satu catatannya yang lain, Kee menyebut tentang usaha rakyat yang sudah mula sedar dan bangkit dari penindasan fikiran. Kee menyebut tentang 'kejayaan Bersih 2.0' yang secara tidak langsung berjaya mengubah lanskap pilihan raya di Malaysia. Kee melihat Bersih 2.0 melangkaui tuntutan pilihan raya yang telus, tetapi ia menunjukkan solidariti rakyat dalam menentang penipuan dan penindasan. Kee berpandangan bahawa solidariti yang kuat ini akan mewujudkan penentangan demi penentangan yang berterusan pada masa akan datang. Secara peribadi, buku ini bukanlah kompilasi catatan terbaik yang boleh kita jadikan panduan dalam mengkritik kerajaan dan pemimpin. Sungguhpun dalam tulisannya Kee dilihat sebagai pro kepada PAS dan Islam, tetapi hakikatnya beliau tidak pernah bersetuju dengan konsep Malaysia sebagai negara Islam, atau negara Kristian atau negara untuk mana-mana agama sekali pun. Kee ialah seorang yang berpegang kepada penubuhan negara sekular. Pandangan dan cetusan pendapatnya bukanlah sesuatu yang boleh kita terima sepenuhnya. Harapan kita untuk yang membaca buku ini nanti; semoga yang manis tidak terus ditelan dan yang pahit tidak terus dibuang. Catatan penulis boleh membuka mata fikir kita melihat Malaysia yang lebih baik. Catatan ini hanyalah satu perspektif. Tugas kita yang telah membacanya ialah melihat Malaysia dari perspektif lain (catatan penulis lain) juga. Semoga dimudahkan urusan dan diberikan peluang yang baik demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik.
Previous
Next Post »